Anwar Ibrahim Gagal Ketepi Sabitan Kes Liwat, Kembalikan Saman Terhadap Kerajaan

Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengeluarkan keputusan itu kerana tuduhan tidak mempunyai merit serta tiada bukti.
Noah Lee & Nisha David
2022.02.23
Kuala Lumpur
Anwar Ibrahim Gagal Ketepi Sabitan Kes Liwat, Kembalikan Saman Terhadap Kerajaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengangkat tangannya kepada media selepas mengadakan sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, Selangor, 1 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ketua Pembangkang Malaysia Anwar Ibrahim gagal mengenepikan sabitan bersalah atas kesalahan meliwat yang dijatuhkan oleh sebuah mahkamah terhadapnya pada tahun 2014, selepas Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak permohonannya untuk mengembalikan satu saman pemula terhadap kerajaan negara itu.

Anwar cuba untuk mengembalikan saman berkenaan kerana mendakwa dirinya tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam kes liwat tersebut.

Akan tetapi, panel tiga hakim mahkamah rayuan yang diketuai oleh Abu Bakar Jais mendapati bahawa tuduhan Anwar terhadap kerajaan tidak disokong dengan bukti dan oleh itu tidak mempunyai merit.

"Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak rayuan Anwar Ibrahim untuk mengembalikan saman pemula terhadap Kerajaan berhubung sabitan kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, keputusan ini dibuat selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak terkhilaf apabila menolak saman pemula itu.

"[Dakwaan oleh Anwar] adalah kenyataan semata-mata tanpa bukti sokongan. Oleh itu, kenyataan bahawa Muhammad Shafee tidak bebas sebagai ketua pendakwa, tidak mempunyai sebarang merit," kata Abu Bakar ketika membacakan keputusan penghakiman.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel tersebut adalah Lee Swee Seng dan Supang Lian.

Anwar, pengasas parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat [PKR], didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Pada Jun 2012, Anwar telah dibebaskan daripada tuduhan liwat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamad Zabidin. Hakim tidak yakin bahawa sampel DNA yang diambil dari bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukari, tidak tercemar.

Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap Anwar dan pada 10 Februari 2015, panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan itu.

Pada tahun 2017, Anwar memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mengenepikan sabitan liwatnya selepas laporan media pada Mei tahun itu mendakwa Najib Razak, yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu, telah membuat bayaran jutaan ringgit kepada peguam yang dilantik untuk menjadi pendakwa raya yang mengendalikan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan tersebut kerana dakwaan dibuat Anwar adalah "tuduhan kosong" tanpa disokong oleh bukti.

Bekas timbalan perdana menteri itu telah diberikan pengampunan diraja dan dibebaskan daripada penjara pada tahun 2018, selepas gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum Malaysia Ke-14 pada bulan Mei tahun itu. Parti pimpinan Anwar merupakan salah satu parti komponen gabungan tersebut.

'Mahkamah buat keputusan betul'

Panel Hakim Mahkamah Rayuan dalam menolak permohonan Anwar berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul apabila ia membatalkan saman pemula yang difailkan ahli politik itu pada 2017.

Menurut mereka, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes liwat terhadap Anwar telah membuat keputusan yang bebas.

Hakim Abu Bakar menyatakan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu juga tidak dinafikan peluang untuk membela dirinya sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

"Keputusan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat Anwar diberikan oleh hakim mahkamah tersebut secara bebas dan tanpa pengaruh atau pengetahuan mengenai sebarang bayaran antara kedua-dua individu itu.

"Oleh itu tidak menjadi isu jika ada pembayaran tersebut dibuat oleh Najib kepada Muhammad Shafee. Perkara itu menjadi urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat dan Peguam Negara untuk mendakwa jika terdapat pembayaran rasuah dan penerimaan dalam jumlah yang sama.

"Anwar juga tidak dinafikan peluang membela diri sehingga ke Mahkamah Persekutuan dalam kes liwatnya," kata beliau.

Kes liwat pada tahun 2008 adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan serupa di mahkamah.

Sebelum ini, ahli politik itu pernah didakwa pada 1998 atas tuduhan meliwat pemandu keluarganya. Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2000, tetapi kemudiannya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan pada tahun 2004.

Anwar bagaimanapun mendakwa bahawa beliau telah diperangkap oleh parti UMNO yang diketuai pada masa itu oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, dengan para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.