Donald Trump kembali ke Rumah Putih, Anwar Ibrahim ucap tahniah

Pelbagai pihak mahu Malaysia berhati-hati, amal dasar berkecuali selepas Trump menang pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim antara pemimpin dunia yang mengucapkan tahniah kepada Donald J. Trump yang mewakili Republikan di atas kejayaannya kembali semula ke Rumah Putih setelah memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Anwar yang dalam rangka lawatan kerja di China hingga 7 November ini menyifatkan sebagai kemunculan semula politik luar biasa, selepas Trump dipilih sebagai Presiden AS ke-47 apabila berjaya melepasi undi elektoral 270 pada Rabu dan mengalahkan pencabarnya dari Demokrat, Kamala Harris yang sebelum ini merupakan Naib Presiden.

“Tahniah kepada Donald Trump atas kemunculan semula politiknya yang luar biasa dan kemenangan dalam pilihan raya presiden AS.

“Fasa baharu ini membawa peluang baharu dan kami bersedia untuk bergerak ke hadapan dengan keyakinan, kerjasama dan tujuan Bersama,” katanya dalam hantaran melalui Facebook dari China.

Tambah Anwar lagi AS kekal sebagai sumber pelaburan asing terbesar Malaysia dan pemain penting di rantau Asia-Pasifik.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berharap Amerika akan menyemarakkan lagi penglibatannya dengan Asia Tenggara," ujar beliau.

Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia juga menggesa AS untuk menggunakan pengaruhnya yang besar untuk membantu menamatkan keganasan dan kehilangan nyawa di Palestin dan Ukraine.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Presiden AS untuk memupuk manfaat bersama bagi rakyat kedua-dua negara," ujar Anwar lagi.

US_ELECTION_01.jpg

Seorang rakyat Malaysia sedang mengikuti perkembangan terkini pilihan raya Amerika Syarikat melalui sosial media di Kajang, Selangor, 6 November 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Pilihan raya Presiden AS diperhatikan dengan penuh teliti di seluruh Asia, dengan keputusan kemas kini yang disiarkan The Associated Press menyebut Trump berjaya menguasai 277 undi elektoral berbanding Harris (224), selain Republikan juga berjaya menguasai kerusi Senat.

Laporan media antarabangsa menyebut kemenangan Trump sebagai kemunculan semula yang luar biasa bagi bekas presiden yang enggan menerima kekalahan empat tahun lalu.

Keputusan pilihan raya empat tahun lalu juga mencetuskan pemberontakan ganas di Capitol AS selain beliau disabitkan dengan tuduhan jenayah dan terselamat daripada dua percubaan bunuh pada Julai dan September lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, Mahkamah AS dijadual menjatuhkan hukuman ke atas Trump berhubung kes beliau disabitkan kesalahan memalsukan dokumen untuk menyembunyikan pembayaran atas tujuan 'menutup mulut' seorang pelakon lucah pada 26 November ini.

Trump bagaimanapun menafikan terbabit salah laku di mana prosiding untuk menjatuhkan hukuman tersebut dijadualkan pada 18 September lalu.

Malaysia perlu berhati-hati

Dalam pada itu, bekas menteri luar Malaysia Syed Hamid Albar berkata susulan kemenangan Trump itu, Malaysia perlu berhati-hati dalam pendekatan dasar luarnya terutama mengenai Israel dan Palestin kerana keadaan global akan menjadi tegang dan tidak menentu.

"Masih terlalu awal untuk meramalkan bagaimana hubungan Malaysia-AS tetapi Malaysia perlu berhati-hati. Trump tidak mesra dan peramah.

"Trump akan menggunakan pendekatan melihat ke dalam, memfokuskan kepada kepentingan AS sebagai penekanan utama dalam dasar luarnya.

"Sebarang tindakan oleh negara lain yang dianggap bertentangan dengan kepentingan AS berkemungkinan akan menerima tindak balas," kata Syed Hamid Albar kepada BenarNews.

