Negara-negara Asia Pasifik Serta China, AS Komited Laksana Perdagangan Bebas dan Terbuka

Staf BeritaBenar & Hadi Azmi
Washington & Kuala Lumpur
2020-11-20
Share
201120-SEA-apec-620.jpg Pegawai dari negara tuan rumah, Malaysia, menonton monitor video di Kuala Lumpur yang menunjukkan para peserta forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) secara maya, 20 November 2020.
(AP)

Selepas sidang kemuncak yang dilanda pertelagahan pada 2018 dan ketika berlakunya perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, pemimpin-pemimpin Asia Pasifik pada Jumaat sepakat bahawa persekitaran perdagangan yang bebas, terbuka dan tanpa diskriminasi adalah amat penting bagi memulihkan ekonomi global yang terjejas teruk akibat pandemik koronavirus.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping adalah antara 21 pemimpin yang menyertai forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini, yang dipengerusikan oleh Malaysia. Tidak seperti pada 2018, semua negara anggota APEC bersetuju dengan pernyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat kali ini.

"Kami menyedari pentingnya persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tanpa diskriminasi, telus dan boleh diramalkan bagi mendorong pemulihan ekonomi pada masa yang mencabar ini," menurut 21 negara itu dalam pernyataan bersama mereka yang dinamakan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 .

Mesyuarat APEC pada 2018 gagal mengeluarkan pernyataan bersama yang dipersetujui oleh semua pemimpin. Mesyuarat pada tahun lepas, yang dijadualkan diadakan di Chile, pula dibatalkan berikutan keadaan yang berlaku di negara itu pada masa itu.

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa APEC tidak berdepan halangan pada mesyuarat tahun ini walaupun berlakunya perang perdagangan antara China dan AS.

"Kesan perang perdagangan ini telah dilitupi oleh pandemik COVID-19. Risiko kesihatan dan kesannya terhadap ekosistem ekonomi global menjadi agenda paling utama bagi semua negara APEC pada tahun ini,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas mesyuarat itu.

"Tugas APEC tahun ini adalah memberi tumpuan kepada pentingnya pemulihan ekonomi selepas pandemik COVID-19. Turut penting adalah mempercepatkan usaha untuk membangunkan vaksin COVID-19 dan menjadikannya barangan umum global yang mudah diperoleh dan mampu dibeli oleh semua. "

Negara-negara APEC juga berjanji untuk "tidak berundur dan mengambil langkah perlindungan demi memastikan pasaran dan sempadan terus terbuka," kata Perdana Menteri Malaysia itu.

AS dan China bersetuju untuk memastikan komitmen mereka terhadap rantau Asia Pasifik dan Indo-Pasifik.

Trump membuat penampilan pertamanya pada mesyuarat APEC sejak 2017 dan mungkin menjadi yang terakhir baginya sebagai presiden di pentas pemimpin Asia-Pasifik. Dalam ucapannya kepada mereka, Trump mengulangi komitmen Washington untuk "menggalakkan keamanan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik melalui pertumbuhan ekonomi yang utuh," menurut kenyataan White House.

Xi pula memuji pemeterian perjanjian perdagangan serantau yang diterajui Beijing pada Ahad lalu. Beliau mengumumkan bahawa negara kuasa besar Asia dan negara yang mempunyai paling ramai penduduk itu juga sedang mempertimbangkan untuk menyertai perjanjian perkongsian Trans-Pasifik yang diwujudkan AS di bawah pentadbiran Trump pada 2018.

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik, yang disebut oleh Xi, berkuat kuasa pada 2018.

Lima belas negara Asia Pasifik termasuk China dan tanpa AS telah menandatangani perjanjian perdagangan terbesar dunia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), pada 15 November lalu.

COVID-19 dan APEC


Pernyataan bersama APEC 2020 menegaskan bahawa pemulihan  pandemik COVID-19 adalah matlamat utama bagi tahun ini. Komitmen 21 negara itu bagi melaksanakan perdagangan bebas dan terbuka juga boleh membantu membendung kematian akibat pandemik itu.

"Kami menekankan pentingnya memudahkan akses yang saksama bagi mendapatkan vaksin yang selamat, berkualiti, berkesan dan pada harga berpatutan serta langkah-langkah  perubatan lain yang penting untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat, selain menggalakkan inovasi," menurut pernyataan bersama para pemimpin APEC itu.

"Kami akan bekerjasama dalam memudahkan aliran barangan dan perkhidmatan penting serta pergerakan penduduk dalam cara yang lebih selamat, mengenal pasti dan mengatasi halangan yang tidak perlu bagi perdagangan serta memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan kami."

Sehingga Jumaat, pandemik itu, yang menyebabkan ekonomi terjejas teruk di seluruh dunia, telah mencatatkan lebih 57.3 juta kes di seluruh dunia dengan jumlah kematian sebanyak 1.36 juta orang, menurut data terbaru daripada  pakar penyakit di Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat.

Selepas berakhirnya mesyuarat itu di Kuala Lumpur, Muhyiddin memberitahu wartawan bahawa pandemik itu juga telah mewujudkan peluang  perniagaan dan pelaburan baru.

"Mungkin peluang paling menarik yang timbul daripada krisis pandemik ini adalah kebangkitan ekonomi digital. Kita telah melihat bagaimana inovasi daripada digitalisasi memainkan peranan di mana isi rumah dan perniagaan di seluruh rantau ini beralih kepada teknologi bagi membantu mereka berfungsi dengan berkesan setiap hari,” katanya.

Dengan mengambil kira perkara ini, negara-negara APEC menyenaraikan akses digital dan keselamatan digital secara saksama  dalam satu lagi pernyataan bersama yang mereka namakan sebagai Wawasan Putrajaya APEC 2040.

"Kami akan memperkasakan infrastruktur digital, mempercepatkan transformasi digital, mengecilkan jurang digital serta saling bekerjasama dalam memudahkan aliran data dan memperkukuhkan keyakinan pengguna dan perniagaan dalam transaksi digital," menurut pernyataan bersama itu.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.