Follow us

Anwar Ibrahim Menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Malaysia

Lex Radz
Port Dickson, Malaysia
2018-10-13
E-mel
Komen
Share
Ahli politik Malaysia Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para penyokongnya selepas menang besar dalam pilihan raya kecil di bandar pesisir selatan Port Dickson, Negeri Sembilan, 13 Okt 2018.
Ahli politik Malaysia Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para penyokongnya selepas menang besar dalam pilihan raya kecil di bandar pesisir selatan Port Dickson, Negeri Sembilan, 13 Okt 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Ahli politik Malaysia Anwar Ibrahim meraih kemenangan dalam satu pilihan raya kecil yang dianggap istimewa pada Sabtu, sekali gus membuka laluan beliau ke Parlimen yang dilihat banyak pihak sebagai langkah pertama untuk kembali berkuasa sebelum menggantikan Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Angka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan bahawa Anwar menerima lebih 71 peratus daripada jumlah keseluruhan pembuangan undi pada pilihan raya kecil bagi merebut kerusi parlimen yang  mewakili bandar pesisir Port Dickson di Negeri Sembilan, kira-kira 100 kilometer (62 batu) di selatan Kuala Lumpur.  

“Sememangnya saya amat gembira dan terkesan dengan keputusan ini,” kata Anwar, 71, kepada para penyokongnya beberapa jam selepas pengundian berakhir.

“Saya baru menghubungi dan bercakap dengan Tun Mahathir dan beliau gembira,” kata beliau menggunakan gelaran kehormat yang dianugerah kepada pemimpin Malaysia berusia 93 tahun itu.

Anwar menyifatkan kemenangannya dengan majoriti yang begitu besar sebagai tidak dijangka namun meyakinkan.

"Bagi saya ini adalah satu pencapaian penting, satu undi yang penuh dengan keyakinan kepada kerajaan dan agenda pembaharuan, serta perdana menteri," kata beliau kepada pemberita semasa kira-kira 1,000 penyokong bersorak di ibu pejabat kempennya.

Anwar merupakan tahanan politik negara paling terkenal sehingga beliau mendapat pengampunan penuh diraja pada Mei tahun ini, apabila gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya bersama Mahathir berjaya memperoleh kemenangan menakjubkan pada pilihan raya umum, sekali gus menyaksikan kejatuhan politik Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak.

Lebih 58 peratus daripada sejumlah 75,770 pengundi berdaftar keluar pada pilihan raya kecil Port Dickson yang menyaksikan pertarungan tujuh penjuru, termasuk Mohd Saiful Bukhari Azlan, seorang bekas pembantu yang menuduh Anwar dengan pertuduhan liwat.  Anwar menerima sejumlah 31,016 undi manakala Mohd Saiful Bukhari meraih 82 undi, kata para pegawai pilihan raya.

Pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu diadakan selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah, mengundurkan diri pada 12 Sept untuk memberi laluan kepada Anwar. Danyal merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat atau PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Anwar, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri Malaysia, meringkuk selama lapan tahun dalam penjara dalam tempoh  20 tahun lepas selepas disabitkan dengan kesalahan liwat yang disifatkan para penyokongnya sebagai bermotifkan politik, termasuk satu yang didakwa dirancang oleh Najib.

Untuk menewaskan Najib, Anwar dan Mahathir telah mengambil keputusan mengenepikan permusuhan mereka. Mahathir telah berjanji semasa kempen pilihan raya umum pada Mei lepas bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Lihat Laman Penuh