Beliau yang juga bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar berkata Malaysia perlu tunggu dan lihat apakah tindakan Trump pada bulan pertama menjadi presiden sebelum beliau mengangkat sumpah secara rasmi.

"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu memerhatikan bagaimana beliau memandang ASEAN dan Malaysia kerana Pengerusi perlu menguruskan hubungan ini dengan berhati-hati.

"Setakat ini Anwar sentiasa mempunyai hubungan baik dengan AS," ujarnya.

US-elex-reactions 6.png

Rakyat Amerika Syarikat sedang membuang undi di Perpustakaan Wilayah Tysons-Pimmit di Falls Church, Virginia, 31 Okt. 2024. [Stephanie Scarbrough/AP]

Bagi Amira Aisya Abdul Aziz, wakil rakyat pembangkang dan pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pula, beliau berharap Malaysia dapat mendesak dasar lebih adil dalam isu Timur Tengah.

“Suka atau tidak, keputusan pilihan raya Amerika akan memberi kesan kepada dasar geopolitik dan luar negara kita, secara langsung dan tidak langsung. Kita berdiri teguh sama ada untung atau rugi dan saya berharap Malaysia akan terus mendesak dasar luar AS yang lebih adil, terutamanya mengenai Timur Tengah," ujarnya.

Jelasnya langkah untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, menyokong nilai mata wang Ringgit dan mengukuhkan dasar serantau ASEAN adalah penting tanpa mengira apakah keputusan keputusan pilihan raya AS.

“Kerajaan Malaysia mesti kekal tegas dalam memperjuangkan gencatan senjata di Palestin dan mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh AS dalam menangani isu sedemikian. Komitmen itu tidak boleh goyah," katanya lagi.

Trump dan Harris telah menawarkan prospek yang sangat berbeza membabitkan penglibatan AS dengan Asia dan seluruh dunia.

Kempen Harris kebanyakannya meneruskan tumpuan pentadbiran Biden terhadap hubungan AS di Asia yang berusaha dengan penuh kemahiran dalam "mengurus" persaingan kian meningkat dengan Beijing sambil membina pakatan erat dengan negara Asia lain yang bimbang dengan peningkatan kekuatan ketenteraan China.

Berbeza dengan Trump yang menghabiskan sedikit masa untuk memperincikan pendekatan yang teratur terhadap dasar luar sebaliknya berhujah bahawa pemimpin dunia seperti Presiden China Xi Jinping dan pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un lebih menghormatinya berbanding Biden atau Harris. Jelasnya sentuhan peribadi menjadi penting.

Kedua-dua calon turut mempunyai pandangan berbeza mengenai perdagangan di mana Trump telah mengancam tarif menyeluruh ke atas semua import ke Amerika Syarikat, termasuk kadar 60 peratus ke atas import China.

Harris berkata mengenakan tarif akan menyebabkan inflasi. Beliau berkata siri tarif bersasar, yang bertujuan untuk menyokong peningkatan pengeluaran barangan utama AS seperti panel solar, bateri dan kereta elektrik, adalah lebih sesuai.

US-elex-reactions 1 (1).png

Calon presiden Republikan, bekas Presiden Donald Trump, kiri, berucap pada perhimpunan kempen di Detroit, Michigan, 18 Okt 2024, manakala calon presiden Demokrat Naib Presiden Kamala Harris, kanan, bercakap pada perhimpunan kempen di Green Bay, Wisconsin, 17 Okt 2024. [AP]

Impak ekonomi

Ahmad Mohsein Azman, seorang penganalisis di BowerGroupAsia, firma perunding risiko politik pula berpendapat Trump memberikan penekanan kepada kepentingan ekonomi tempatan AS melalui platform "Dahulukan Amerika" yang diulang-ulang sebagai tema kempen politiknya.

"Ini termasuk penggubalan dasar industri dan perdagangan untuk menggalakkan kembalinya industri utama dan peluang pekerjaan ke bumi Amerika. Tarif import baharu juga akan diperkenalkan untuk menyokong industri domestik mereka," katanya kepada BenarNews.

