PKR perlu tokoh karisma pengganti Anwar Ibrahim

Penganalisis dan anggota parti berpendapat pelan peralihan kepimpinan mesti dilakukan bagi menentukan survival parti dan mengekalkan kuasa dalam kerajaan.
Ahmad Mustakim Zulkifli
2024.04.18
Kuala Lumpur
PKR perlu tokoh karisma pengganti Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa berucap pada Kongres PKR di Putrajaya, Malaysia, 26 November, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyambut ulang tahun ke-25 hujung minggu ini, penganalisis dan anggota parti berkata PKR perlu menggerakkan usaha untuk melatih pengganti kepada pengasas dan pemimpin parti itu, Anwar Ibrahim.

Walaupun beliau mampu menggalas tugas sebagai Perdana Menteri untuk mengepalai Pilihan Raya Umum 2028, mereka berkata PKR yang selama ini bergantung kepada karisma Anwar memerlukan masa untuk membentuk pengganti yang cekap sepertinya dan diterima di peringkat akar umbi.

PKR, parti pelbagai kaum yang diasaskan Anwar selepas pemecatannya daripada kerajaan pada 1998 sehingga meledakkan gelombang reformasi bertujuan menjadi alternatif kepada politik berasaskan perkauman yang ditunjangi Barisan Nasional (BN).

Walaupun beliau bergantung kepada isteri dan orang kepercayaannya untuk mengemudi parti ketika beliau di dalam penjara, Anwar tetap menjadi wajah dan penggerak utama parti berkenaan.

Bagaimanapun, timbul keraguan mengenai kelangsungan parti itu pasca kepimpinan Anwar.

Dalam satu kenyataan bersempena ulang tahun ke-25 parti itu, seorang Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim menyentuh persoalan berkenaan.

Bercakap kepada BenarNews, penganalisis politik Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Anwar harus dilihat sebagai pemimpin yang boleh digantikan.

"Jika ini berlaku, kelestarian PKR untuk tempoh jangka panjang akan terjamin. Jika tiada pengganti, bermakna PKR tiada pelan peralihan kepimpinan yang strategik dan bakal mereput dalam masa yang singkat," katanya.

Seorang pemimpin sayap pemuda parti itu yang enggan dinamakan turut mengakui tentang keperluan pelan peralihan kepimpinan walaupun bukan dalam masa terdekat.

"Bila tiba masanya, Anwar perlu menyerahkan baton. Soalnya sama ada ia boleh dilakukan secara terurus atau tidak.

“PKR mempunyai ramai pemimpin barisan kedua yang berpengalaman dalam pentadbiran. Ramai yang sudah menjadi Ahli Parlimen selama bertahun-tahun dan salah seorangnya ialah Menteri Besar Selangor, negeri terkaya di Malaysia," katanya.

Kekuatan kerajaan campuran

PKR memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan selepas tiada satupun daripada tiga blok utama politik yang berjaya memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.

Anwar bagaimanapun telah berjaya membentuk kerjasama dengan BN yang sebelum itu merupakan musuh politik PKR dan Pakatan Harapan (PH), di mana pengakhiran beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar berdepan pelbagai cabaran antaranya pilihan raya serentak di enam negeri.

Tanpa keserasian ideologi dalam kalangan bekas seteru politik untuk mengekalkan kerjasama di peringkat Persekutuan, Anwar dilihat menjadi tonggak utama keutuhan Kerajaan Perpaduan.

Isu terbaru yang akan menghantui pentabdiran Anwar adalah desakan pembebasan bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Awal April, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi telah memfailkan afidavit mengesahkan kewujudan titah tambahan supaya hukuman penjara Najib diganti kepada tahanan rumah.

Bekas pemimpin PKR, Lee Boon Chye yang berkhidmat sebagai timbalan menteri kesihatan semasa pentadbiran kali pertama PH mengakui terdapat risiko jelas untuk PKR kehilangan kerajaan campuran tanpa Anwar.

"PKR perlu membina kekuatan dalam usaha mengekalkan kedudukan sebagai teraju dalam kerajaan tanpa Anwar kelak.

