Anwar Ibrahim hadir Perhimpunan Agung UMNO setelah suku abad

Penganalisis berpendapatan Pilihan Raya Negeri bakal menjadi pengukur kepada prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.09
Kuala Lumpur
Anwar Ibrahim hadir Perhimpunan Agung UMNO setelah suku abad Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 9 Jun, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat menghadiri Perhimpunan Agung UMNO untuk kali pertama sejak beliau dipecat dari parti itu 25 tahun dahulu, dalam misi mengukuhkan sokongan terhadap gabungan bersama bekas seteru politik, tatkala kedua-dua gabungan akan bekerjasama dalam menghadapi enam pilihan raya negeri.

Penganalisis berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung antara Julai dan Ogos depan bakal menjadi kayu pengukur kepada pandangan rakyat terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan serta hubungan kerjasama Pakatan Harapan dan UMNO serta Barisan Nasional.

“Perkara utama yang kita perlu penuhi adalah tanggungjawab kita pada negara,” ujar Anwar yang menerima sambutan gemuruh sebaik beliau tiba di majlis perasmian perhimpunan agung tersebut di ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur.

“Pengalaman peribadi adalah penting namun ia tidak seharusnya mengatasi kepentingan rakyat dan negara. Sehubungan itu, saya hadir kerana saya ingin menggunakan platform ini untuk mengukuhkan Kerajaan serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada media selepas majlis perasmian.

Anwar merupakan Timbalan Presiden UMNO sebelum beliau digugurkan dari parti selepas dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Turut hadir pada majlis perasmian perhimpunan agung parti terbesar orang Melayu itu adalah Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Presiden Parti Warisan Negara dari Sabah, Shafie Apdal.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menggesa 3.4 juta ahli parti Melayu terbesar negara itu memainkan peranan yang kritikal dalam memenangi undi Melayu semasa PRN nanti.

Tegasnya, sokongan UMNO amat penting untuk merampas tiga buah negeri – Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai pembangkang, di samping mempertahankan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang kini diperintah blok pimpinan Anwar, Pakatan Harapan.

“UMNO memikul Amanah yang amat besar kerana berhadapan dengan negeri-negeri yang dikenali sebagai jalur Melayu atau ‘the Malay Belt’. Menjadi tanggungjawab kita bersama membawa umat Melayu dan rakyat di negeri-negeri berkenaan menjadi sebahagian dari Kerajaan Madani yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia.

“Kita tidak mahu negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyat daripada hakikat politik lama tanah air yang sebenar.

“Perdana Menteri, anda mesti memastikan kita rampas balik (negeri-negeri ini) dengan kuasa kerajaan (perpaduan). Saya di sini, bersama dengan seluruh jentera UMNO akan menyokong dan membantu anda,” ujar Zahid dalam ucapannya.

Perhimpunan agung selama empat hari itu, dihadiri lebih 6,300 perwakilan UMNO dari seluruh Malaysia yang melibatkan semua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, Pakatan Harapan memenangi 82 daripada 222 kerusi parlimen, membentuk Kerajaan Perpaduan bersama musuh tradisi UMNO yang berjaya memenangi 30 kerusi.

Ia adalah perubahan drastik buat UMNO, tunjang kerajaan Barisan Nasional yang memerintah selama enam dekad sebelum kecundang buat kali pertama pada PRU14 pada 2018.

Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, telah melantik Zahid yang sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan rasuah, sebagai Timbalan Perdana Menteri, bersama dengan Fadillah dari GPS ke jawatan yang sama. Selain itu, Anwar telah memperuntukan enam jawatan Kabinet kepada UMNO termasuk beberapa portfolio penting.

Pada Rabu, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan menjelaskan kegagalan parti tersebut dalam meraih kepercayaan 5.8 juta pengundi baharu dalam PRU15 telah mendorong kepada kerjasama politik bersama Pakatan Harapan untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan.

“Apa makna semua angka-angka ini? Maknanya kita harus menerima dan hidup dengan kenyataan bahawa kita telah tewas dengan dahsyat,” Mohamad berkata dalam ucapan pada hari pertama perhimpunan agung berkenaan.

“Kerana itulah, kita tidak boleh mendabik dada. Bercakap dan berhujah dalam penafian. Berlagak seolah-olah UMNO ini keramat dan tersangat kukuh. Sedangkan, kita ditolak oleh rakyat Malaysia dengan kekalahan yang sangat mengesankan.”

Kayu pengukur

Syaza Shukri, pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keputusan pilihan raya negeri akan menjadi kayu pengukur kepada sokongan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan dan kerajaan pimpinan Anwar.

“Ia seperti pilihan raya separuh penggal di mana kita dapat mengukur pandangan rakyat terhadap kerajaan.

“Walaupun pilihan raya negeri tidak melibatkan seluruh negara, ia mampu memberi gambaran umum sentimen rakyat, khususnya mereka yang mengundi buat pertama kali pada November lalu (PRU15),” ujarnya.

Syaza berkata meskipun UMNO dan PH bermusuh sebelum ini, beliau berpendapat penyokong tegar UMNO akan kekal setia kepada parti tersebut dan dijangka mengundi calon Pakatan Harapan pada PRN.

“Manakala penyokong UMNO yang lebih konservatif mungkin akan memilih untuk tidak terlibat dengan pilihan raya atau mengundi calon pembangkang. Mereka yang berada di atas pagar mungkin akan menyokong keputusan Zahid kerana mereka dapat melihat Kerajaan Perpaduan ini berhasil dan adalah lebih baik untuk memilih kestabilan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik Azmi Hassan pula berpandangan PRN akan datang tidak hanya akan menjadi kayu pengukur kepada Anwar dan UMNO, tetapi juga berfungsi sebagai referendum, jika pembangkang memenangi kemenangan besar, berkemungkinan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO mempunyai tanggungjawab besar untuk menarik sokongan pengundi Melayu di negeri-negeri majoriti Melayu. Bagaimanapun, secara strategiknya, UMNO berdepan cabaran untuk bekerjasama dengan DAP, disebabkan penyokong akar umbinya mempunyai pilihan parti bertunjangkan Melayu yang lain, seperti Perikatan Nasional atau PAS,” ujar Azmi, fellow kanan Akademi Kajian Strategik Nusantara kepada BenarNews.

Perikatan Nasional merupakan blok pembangkang yang dipimpin bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di mana PAS - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah antara tunjang utama gabungan itu.

Jeneri Amir pula berpandangan yang penyokong UMNO memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Ia merupakan satu cabaran besar bagi Anwar untuk meyakinkan ahli UMNO menyokong kerajaannya. Amat penting bagi mereka bergerak ke hadapan kerana mereka kini berada dalam satu kerajaan,” kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu kepada BenarNews.

Beliau berkata imej UMNO yang sudah tercemar merumitkan parti itu untuk memenangi kerusi pada PRN akan datang.

PRN dijangka akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi. Sehingga kini dua negeri – Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sudah mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Negeri masing-masing manakala empat negeri lain masih belum memberi kata putus.

Ili Shazwani Ihsan dan Iskandar Zulkarnain di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.