Malaysia: Anwar umum senarai Menteri Kabinet, namakan Ahmad Zahid sebagai timbalan PM

Beliau turut melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan ketika negara berdepan inflasi dan kegawatan ekonomi.
Staf BenarNews
2022.12.02
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia: Anwar umum senarai Menteri Kabinet, namakan Ahmad Zahid sebagai timbalan PM Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Malaysia, 2 Dis, 2022.
[Vivian Loo/AP]

Selepas berkempen untuk menentang rasuah, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Jumaat menamakan pemimpin parti sekutu yang berdepan pertuduhan rasuah sebagai timbalannya dalam senarai Jemaah Menteri dan penganalisis politik menyifatkan kompromi sedemikian perlu dibuat kerana kerajaan baharu itu adalah ''kerajaan campuran.'

Beliau turut melantik Timbalan Perdana Menteri kedua, pertama kali dalam sejarah Malaysia, dengan memberikan jawatan itu kepada wakil gabungan parti sekutu dari Sarawak.

Anwar menamakan dirinya sebagai Menteri Kewangan, jawatan yang pernah disandang beliau sebelum ini, ketika rakyat Malaysia bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan kemungkinan kegawatan ekonomi dalam masa terdekat.

Ketika mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media, Anwar yang mengangkat sumpah sebagai PM minggu lepas, berkata senarai Jemaah Menteri itu adalah Kabinet Kerajaan Perpaduan "maka dalam beberapa aspek, ia dibuat dengan mengambil kira semua parti komponen."

"Keutamaan Kerajaan Perpaduan ini adalah untuk memastikan tadbir urus yang baik dan mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat," katanya.

Blok Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar memenangi kerusi Parlimen terbanyak dalam Pilihan Raya Umum Malaysia pada 19 Nov lepas iaitu 82 kerusi tetapi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Bagi menyelesaikan kekusutan politik ekoran tiada satu parti atau gabungan yang mampu membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong telah mencadangkan supaya sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan dua lagi blok politik iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju menyertai PH untuk membentuk kerajaan.

BN diterajui oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang sebelum ini mengetuai kerajaan, hanya memenangi 30 daripada 222 kerusi Parlimen dalam pilihan raya terbaru.

Kebanyakan ahli BN meletakkan kekalahan itu di bahu Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO, dan menggesa beliau agar meletakkan jawatan.

Ahmad Zahid turut berdepan 47 pertuduhan jenayah membabitkan penyelewengan wang berjumlah RM52.25 juta (AS$11.42 juta) daripada sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh keluarganya bagi membantu orang susah. Pada perbicaraan kes itu, Ahmad Zahid didakwa menggunakan wang itu untuk membayar kad kredit dan ansuran kenderaan miliknya.

ANWAR_IBRAHIM_PC_PMO_BENARNWS_01.jpg

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menunjukkan senarai ahli Jemaah Menteri ketika sidang media di Putrajaya, Malaysia, 2 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, kumpulan masyarakat sivil dan sesetengah ahli PH telah menggesa beliau supaya tidak memasukkan mana-mana Ahli Parlimen yang terpalit isu rasuah dalam Kabinet, termasuk Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid telah memainkan peranan penting dalam membawa blok BN pimpinannya untuk bekerjasama dengan PH dan langkah itu menyebabkan ramai penganalisis meramalkan bahawa beliau akan dilantik sebagai seorang daripada Timbalan Perdana Menteri atas kapasitinya sebagai pemimpin BN.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata Anwar berada dalam dilema yang besar.

"Dari satu sudut, dengan Ahmad Zahid berdepan kes jenayah, ia membawa imej tidak elok kepada kerajaan yang meuar-uarkan perjuangan mengenai reformasi," katanya kepada BenarNews.

"Tetapi dari segi yang lain, Ahmad Zahid memainkan peranan instrumental untuk memastikan UMNO terus menyokong Anwar dan tanpa sokongan itu, kerajaan tersebut berkemungkinan akan jatuh."

Pemerhati politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turut bersetuju dengan pandangan itu.

"Anwar juga perlu menghormati hierarki parti dalam BN dan hakikat bahawa Ahmad Zahid masih belum disabitkan bersalah. Ia membabitkan isu keperluan politik," katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun, tindakan Anwar melantik Ahmad Zahid menyebabkan ramai rakyat Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati di Twitter termasuk bekas Presiden Transparency International Malaysia Ramon Navaratnam.

"Zahid Hamidi telah dilantik sebagai Timbalan PM, jadi terdapat persoalan mengenai kredibiliti polisi negara pada masa depan," kata Ramon kepada BenarNews.

"Kita bercakap soal antirasuah tetapi kemudiannya kita mendapat seorang individu yang didakwa atas isu rasuah (sebagai timbalan PM). Di manakah kredibiliti?"

Ramai pengkritik sebelum ini mendakwa kesungguhan Ahmad Zahid menggesa agar pilihan raya umum diadakan segera, kira-kira setahun sebelum tarikh matang Dewan Rakyat, adalah disebabkan perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya. Mereka percaya Ahmad Zahid mahukan sebuah kerajaan yang akan dapat membantu beliau dalam kes itu.

