Putrajaya kaji semula projek berbilion ringgit diluluskan zaman pemerintahan Muhyiddin

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa semakan yang dibuat mendapati peruntukan yang diberikan tidak mengikut prosedur.
Iman Muttaqin Yusof & Noah Lee
2022.12.06
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Putrajaya kaji semula projek berbilion ringgit diluluskan zaman pemerintahan Muhyiddin
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, Perak, 2 December 2022.

Perdana Menteri baharu Malaysia pada Selasa berkata pentadbirannya akan mengkaji semula projek bernilai berbilion ringgit yang telah diluluskan oleh kerajaan Muhyiddin Yassin, dengan mendakwa peruntukan yang diberikan tidak mengikut prosedur yang sewajarnya.

Anwar Ibrahim juga mendakwa bekas perdana menteri itu semasa memerintah negara dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, telah memberi kontrak kepada keluarga, dan yang mempunyai kaitan dengan yang berkuasa, Muhyiddin pula berkata beliau tidak takut untuk disiasat, kerana tidak menyalahgunakan dana kerajaan.

Anwar pada satu sidang media yang diadakan selepas beliau memulakan tugas sebagai Menteri Kewangan memberi amaran kepada bekas perdana menteri itu supaya tidak mencabarnya untuk mendedahkan semua bukti mengenai dakwaan bahawa dana kerajaan telah disalahgunakan ketika era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional.

"Kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar…kerana ternyata ada beberapa peraturan dan prosedur yang tidak dipatuhi serta ada beberapa syarikat berkepentingan membabitkan keluarga juga terlibat.

"Tetapi sebaik kita dicabar, kita perlu melihat mengenai perkara ini…. Mereka tidak bersih sama sekali bila kita sebut tentang kelulusan yang dibuat tidak ikut peraturan, begitu juga kelulusan yang dibuat semasa Perintah Kawalan Pergerakan," kata Anwar sebagai respon terhadap kenyataan yang dibuat Muhyiddin pada Isnin.

Menurut Anwar, yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan, berpuluh bilion ringgit wang negara telah dibelanjakan untuk bantuan ketika pandemik COVID-19 tanpa mengikut prosedur yang betul.

Perdana Menteri itu bagaimanapun, tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai jenis perniagaan atau syarikat yang didakwa terlibat dalam perkara tersebut.

Ketika Muhyiddin memegang tampuk pemerintahan negara, beliau telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP sebagai satu cara untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Perintah tersebut meliputi perintah berkurung serta larangan aktiviti sosial dan perintah itu di Malaysia dikatakan sebagai antara yang terpanjang pernah dilaksanakan di seluruh dunia.

Pada Isnin, Anwar mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan telah memaklumkan kepadanya bahawa terdapat pelanggaran prosedur dalam proses meluluskan dana RM600 bilion oleh Muhyiddin, dengan Perdana Menteri itu menyatakan bahawa beliau akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk meneliti sejauh mana penyelewengan, rasuah atau salah laku dalam kes berkenaan.

Susulan dakwaan tersebut, Muhyiddin telah mengeluarkan penafian segera melalui akaun Facebook beliau pada Isnin, menyatakan bahawa dirinya tidak pernah mengambil atau menyeleweng wang untuk membantu orang ramai.

Berdasarkan data Kementerian Kewangan tahun lepas, Malaysia telah membelanjakan kira-kira RM83 bilion untuk memberikan bantuan berkaitan pandemik, termasuk sejumlah RM5 bilion yang digunakan bagi mendapatkan vaksin dan RM21 bilion untuk memberikan subsidi gaji, kata Muhyiddin.

"Tidak ada satu sen pun duit ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya," kata Muhyiddin dalam kenyataannya.

"Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun.

"Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun," kata beliau.

Tambah Muhyiddin, kebanyakan inisiatif tersebut juga adalah berbentuk non-fiskal dan tidak membabitkan perbelanjaan kerajaan, dan oleh itu adalah mustahil untuknya menyeleweng dana tersebut.

Henti projek tebatan banjir

Pada Selasa, Anwar juga mengumumkan bahawa kerajaan akan menyelidik dengan teliti projek-projek tebatan banjir yang dilakukan kerajaan sebelum ini. Beliau berkata sejumlah RM7 bilion telah diluluskan melalui tender secara terus dan beliau telah menghentikan projek berkenaan.

"Kita akan melihat semula sesetengah kelulusan yang diberikan sebelum ini. Kita akan teruskan projek yang baik tetapi dengan cara baru.

"Saya juga menekankan mengenai beberapa projek terkini, termasuk kelulusan untuk tebatan banjir di mana sejumlah RM15 bilion telah diperuntukan, dan RM7 bilion diluluskan tanpa melalui proses tender seperti biasa kerana telah diberikan secara rundingan terus," kata Anwar.

"Saya telah meminta supaya projek-projek ini dihentikan dan dilihat semula bagi memastikan ketelusan dan mengikut peraturan."

Akan tetapi, bekas menteri alam sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan balas pada Selasa berkata projek sedemikian diberikan secara rundingan terus kerana keperluan mendesak dan bukannya satu kesalahan perolehan.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui tender rundingan terus sebagai tidak teratur dan wujud pihak yang mencari kesempatan.

"Beliau tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak.

"Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tender terpilih khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain," kata beliau.

Perlu disiasat

Dalam pada itu, penganalisis politik percaya bahawa siasatan perlu dijalankan terhadap proses perbelanjaan wang negara ketika COVID-19, terutama sekali kerana ia membabitkan jumlah yang amat besar.

Bridget Welsh dari Institut Kajian Asia di Universiti Nottingham Malaysia berkata ia adalah sesuatu yang wajar untuk dilakukan dan siasatan sepatutnya dialu-alukan semua sekiranya tidak ada apa yang hendak disembunyikan.

"Siasatan terhadap perbelanjaan oleh kerajaan terdahulu adalah sesuatu yang berlaku di seluruh dunia. Tetapi apa yang penting adalah bagaimana siasatan itu dibuat - ia perlu dilakukan secara bebas dan adil," kata beliau kepada BenarNews.

Menurut Welsh, laporan hasil siasatan itu juga perlu didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan, dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pula perlu meneliti semua akaun.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah agensi yang paling sesuai untuk mengambil tanggungjawab menjalankan siasatan terhadap isu berkenaan.

Beliau percaya bahawa kerajaan sedang cuba memastikan sama ada terdapat salah laku atau ketirisan dalam perbelanjaan RM600 bilion, dan siasatan akan mengambil sedikit masa memandangkan jumlah yang besar.

"Saya rasa siasatan awal patut dibuat oleh polis atau SPRM. SPRM mungkin adalah agensi yang paling tepat sekali untuk menyiasag dakwaan ini.

"Mengenai isu berat sebelah, saya percaya SPRM adalah sesuai, tetapi jika kita ingin pergi lebih jauh dari segi memastikan tidak ada isu berat sebelah, maka yang terbaik adalah dengan mengadakan siasatan oleh Suruhanjaya Diraja.

"Tetapi proses menubuhkan RCI dan siasatannya akan mengambil masa," tambah beliau lagi.

Ketua Persuruhjaya SPRM Azam Baki semasa dihubungi BenarNews mengenai siasatan isu dana RM600 bilion itu secara ringkas berkata, “Ya, SPRM telah membuka kertas siasatan berhubung isu ini.”

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.