Jawatan Anwar Ibrahim Sebagai Ketua Pembangkang Malaysia dinaiktaraf Menteri

Penganalisis politik suarakan "kekecewaan" terhadap Anwar kerana menerima pengiktirafan itu, sekaligus hilang taring semak dan imbang.
Noah Lee
2021.10.12
Kuala Lumpur
Jawatan Anwar Ibrahim Sebagai Ketua Pembangkang Malaysia dinaiktaraf Menteri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, 25 Ogos, 2021.
[Pejabat Perdana Menteri]

Jawatan ketua pembangkang Malaysia yang disandang oleh Anwar Ibrahim telah dinaiktarafkan oleh kerajaan kepada kedudukan yang sama seperti menteri pada Selasa, seperti yang diminta oleh pembangkang sebelum ini. Penaiktarafan itu bermakna Anwar layak untuk mendapat faedah serta kemudahan kerajaan yang serupa dinikmati oleh menteri kabinet.

Beberapa orang penganalisis bagaimanapun menyuarakan "kekecewaan" mereka dengan Anwar kerana menerima pengiktirafan itu, dan termasuk menyifatkan ia sebagai hanya satu bentuk ganjaran kepada pemimpin pembangkang itu kerana menunjukkan "perangai yang elok" dengan tidak melawan kerajaan.

Penaiktarafan itu diumumkan oleh Anthony Loke Siew Fook, seorang pemimpin utama dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP), melalui satu kenyataan yang dimuatnaik ke laman media sosial Facebook rasmi miliknya pada Isnin, dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menyerahkan surat rasmi kepada Anwar sebelum mesyuarat antara pimpinan tertinggi Pakatan Harapan pimpinan Anwar dengan kerajaan bermula.

"Sebelum mesyuarat bermula, Perdana Menteri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Ketua Pembangkang untuk menaiktaraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan Pejabat Menteri," kata Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau turut memuatnaik sekeping gambar daripada mesyuarat tersebut, yang menunjukkan bahawa ia turut dihadiri oleh tiga orang menteri kabinet iaitu Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Ismail pada 13 September lepas telah menandatangani satu perjanjian persefahaman dengan Pakatan Harapan, yang merupakan blok terbesar dalam parti pembangkang, di mana Putrajaya berjanji untuk melaksanakan beberapa reformasi institusi yang menjadi tuntutan pembangkang selama ini.

Antara yang dijanjikan adalah transformasi pentadbiran termasuk menggubal undang-undang Anti-Lompat Parti, kebebasan institusi kehakiman, serta pembaharuan Parlimen termasuk ketua pembangkang "diberikan hak dan kemudahan yang sewajarnya".

Kerajaan juga berjanji bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.

Sebagai timbal balas, pembangkang bersetuju untuk tidak menggunakan kuasa undi mereka di Parlimen untuk menjatuhkan Ismail Sabri atau menghalang Belanjawan 2022 yang akan dibentang pada 29 Oktober ini.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan menyatakan bahawa mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan dan akan terus menjalankan fungsi mereka sebagai pembangkang yang berkesan dan melaksanakan semak dan imbang terhadap kerajaan.

Hilang kuasa semak dan imbang

Persetujuan Anwar untuk menerima penaiktarafan itu adalah bertentangan dengan apa yang pernah disuarakan beliau pada Ogos, ketika tawaran serupa diberika oleh Muhyiddin Yassin, yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.

Ia merupakan salah satu tawaran dibuat Muhyiddin bagi mendapatkan sokongan pembangkang untuk menjamin kedudukannya yang pada ketika itu telah tergugat selepas beberapa pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti komponen terbesar yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya telah menarik diri.

Anwar pada waktu itu dilaporkan berkata bahawa tawaran dibuat Muhyiddin itu merupakan satu bentuk penghinaan terhadap dirinya.

"Tak pernah saya sebut. Tak pernah saya minta. Tak pernah saya fikir pun munasabah untuk dalam keadaan pandemik, ekonomi yang meleset ini mahu dapat RM40,000, RM50,000 gaji tambahan dan kemudahan setaraf menteri kanan.

"Saya tidak langsung berfikir ini wajar dan munasabah. Takkanlah ini boleh dibuai. Bagi saya satu penghinaan, orang nak dapat RM50, RM100 tambahan sebulan untuk cari nafkah anak-anak pun susah, kamu pelawa ketua pembangkang RM40,000, RM50,000 sebulan tambahan dengan segala status dan sebagainya," kata beliau, seperti dilaporkan akhbar tempatan Berita Harian pada 14 Ogos lepas.

Penganalisis politik James Chin berpandangan masa penaiktarafan jawatan ketua pembangkang itu dibuat memberikan gambaran bahawa ia satu bentuk gula-gula kepada pembangkang kerana memberikan kerjasama mereka kepada Ismail Sabri.

Beliau merujuk kepada pelan Rancangan Malaysia Ke-12 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa sebarang pindaan pada Khamis (7 Oktober) lepas. Perdana Menteri telah membentangkan usul yang memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM400 bilion itu pada 27 September.

"Masa (pengiktirafan dibuat) - hanya selepas RMK-12 diluluskan dan dilihat sebagai satu bentuk keyakinan terhadap Ismail Sabri - seperti memberikan gambaran bahawa ia ada satu ganjaran kepada pembangkang kerana berkelakuan baik," kata Chin kepada BenarNews.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun, felow kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata perjanjian persefahaman antara pembangkang dan kerajaan telah membuatkan Pakatan Harapan menjadi lembut dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ejen semak dan imbang dengan berkesan.

"Ia mengecewakan, jika difikirkan mengenai cita-cita (Anwar) untuk menjadi seorang Perdana Menteri," kata Oh kepada BenarNews.

"Sebab itu saya dari awal lagi telah menentang persefahaman ini. Disebabkan perjanjian tersebut, Pakatan Harapan memilih untuk menjadi senyap (low profile) dan bukannya menjalankan semak dan imbang dengan bersungguh-sungguh.

"Walaupun Pakatan Harapan hendak menjadi garang dalam isu-isu yang menjadi pertikaian di Parlimen, ia tetap juga tidak akan membawa kesan kerana mereka telah membuat komitmen untuk menyokong Ismail Sabri jika tiba waktu untuk membuat undi percaya.

"Dan undi percaya ini adalah apa yang benar-benar penting dalam politik," tambah beliau.

Ahli Parlimen Orang Asli calon Timbalan Speaker

Sementara itu, UMNO pada Selasa mengumumkan bahawa mereka mencalonkan ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru.

Ramli yang merupakan seorang bekas pegawai polis adalah Anggota Parlimen UMNO berasal dari suku kaum Semai, dan memenangi kerusi bagi kawasan Parlimen Cameron Highlands semasa Pilihan Raya Kecil pada 2019.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan melalui Twitter, di mana beliau menyatakan bahawa Ramli menjadi Orang Asli pertama dicalonkan untuk jawatan kedua tertinggi dalam Dewan Rakyat.

"Perdana Menteri dan Presiden UMNO kedua-duanya telah bersetuju agar Yang Berhormat Ramli Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands, dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

"Ini suatu sejarah, sebagai Orang Asli pertama yang dicalon," kata Ahmad.

Pencalonan Ramli itu dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan timbalan speaker selepas penyandangnya, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada Ogos lalu.

Sebelum ini, UMNO telah mencalonkan nama Ahmad untuk menyandang jawatan tersebut, namun membatalkannya selepas ia mendapat tentangan parti BERSATU, yang merupakan salah sebuah parti yang menyokong kerajaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.