PM Malaysia pertahan hubungan dengan Hamas semasa di Jerman

Meskipun berbeza pendirian tentang Israel, Anwar Ibrahim dan Canselor Olaf Scholz bersetuju genjatan senjata kekal di Gaza perlu segera dilaksana.
Minderjeet Kaur dan Noah Lee
2024.03.12
Kuala Lumpur
PM Malaysia pertahan hubungan dengan Hamas semasa di Jerman Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi ke Jerman sedang menikmati buah kurma bersama rakan sejawatannya Canselor Olaf Scholz pada hari pertama Ramadan sebelum menyambung perbicangan melibatkan kedua-dua negara, di Berlin, Jerman. 12 Mac, 2024.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri Malaysia]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa mempertahankan pendirian kerajaan pimpinannya untuk mengekalkan hubungan rapat dengan sayap politik Hamas dengan 'tidak akan meminta maaf' atas perkara itu ketika lawatannya ke Jerman yang merupakan sekutu Israel.

Malah Anwar menegaskan konflik yang berlaku di Gaza ketika ini bukan bermula dari serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, sebaliknya ia merupakan kesan penindasan yang panjang oleh rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Rakan sejawatannya, Canselor Olaf Scholz turut menyertai pendirian pemimpin Asia yang lain dalam mendesak diadakan genjatan senjata di Gaza setelah pengeboman berterusan tentera Israel menyebabkan lebih 31,000 orang maut susulan Hamas melakukan serangan mengejut pada Oktober lepas itu.

"Hubungan kami dengan Hamas adalah dengan sayap politik mereka, saya tidak akan bersifat apologetik mengenainya. Apa yang saya tolak sekeras-kerasnya ialah naratif ini, obsesi ini, seolah-olah keseluruhan masalah bermula dan berakhir pada 7 Oktober. Terdapat beberapa dekad kekejaman rejim terhadap rakyat Palestin yang menjadi punca utama.

“Kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana sayap tentera [Hamas], saya telah menjelaskan perkara ini kepada rakan-rakan Eropah saya (dan) Amerika Syarikat,” kata Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman semasa sidang media bersama Scholz pada Selasa.

Anwar yang terkenal lantang mengenai isu Palestin berkata demikian ketika menjawab soalan daripada media mengenai pendirian Malaysia mengenai Hamas serta sama ada beliau tidak risau ia boleh menjejaskan hubungannya dengan negara lain seperti Jerman.

"Polisi kami berkenaan hal ehwal luar negara tetap konsisten. Kami menentang sebarang penjajahan atau aparteid, pembersihan etnik atau serangan terhadap mana-mana negara baik Ukraine mahu pun Gaza.

“Kita tidak boleh memadam sejarah kekejaman yang berlaku sejak 40 tahun lalu yang telah mencetuskan reaksi dan kemarahan daripada mereka yang terkesan,” tambah Anwar lagi.

Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam tidak mengiktiraf negara Israel dan sejak sekian lama menjadi pendukung kuat perjuangan Palestin dengan menjadi tuan rumah kepada pemimpin Palestin Yasser Arafat pada 1984 dan 2001 selain menerima kehadiran Ismail Haniyeh dan Khaled Mashal, pemimpin sayap politik Hamas pada 2020.

Sekutu Israel

Jerman pula merupakan sekutu lama Israel dan mempertahankan negara rejim Zionis itu dalam kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada Januari lalu.

Meskipun bertentangan pendirian, Malaysia dan Jerman bersepakat mendesak agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Semenanjung Gaza selain pembebasan tawanan manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Ketika membuat gesaan itu, Anwar dan Scholz berkata masyarakat antarabangsa perlu merealisasikan penyelesaian dua negara bagi menoktahkan konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad di Asia Barat.

“Kadangkala kita berbeza pendapat, namun saya rasa dalam isu seperti peperangan di Gaza, kita mencapai kata sepakat bahawa gencatan senjata perlu dilaksanakan segera manakala bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin,” kata Anwar.

Scholz pula berkata Jerman yang dikenali sebagai sekutu Israel bersetuju dengan Malaysia bahawa gencatan senjata kekal perlu dilaksanakan bagi mencari penyelesaian secara aman dalam krisis di Gaza.

Beliau berkata, mereka kini menjalin kerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab bagi mengekang peningkatan pertempuran serta mencari penyelesaian kepada krisis tersebut.

Scholz juga tidak bersetuju dengan serangan darat ke atas Rafah oleh Israel merupakan perkara yang perlu dilakukan.

“Saya harap kita akan dapat merealisasikan pelaksanaan gencatan senjata kekal sepanjang Ramadan ini. Ini boleh membawa kepada penyaluran lebih banyak bantuan ke Gaza,” kata Scholz sambal memberitahu yang beliau gembira Anwar memilih untuk berkunjung ke Jerman pada hari pertama Ramadan dan berbuka puasa dengan delegasi Malaysia.

Semasa menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024 di Melbourne minggu lalu, Anwar merayu kepada rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese untuk mengembalikan semula pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) yang menyokong usaha bantuan untuk pelarian Palestin.

Beliau juga menegur negara-negara Barat kerana mengutuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine namun berdiam diri terhadap pertumpahan darah tanpa henti membabitkan penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak di Gaza yang tidak bersalah.

Pada Oktober lalu, Anwar mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) disebabkan pendirian tegas negara dalam isu Palestin.

Katanya Kementerian Luar menerima dua notis tata tindak pada 13 dan 30 Oktober lepas dan satu lagi kepada Duta Besar Malaysia ke AS kerana keengganan negara melabel Hamas sebagai pengganas.

Tiada impak negatif

Sementara itu, Azmi Hassan, pakar strategi geopolitik dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara percaya bahawa pendirian Malaysia mengenai hubungan dengan Hamas tidak akan memberikan impak negatif kepada negara itu.

Beliau menjelaskan, ini kerana Malaysia hanya menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada orang awam Gaza dan bukan sayap militan Hamas.

"Adakah akan terdapat kesan buruk? Tidak akan ada kerana kita hanya membantu rakyat Gaza, bukannya sayap tentera Hamas.

"Dua bulan lepas, Kongres AS meluluskan sebuah akta yang menyekat mana-mana negara atau kumpulan yang menyokong Hamas dengan memberikan mereka senjata. Kita tidak berada dalam kategori ini kerana kita tidak memberikan senjata kepada Hamas," kata beliau kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.