Kini selepas beliau dilantik sebagai Timbalan PM, adakah Anwar juga akan berasa tertekan untuk campur tangan dalam kes rasuah pemimpin UMNO itu? Beberapa penganalisis politik berbeza pendapat mengenai perkara itu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia percaya Anwar tidak akan mencampuri urusan badan kehakiman.

"Negara kita mengamalkan konsep pengasingan kuasa (antara eksekutif, perundangan dan kehakiman)," katanya kepada BenarNews.

"Jadi, kes mahkamah yang dihadapi Zahid Hamidi dan lantikannya sebagai Timbalan PM adalah dua perkara yang berasingan. Mungkin pada akhir perbicaraan nanti, sekiranya Zahid didapati bersalah, beliau akan terpaksa meletakkan jawatan daripada Kabinet."

Bagaimanapun, seorang lagi penganalisis, Salawati Mat Basir, tidak begitu optimistik seperti Mazlan.

"Kes Zahid bakal digugurkan," katanya kepada BenarNews.

'Kebanyakan daripada mereka berpengalaman'

Dalam sidang media pada Jumaat, Anwar mengumumkan senarai barisan Jemaah Menteri berjumlah 28 orang, lebih kecil berbanding Kabinet pimpinan kerajaan BN sebelum ini.

Senarai diumumkan Anwar menunjukkan sebuah Kabinet yang majoriti ahlinya daripada etnik Melayu dan dianggotai lima wanita.

Blok PH pimpinan Anwar mendapat jawatan terbanyak dalam Kabinet tersebut iaitu seramai 15 orang. Portfolio mereka termasuk hal ehwal dalam negeri, kewangan, ekonomi dan kesihatan.

BN pula diberikan enam kementerian termasuk jawatan Timbalan PM, portfolio pertahanan, undang-undang dan luar negeri. Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dinamakan sebagai Menteri Pertahanan.

GPS pula mendapat enam portfolio.

Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia menzahirkan rasa berpuas hati dengan senarai Jemaah Menteri itu.

"Ia adalah sebuah Kabinet yang boleh berfungsi, kecil tetapi padat. Kabinet ini disediakan secara spesifik bagi menangani isu ekonomi," kata beliau.

"Ahli Kabinet yang dipilih mempunyai reputasi baik dalam kerja mereka, (dan) kebanyakan daripada mereka adalah berpengalaman."

Para penganalisis berkata tindakan Anwar mengambil portfolio Menteri Kewangan mampu memberikan keyakinan kepada para pelabur dan bursa memandangkan beliau pernah memegang tugasan itu sebelum ini, walaupun lebih 30 tahun lepas.

"Dengan Anwar memegang portfolio kewangan, ...pasaran saham dijangka memberikan reaksi positif," kata Oh.

Mazlan pula berkata Anwar adalah satu-satunya pemimpin yang mempunyai pengalaman tujuh tahun sebagai Menteri Kewangan.

"Rasa prihatin beliau terhadap orang susah akan diterjemahkan kepada agenda kewangan dan ekonomi negara," katanya.

Pada 1991, Anwar dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu. Anwar kekal memegang jawatan itu sehingga beliau dipecat pada 1998 selepas bercanggah pendapat mengenai cara mengendalikan ekonomi negara ketika krisis kewangan Asia.

Bagaimanapun, Ramon mempersoal idea Perdana Menteri turut memegang portfolio kewangan.

"Kita pernah membuat kesilapan sama dengan mempunyai PM yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan. Saya rasa terdapat ramai rakyat yang turut menyuarakan kegusaran mengenai konflik kepentingan dalam hal ini," kata beliau.

"Kita telah belajar daripada apa yang terjadi waktu era bekas PM Najib Razak. Menteri Kewangan harus seorang yang bebas," tambahnya.

Najib didakwa telah bersubahat dalam skandal dana pelaburan negara 1MDB yang telah menyebabkan kerajaan pimpinannya tumbang pada 2018. Beliau telah menubuhkan 1MDB pada 2009 ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, dan mendakwa syarikat itu akan membawa kebaikan kepada rakyat Malaysia.

Lebih AS$4.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB melalui syarikat-syarikat cengkerang palsu kepada para pegawai yang korup serta rakan mereka, menurut Jabatan Keadilan AS.

Najib kini berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB. Beliau juga mungkin berdepan 10 pertuduhan lain.

Bekas PM itu kini meringkuk dalam penjara bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes lain membabitkan sebuah anak syarikat 1MDB.

Sementara itu, tugas pertama Anwar sebagai Menteri Kewangan apabila Parlimen dibuka semula pada 19 Dis depan ialah membentangkan Belanjawan 2023.

Bagaimanapun, sebelum itu beliau akan mengusulkan sesi undi percaya di Parlimen bagi membuktikan keabsahan kerajaan pimpinannya.


Iman Muttaqin Yusof, Fitri Hazim, Nisha David, Tengku Noor Shamsiah, Noah Lee di Kuala Lumpur, dan Nani Yusof di Washington menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.