Follow us

Pakatan Harapan Namakan Anwar Ibrahim Sebagai Ketua Pembangkang

Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-05-07
E-mel
Komen
Share
Ahli Politik Malaysia Anwar Ibrahim semasa bercakap kepada  wartawan di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur, 29 Februari 2020.
Ahli Politik Malaysia Anwar Ibrahim semasa bercakap kepada wartawan di luar sebuah hotel di Kuala Lumpur, 29 Februari 2020.
[AFP]

Anwar Ibrahim secara rasminya dipilih sebagai ketua pembangkang baru Malaysia, beberapa bulan selepas kejatuhan kepimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, ketika semua anggota parlimen bersiap sedia menghadapi perubahan mendadak dalam pentadbiran kerajaan dan pengurusan wabak koronavirus pada sesi persidangan luar biasa sehari yang akan diadakan 18 Mei ini.

Pemilihan Anwar diumumkan oleh Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Saifudin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis, yang antara lain berkata permilihan itu dipersetujui oleh Majlis Presiden yang bermesyuarat pada 21 Mac and 26 April lalu.

“Secara kelaziman, jawatan Ketua Pembangkang diberi keutamaan kepada parti di dalam blok pembangkang yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai. Pada masa yang sama, pemilihan Ketua Pembangkang dilakukan dengan mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen di blok pembangkang. Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai telah memaklumkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa mereka tidak akan menjawat jawatan Ketua Pembangkang.

“Oleh itu, Majlis Presiden bersetuju menamakan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson sebagai Ketua Pembangkang. Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada YB Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Langkawi dan YAB Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Semporna,” kata kenyataan itu.

Menurut Saifudin, perkara yang sama juga telah dimaklumkan kepadaYang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof  pada 4 Mei dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, secara serahan tangan pada Khamis.

Anwar sahkan pemilihan


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menerusi sesi soal jawab pada program secara langsung di laman media sosial  Facebooknya lewat Khamis, turut mengesahkan yang namanya sudah dimaklumkan kepada speaker Dewan Rakyat dan juga ahli parlimen pembangkang oleh Saifudddin.

“[Pemilihan] Saudara Anwar (Ibrahim) disebut sebagai ketua pembangkang yang baharu, sekali lagi,” katanya menjawab soalan semasa sesi soal jawab.

Anwar pernah mengetuai blok pembangkang di Dewan Rakyat sebanyak dua kali selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Sementara itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal untuk memulakan usul undi percaya terhadap Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

“Saya telah meneliti usul yang dikemukakan oleh YB Datuk Seri Panglima (Shafie Apdal) serta perincian penjelasannya.

“Berdasarkan penjelasan yang dinyatakan dalam usul tersebut, saya mendapati ia adalah tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pelantikan jawatan YAB Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, saya tidak membenarkan usul YB Datuk Seri Panglima ini dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat,” katanya dalam satu surat rasmi bertarikh 5 Mei yang dilihat BeritaBenar yang dialamatkan kepada Shafie sebagai balasan notis yang dihantar oleh wakil rakyat dari Warisan berkenaan sebelum ini.

Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah telah mengutus surat kepada Mohamad Ariff memohon untuk membawa satu usul dan mengemukakan resolusi bagi membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli dewan.

Menurut surat itu, Shafie berkata, permohonan tersebut adalah selaras dengan Peraturan Mesyuarat 26 (1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27 (3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mahathir usul undi tidak percaya

Pada Isnin lepas, Mahathir turut menghantar satu notis kepada Speaker Dewan Rakyat itu yang memohon untuk membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Antara isi kandungan notis yang ditandatangani Mahathir dan dilihat BeritaBenar mengatakan “Yang Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad [Langkawi] akan mencadangkan:- ‘Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi Kawasan Langkawi untuk mencadangkan suatu usul iaitu menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3) dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat,”

Menurut individu yang berada di dalam kem ahli politik yang berusia 94 tahun itu, Mahathir masih belum menerima sebarang jawapan daripada pejabat Speaker mengenai permohonan yang dihantarnya itu.

“Ya. Notis yang dihantar kepada Speaker itu asli. Setakat ini belum ada jawapan lagi dari pejabat Speaker,” demikian menurut seorang pegawai khasnya kepada BeritaBenar yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap kepada media.

Dalam 17 April lalu, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan bahawa tarikh 18 Mei telah dipilih bagi mesyuarat pertama, penggal ketiga bagai Parlimen keempat belas.
Pada sesi dewan satu hari itu dimaklumkan bahawa persidangan hanya akan membincangkan Rang Undang-Undang dan Usul Urusan Kerajaan sahaja.

Parti pembangkang walaubagaimanapun membuat kenyataan bersama pada 4 Mei mengesa kerajaan untuk segera melaksana sidang Parlimen penuh dengan menambah jumlah persidangan sekurang-kurangnya dua minggu.

“Memandangkan Parlimen telah memutuskan SOP bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei diadakan, dan memandangkan banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat, maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan.

“Persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu yang lebih mendalam, serta membolehkan Ahli-Ahli Jemaah Menteri melaksana agenda legislatif Kementerian masing-masing,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan secara bersama oleh Anwar, Mahathir, Shafie, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dari Partik Tindakan Demokratik [DAP].

Usul milik speaker

Awang Azman Awang Pawi, penganalisa geopolitik dari Universiti Malaya berkata walaupun ramai yang mungkin tidak setuju dengan keputusan dan pendirian Speaker, ia adalah atas kuasa dan budi bicara beliau untuk meluluskan ataupun tidak usul itu dibentangkan di dalam dewan semasa bersidang.

“Speaker perlu dihormati walaupun keputusan tidak dipersetujui. Walaubagaimanapun ianya boleh menjadi isu akademik dan boleh diperdebatkan lanjut diluar Dewan,” kata Awang.

Tambah beliau Muhyiddin sudah semestinya menjangkakan tentang usul yang ingin dibentangkan terhadap beliau.

“Apa yang beliau telah buat ialah telah mengagihkan jawatan dalam kabinet dan dalam syarikat berkaitan kerajaan (untuk mengukuhkan sokongan keatas beliau) termasuk tekanan yang lebih kuat yang diberikan keatas kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan anak Mahathir, Mukhriz,” kata Awang lagi.

Muhyiddin, 72, dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 1 Mac, 2020 oleh Yang di-Pertuan Agong berikutan krisis politik berpanjangan yang turut melihat PH ditumbangkan tidak sampai dua tahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan baru Malaysia dipimpin oleh Muhyiddin yang mendapat sokongan daripada UMNO, PAS dan pecahan daripada PKR serta Bersatu termasuk parti dari Sabah dan Sarawak.

Lihat Laman Penuh