“Kekuatan parti bergantung kepada sokongan akar umbi dan prestasi kerajaan campuran di bawah beliau," katanya sambil menambah Anwar masih diperlukan untuk memimpin PH dan kerajaan campuran bagi PRU ke-16 kelak.

Namun penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa, Tunku Mohar Mokhtar berpendapat, masa depan kerajaan perpaduan dilihat masih samar-samar walaupun diketuai oleh Anwar.

Jelasnya, isu pengganti Anwar lebih menjurus kepada masa depan politik PKR berbanding survival kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Walaupun untuk PRU akan datang, masih belum jelas sama ada parti-parti gabungan akan bertanding sebagai satu pasukan atau kembali bertempur seperti PRU15 dan sebelumnya.

“Tanpa kepimpinan personaliti yang boleh diterima luas oleh para penyokong, sukar untuk PKR mengekalkan pengaruh dalam kalangan rakyat," kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

ANWAR_GE14_CAMPAIGN_BENARNEWS_02 (1).jpg

Penyokong Pakatan Harapan bersorak semasa pemimpin pakatan itu memberi ceramah pada "Jelajah Mega Pakatan Harapan' di Dewan Serbaguna AU2 di Keramat, Kuala Lumpur, 16 November, 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pergolakan dalaman

Tunku Mohar turut menyatakan yang struktur PKR perlu dipersiapkan apabila Anwar bersedia untuk melepaskan kepimpinan.

Ini memandangkan parti itu mempunyai sejarah perpecahan antara kem-kem berbeza sepanjang penubuhannya.

Walaupun Anwar mengekalkan kepimpinan keseluruhan, pergolakan tercetus dalam perebutan jawatan sebagai timbalan beliau selain perebutan untuk menguasai pimpinan Pusat.

Perpecahan paling teruk disaksikan pada 2020, apabila kerajaan PH tumbang setelah Timbalan Presiden PKR ketika itu, Mohamed Azmin Ali yang juga orang kanan Anwar untuk sekian lama, membawa penyokong kuatnya termasuk sejumlah Ahli Parlimen keluar dari parti.

Mereka membentuk kerajaan baharu bersama Perikatan Nasional dan BN.
Jelas Mohar, memandangkan perpecahan dalaman tidak dapat dielakkan, PKR pasca Anwar mungkin memerlukan anaknya, Nurul Izzah untuk menggantikan beliau.

"Nurul Izzah mempunyai pengalaman sebagai Ahli Parlimen dan beliau juga Naib Presiden parti. Beliau mempunyai kelebihan berdasarkan latar belakang sebagai ahli keluarga Anwar selain mampu meraih sokongan daripada kem berbeza dalam parti. Beliau juga boleh memanfaatkan lingkungan dalaman bapanya untuk memperkasa kepimpinannya," tambah Tunku Mohar.

Bagi Kartini, usia 25 tahun mematangkan PKR dan ia tidak mungkin mati tanpa Anwar.

Meskipun mengakui PKR mempunyai barisan pelapis termasuk Nurul Izzah, parti tersebut perlu segera memperkenal dan memberi tumpuan kepada calon pengganti Anwar, jelas beliau.

"Lebih cepat, lebih baik. Pengundi akan yakin dengan parti tersebut jika pelan peralihan kuasa dilaksanakan dengan baik dan segera.”

Tunku Mohar bersetuju PKR sudah terlalu lama bergantung kepada Anwar dan ahli-ahlinya perlu diyakinkan dengan perjuangan parti tanpa mengira siapa tokoh yang memimpin.

Tambahnya lagi, PKR tidak berisiko menjadi parti yang 'bukan siapa-siapa' tanpa kehadiran Anwar.

"Parti itu terdiri daripada aktivis masyarakat sivil, bekas ahli UMNO dan Parti Rakyat Malaysia. Ia telah wujud selama 25 tahun dengan matlamat yang jelas dan mempunyai potensi untuk terus wujud.

"Ia mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan pengundi bandar yang pelbagai kaum dan dengan kepimpinan yang cekap, ia akan kekal menjadi parti bersifat sederhana,” jelasnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.