Jelas Ahmad Mohsein, bagi dunia khususnya Malaysia, keadaan itu bermakna ia adalah kelembapan umum dalam pelaburan dengan AS dan terdapat potensi modal dibawa keluar apabila AS berusaha untuk menarik balik pelaburan.

"Impak kepada prestasi ekonomi Malaysia boleh dijangka berikutan perkara ini, walaupun betapa pentingnya bergantung kepada keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pelaburan dan menggalakkan perdagangan. Ketika ini AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di belakang Singapura dan China," ujarnya.

Bagaimanapun, jelas beliau keadaan itu memberi peluang kepada Malaysia untuk memperdalam usahanya untuk mengembangkan pelaburan dan perdagangan dalam pasaran baharu dan sedia ada serta mengurangkan sebahagiannya pergantungan kepada AS.

"Ini mungkin menyediakan ruang untuk meneroka bidang pertumbuhan baharu bagi menggantikan usaha sedia ada," ujarnya lagi.

Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan kongsi di firma penasihat strategik ADA Asia Tenggara pula berpendapat hubungan Anwar yang tegang dengan AS mungkin berdepan cabaran apabila Trump menjadi presiden.

Jelasnya Trump yang dijangka mengguna pakai dasar perlindungan dan cadangan kenaikan tarif akan memberi kesan kepada rantau ini, terutamanya Malaysia.

“Satu lagi perkara yang berpotensi menjadi perbalahan ialah perbezaan pandangan antara Anwar dan Trump mengenai konflik Israel-Palestin.

“Status Malaysia sebagai negara rakan kongsi dalam BRICS menuntut Anwar untuk bergerak secara diplomatik dengan berhati-hati kerana ia boleh merumitkan lagi kedudukan negara,” katanya kepada BenarNew.

Namun jelasnya Malaysia akan kekal menarik dan berdaya saing dalam industri rantaian bekalan dan pusat data semikonduktor global.

US-elex-reactions 2.png

Skrin TV yang menunjukkan keputusan awal tentang pilihan raya AS di sebuah restoran di Hong Kong, 6 November 2024. [Mladen Antonov/AFP]

Dasar luar dengan China

China telah mengelak daripada mengulas mengenai pilihan raya AS dengan menegaskan pada Rabu bahawa ia adalah urusan dalaman negara itu dan meminta keputusannya dihormati dan diberikan kerjasama.

Bagaimanapun, media negara itu yang dikawal kerajaan telah menyatakan kebimbangan dan harapan dengan sebuah akhbar menyarankan kepada sesiapa sahaja presiden baharu agar menghentikan kemerosotan hubungan.

"Kami akan terus menilai dan mengendalikan hubungan China-AS berdasarkan kepada prinsip saling menghormati, kewujudan bersama secara aman dan melakukan kerjasama menang-menang, kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning pada sidang media ketika laporan menunjukkan Trump menghampiri kemenangannya.

Akhbar China Daily dalam komentar bertajuk "Tanggungjawab Presiden baharu AS untuk baiki hubungan" meluahkan rasa kecewa terhadap pendekatan 'agresif AS' hingga menyebabkan kemerosotan hubungan China-AS.

"Tidak kira siapa yang menang pilihan raya, keputusan itu akan memberikan kesan meluas kepada dunia, paling penting kerana pemenangnya akan membuat keputusan terhadap dasar AS terhadap China, tulis ahli akademik China, Fu Suixin dan Ni Feng dalam komentar itu.

Kedua-dua calon presiden AS telah memainkan "kad China" untuk meraih undi, kata ahli akademik.

Walaupun pengundi AS "secara umumnya tidak memahami atau mengambil berat tentang dasar luar negara, golongan elit di negara itu sentiasa merumuskan dasar luar dan membentuk pendapat umum," kata mereka.

"Kedua-dua calon Demokrat dan Republikan menjadikan China sebagai kambing hitam bagi kekacauan domestik AS," tulis mereka.

“Pengundi perlu membayar kos kemerosotan hubungan China-AS."

241106-MY-Anwar-China.jpg
89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 226 128 153 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 109 101 110 103 97 100 97 107 97 110 32 112 101 114 116 101 109 117 97 110 32 100 117 97 32 104 97 108 97 32 98 101 114 115 97 109 97 32 80 114 101 109 105 101 114 32 67 104 105 110 97 44 32 76 105 32 81 105 97 110 103 32 100 105 32 84 104 101 32 71 114 97 110 100 32 72 97 108 108 115 44 32 83 104 97 110 103 104 97 105 44 32 67 104 105 110 97 44 32 53 32 32 78 111 118 101 109 98 101 114 44 32 50 48 50 52 46 32 45 32 83 65 68 73 81 32 65 83 89 82 65 70 47 80 101 106 97 98 97 116 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 10 10 78 79 32 83 65 76 69 83 59 32 78 79 32 65 82 67 72 73 86 69 59 32 82 69 83 84 82 73 67 84 69 68 32 84 79 32 69 68 73 84 79 82 73 65 76 32 85 83 69 32 79 78 76 89 46 32 78 79 84 69 32 84 79 32 69 68 73 84 79 82 83 58 32 84 104 105 115 32 112 104 111 116 111 115 32 109 97 121 32 111 110 108 121 32 98 101 32 117 115 101 100 32 102 111 114 32 101 100 105 116 111 114 105 97 108 32 114 101 112 111 114 116 105 110 103 32 112 117 114 112 111 115 101 115 32 102 111 114 32 116 104 101 32 99 111 110 116 101 109 112 111 114 97 110 101 111 117 115 32 105 108 108 117 115 116 114 97 116 105 111 110 32 111 102 32 101 118 101 110 116 115 44 32 116 104 105 110 103 115 32 111 114 32 116 104 101 32 112 101 111 112 108 101 32 105 110 32 116 104 101 32 105 109 97 103 101 32 111 114 32 102 97 99 116 115 32 109 101 110 116 105 111 110 101 100 32 105 110 32 116 104 101 32 99 97 112 116 105 111 110 46 32 82 101 117 115 101 32 111 102 32 116 104 101 32 112 105 99 116 117 114 101 115 32 109 97 121 32 114 101 113 117 105 114 101 32 102 117 114 116 104 101 114 32 112 101 114 109 105 115 115 105 111 110 46 32 (SADIQ ASYRAF)

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bertemu dengan rakan sejawatannya dari China, Perdana Menteri Li Qiang di The Grand Halls di Shanghai, 5 November 2024. [Facebook Anwar Ibrahim]

Pro China dan Rusia

Sementara itu, seorang pesara George Jacob, 68, melahirkan kebimbangan terhadap beberapa kenyataan kerajaan Malaysia yang dilihat sebagai anti-AS dan pro-China serta pro-Rusia termasuk penyertaan dalam BRICS.

“Penyertaan kita dalam BRICS juga mungkin tidak kena pada masanya kerana negara kita mungkin telah mengecewakan AS sekarang.

“Sama ada Trump atau Harris, kita telah mengecewakan mereka tetapi lebih-lebih lagi Trump yang bukan seorang pemaaf, setelah kita cenderung kepada China.

“Seperti yang kita lihat akan ada banyak kesan dan ia mungkin bukan urusan seperti biasa jika Trump mengambil alih Rumah Putih. Beliau mengambil alih kuasa ketika dunia sedang bergolak,” ujarnya.

"Sebelum ini Malaysia sentiasa berhati-hati, berkecuali dan neutral ketika berurusan dengan kuasa dunia jadi, kita perlu menyemak semula dasar luar supaya kita dilihat lebih neutral.”

Bagi Akil Yunus, 21, yang merupakan penghantar Grab dan pelajar separuh masa kejuruteraan mekanikal berkata sejak kebelakangan ini, Malaysia lebih cenderung kepada China.

“Dengan Trump, kita mungkin menghadapi cabaran tarif yang lebih tinggi kerana kita lebih sejajar dengan China, dan Trump juga mungkin mahu menaikkan tarif untuk meningkatkan ekonomi dan sektor pembuatan AS.

Nani Yusof di Washington dan Helmi Foad di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.