Anwar Kritik Mahkamah Syariah Sebat Pasangan Lesbian

Ali Nufael
2018.09.04
Kuala Lumpur, Malaysia
180904-MY-Anwar-LGBT-1000.jpg Bekas ketua pembangkang Malaysia yang dipenjarakan, Anwar Ibrahim, semasa berucap di hadapan pemimpin perniagaan di pusat komersil Makati, Manila, Filipina, 4 September, 2018.
[AP]

Hukuman sebat di khalayak ramai ke atas dua orang wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan seks sejenis oleh sebuah mahkamah syariah Malaysia dilakukan tanpa melalui proses keadilan dan tanpa belas kasihan, kata Anwar Ibrahim, Ketua Parti Keadilan Rakyat [PKR] yang bakal menjadi perdana menteri.

Ketika kumpulan hak asasi manusia mengutuk hukuman sebat ke atas kedua-dua wanita di Terengganu pada Isnin, seorang pegawai pejabat agama di negeri Pahang pula mengatakan bahawa negeri itu merancang untuk mengenakan hukuman yang sama terhadap kaum homoseksual beragama Islam yang melanggar undang-undang syariah tempatan.

"Saya seorang umat Muslim, dan saya tidak berkongsi tafsiran itu dan sudah tentulah tindakan seperti itu yang dibuat di khalayak ramai, hukuman sebat tanpa melalui proses keadilan yang betul serta tanpa belas kasihan adalah sesuatu yang tidak diterima oleh rakyat Malaysia, " kata Anwar kepada satu sidang media di Filipina.

"Jika anda membuat kenyataan mengenai (yang mengkritik) perkara ini, anda akan dilabel sebagai anti undang-undang syariah, anda dilabel sebagai orang sekular dan sebagainya,” tambah beliau.

Anwar, yang memainkan peranan dari sel penjara di dalam membawa Pakatan Harapan kepada kemenangan yang menakjubkan pada pilihan raya umum 9 Mei, dijangka akan mengambil alih sebagai perdana menteri daripada Perdana Menteri Mahathir Mohamad seperti dijanjikan sebelum kemenangan tersebut.

Anwar, 71, berada di Manila dua hari adalah dalam rangka lawatan sosial untuk bertemu dengan kenalan lamanya, termasuk bekas Presiden Joseph Estrada, yang terpaksa letak jawatan pada 2001 dan kemudian disabitkan dengan kesalahan korupsi sebelum menerima pengampunan presiden.

Anwar juga menyampaikan ucapan di hadapan sekumpulan ahli perniagaan Filipina.


Tiada bantahan terhadapnya: 'Menteri Hal Ehwal Agama

Di Terengganu pada April lalu, pegawai penguatkuasa Islam Malaysia menahan kedua-dua wanita, berusia 32 dan 22 tahun, selepas dituduh cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di dataran awam. Mereka mengaku bersalah bulan lepas kerana melanggar undang-undang syariah dan dikenakan hukuman enam sebatan dengan rotan serta denda.

Pada Isnin, kira-kira 100 orang menyaksikan hukuman sebat ke atas kedua-dua wanita yang didapati bersalah itu. Seorang pegawai agama Islam di Pahang memberitahu BeritaBenar bahawa pihak berkuasa Islam sedang melakukan kajian mendalam untuk menggunakan rotan semasa menjalankan hukuman sebat terhadap lesbian dan gay yang beragama Islam yang di dapati bersalah kerana melanggar undang-undang syariah tempatan.

"Kami mengkaji perkara ini dengan teliti. Kami ingin melaksanakannya di sini, " kata sumber yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pahang kepada BeritaBenar.

Pada Isnin, Mujahid Yusof Rawa, Menteri Malaysia yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam, berkata hukuman yang dikenakan terhadap kedua-dua wanita itu "tidak menyebabkan kesakitan."

"Saya mengambil isu ini, selagi ianya dijalankan di bawah kedaulatan undang-undang, maka (kami) tidak membantah," kata Mujahid kepada pemberita semasa merasmikan satu majlis di luar Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menggesa mereka yang tidak berpuas hati  dengan hukuman itu, bolehlah mendesak untuk mengubah undang-undang di peringkat negeri itu.

Kebanyakan umat Islam Malaysia mempunyai sistem mahkamah persekutuan dan sistem pengadilan Islam yang berfungsi secara berasingan.

Mengikut undang-undang syariah,hubungan seksual antara wanita dipanggil Musahaqah dan boleh dihukum dengan rotan di negeri-negeri seperti di Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

‘Kembali ke zaman kegelapan’

Hukuman sebat terhadap kedua-dua wanita itu menimbulkan kritikan yang meluas, di tengah-tengah kebimbangan mengenai sikap tidak bertoleransi terhadap masyarakat LGBT.

Pada Selasa, Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, berkata para pegawai di Terengganu yang menjalankan hukuman itu telah melanggar hak asasi manusia yang mencemarkan imej Malaysia sebagai negara yang menghormati hak asasi kemanusiaan.

Beliau menggesa kerajaan persekutuan mengambil langkah untuk memastikan golongan lesbian atau gay tidak menerima hukuman yang sama. Seseorang tidak patut diseksa atas apa-apa sebab, termasuk hubungan sejenis di antara dua orang dewasa yang saling menyayangi, katanya.

Gwen Lee, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia, berkata hukuman rotan terhadap dua wanita dewasa "telah menghantar Malaysia kembali ke zaman kegelapan" dan menunjukkan bahawa kerajaan baru tidak komited dalam melindungi hak komuniti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara itu.

Duta Besar Amerika Syarikat, Kamala Shirin Lakhdir di dalam komen terhadap hukuman sebat itu berkata kepada pemberita,"Saya sedih dengan hukuman rotan terhadap dua orang wanita di Terengganu hari ini (Isnin). Saya menghargai semua organisasi dan individu yang telah bersuara untuk membela toleransi dan hak asasi manusia,"

Tetapi Musa Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, mendakwa bahawa hukuman terhadap dua wanita itu dilakukan tanpa menjejaskan martabat mereka.

"Undang-undang syariah melindungi maruah pesalah. Mereka berpakaian lengkap dan 'aurat' mereka dilindungi, " katanya, merujuk kepada bahagian badan yang mesti dilindungi mengikut Islam.

"Ia berbeza daripada hukuman yang dikenakan di Barat, di mana pesalah itu dilucutkan pakaian dan hanya bahagian sulit dilindungi," katanya.

Kali terakhir seorang wanita dijatuhkan hukuman sebat di Malaysia berlaku pada Mac 2010 di Pahang.

Kartika Sari Dewi Shukarno didapati bersalah kerana melanggar undang-undang Islam negara dengan meminum bir, tetapi Sultan Pahang meringankan hukumannya kepada menjalankan perkhidmatan untuk komuniti tempatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.