Pembangkang Malaysia Namakan Anwar Ibrahim Sebagai Calon PM

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-04-09
Share
Pembangkang Malaysia Namakan Anwar Ibrahim Sebagai Calon PM Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan juga Presiden Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) menjawab soalan media selepas hadir bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibupejabat SPRM di Putrajaya, 22 Mac, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Pembangkang Malaysia pada Jumaat telah menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri menjelang pilihan raya umum yang bakal diadakan sebaik sahaja pandemik koronavirus reda, seperti yang dijanjikan oleh pemimpin pada masa ini, Muhyiddin Yassin.

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan juga mengumumkan bahawa ia bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak pada pilihan raya akan datang dengan terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Raja Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah untuk memanggil sidang Parlimen, sekaligus menamatkan Ordinan Darurat.

Pemimpin gabungan Pakatan Harapan semasa sidang pemunkinan pada 8 dan 9 April telah memutuskan Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia,” kata satu kenyataan bertajuk Ketetapan Port Dickson yang dikeluarkan gabungan pembangkang itu.

Pertemuan permukiman itu berlangsung di Port Dickson, di mana Anwar adalah Anggota Parlimen kawasan berkenaan yang turut dihadiri Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demoratik (DAP) Lim Guan Eng.

Turut sama pada pertemuan itu ialah anggota Majlis Presiden dari wanita dan pemuda termasuk Ketua Menteri negeri yang ditadbir oleh gabungan pembangkang itu.

Sebanyak sembilan resolusi tercatat dalam kenyataan yang dikongsi dengan media dimana gabungan pembangkang itu mengatakan yang mereka terbuka untuk bekerja dengan mana-mana pihak tetapi bersyarat.

“Kami mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan Prinsip dan Agenda Reformasi demi kepentingan Rakyat,” kata PH.

Ini adalah pengumuman pertama gabungan pembangkang itu setelah Anwar memberitahu umum bahawa partinya sedang berbincang dengan beberapa pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, dengan beliau bagaimanapun berkata tidak ada keputusan yang dibuat kerana perbincangan masih pada tahap awal.

“Pada peringkat ini, kami hanya berbincang. Jadi, saya rasa kita akan berpegang kepada itu - bahawa kita baharu sahaja berada di tengah-tengah perbincangan awal,” katanya ketika itu.

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, gabungan itu boleh bekerjasama dengan yang lain tetapi UMNO sebagai parti tidak mungkin dapat bekerjasama dengan DAP, sebuah parti politik yang didominasi kaum Cina dan anggota blok pembangkang.

“Syarat (kerjasama) adalah penerimaan prinsip-prinsip agenda reformasi, bolehkah UMNO menerima syarat tersebut setelah secara terbuka menyatakan ‘Tidak kepada DAP, tidak kepada Anwar ’di Perhimpunan Agung mereka? Jadi jelas sekali UMNO telah menolak kami,” katanya kepada BenarNews.

Khalid merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan agung parti itu pada 27 Mac di mana beliau juga berkata yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, Anwar, dan DAP.

Pun begitu, Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong mengatakan bahawa resolusi itu tidak merangkumi kerjasama dengan UMNO.

"Tafsiran saya adalah tidak [untuk bekerjasama dengan UMNO]," kata Chin dalam pesanan ringkas kepada BenarNews.

Penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mokhtar, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menyifatkan resolusi itu ditulis dengan berhati-hati agar pilihan gabungan itu tetap terbuka.

"Itu tidak termasuk bekerja dengan UMNO. Ini bermaksud jika parti itu bersetuju untuk mengikuti agenda reformasi PH dan menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri, PH akan menerima bekerjasama dengan UMNO,” kata Tunku Mohar kepada BenarNews.

Beliau menambah bahawa peluang Anwar menjadi Perdana Menteri jelas dengan syarat PH memenangi pilihan raya.

Sementara itu, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura mengatakan bahawa agak sukar bagi UMNO untuk bekerjasama dengan PH kerana sejarah hubungan lama parti itu dengan DAP.

"Tidak banyak kerana kepemimpinan mereka benar-benar tidak dapat bekerjasama dengan DAP, tetapi akar umbi mereka telah lama dicuci otak oleh mereka untuk memfitnah DAP, jadi jika mereka bekerja dengan DAP sekarang, mereka berisiko mengasingkan diri dengan akar umbi," kata Oh kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh