Pemimpin Cabar Keganasan di Sidang Kemuncak ASEAN, APEC
2015.11.19
Pemimpin-pemimpin Asia dan Pasifik mengambil pendekatan serampang dua mata semasa mesyuarat di Manila dan Kuala Lumpur pada Khamis, ke arah menentang keganasan berikutan serangan pengganas di Paris baru-baru ini.
Di Kuala Lumpur, Malaysia memberi maklum balas kepada ancaman pengganas yang belum disahkan dengan mengumumkan mengenai peningkatan tahap keselamatan pada Sidang Kemuncak Ke-27 ASEAN yang baru bermula.
Di ibu negara Filipina, negara anggota Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menutup forum berkenaan dengan mengutuk serangan di Paris itu yang didakwa dilakukan oleh kumpulan penganas Negara Islam (IS).
Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar mengumumkan tahap keselamatan telah ditingkatkan - termasuk di semua pintu masuk dan keluar negara - berikutan laporan ancaman yang belum pasti ditujukan kepada mesyuarat ASEAN yang berakhir pada Ahad. Anggota tentera bekerjasama dengan polis untuk memastikan keselamatan rakyat dan tetamu Malaysia.
"Keganasan dan ekstremisme ganas tidak punya tempat di Malaysia dan kami tidak akan berhenti memburu dan menangani sesiapa sahaja yang mahu menggugat keamanan dan kestabilan negara kami," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.
Mesyuarat itu juga memberi tumpuan kepada usaha untuk memerangi keganasan, dengan negara tuan rumah menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk mencegah jenayah yang serius.
Perjanjian itu membolehkan kedua-dua negara untuk bertukar-tukar maklumat mengenai biografi pengganas yang diketahui dan disyaki dengan memberi tumpuan kepada kerjasama dalam pengesanan, pencegahan dan penyiasatan jenayah serius.
Media melaporkan bahawa di bawah perjanjian tersebut, kerajaan Malaysia akan mempunyai akses kepada sumber data yang mengandungi maklumat biometrik 1.2 juta orang yang disyaki melakukan keganasan dan jenayah lain.
"Daripada maklumat risikan yang dikumpul, beberapa kumpulan mungkin didorong oleh apa yang berlaku di Paris dan mungkin cuba untuk mengulanginya di sini," kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi, menurut laporan Channel NewsAsia.
"Saya amat yakin dengan kemampuan dan kebolehan pihak berkuasa kami yang sentiasa siapsiaga bagi menentukan tiada sebarang serangan berlaku di sini.”
Beliau merujuk kepada serangan IS pada Jumaat di ibu negara Perancis, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 128 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
APEC dan Radikal
Di Manila, pemimpin dari 21 negara anggota APEC lantang mengecam pengganas dalam deklarasi penutup acara itu pada Khamis, dengan merujuk kepada serangan-serangan di Paris, Beirut dan pesawat Rusia dekat Sinai.
"Kami tidak akan membenarkan keganasan mengancam nilai-nilai asas yang mendasari ekonomi bebas dan terbuka kami. Pertumbuhan ekonomi, kemakmuran, dan peluang adalah antara senjata yang paling berkuasa untuk menangani punca keganasan dan radikalisasi, "kata deklarasi itu.
"Kami menekankan perlunya meningkatkan kerjasama dan perpaduan antarabangsa dalam memerangi keganasan."
Pengisytiharan deklarasi itu turut menyambut baik usaha ahli-ahli APEC untuk memerangi keganasan, termasuk "inisiatif pembinaan kapasiti untuk memerangi pembiayaan pengganas, dan untuk mencegah perjalanan pejuang pengganas asing melalui analisis risiko penumpang terlebih dahulu, dan langkah-langkah lain."
Deklarasi itu seterusnya menggalakkan strategi perdagangan bersama-sama dengan usaha kolektif dan individu untuk menjamin keselamatan dan pertumbuhan infrastruktur, pelancongan, rantaian bekalan dan sistem kewangan.
Pegawai-pegawai di Asia Tenggara, venue bagi kedua-dua sidang kemuncak itu, menyatakan mereka berusaha membendung ancaman yang muncul daripada usaha-usaha IS untuk merekrut anak-anak muda dari seluruh rantau ini, bagi memperjuangkan jihadnya di Timur Tengah.
Pihak berkuasa di dua negara ASEAN yang mempunyai penduduk Islam terbesar, Indonesia dan Malaysia, juga telah memberi amaran bahawa rekrut tempatan yang pulang dari tugas pertempuran di Syria atau Iraq boleh merancang serangan pengganas di tanah air sendiri.
Seramai 514 warga Indonesia dan sehingga 100 rakyat Malaysia telah ke Timur Tengah untuk menyertai IS, kata pegawai-pegawai yang memerangi keganasan di kedua-dua negara itu. Sekurang-kurangnya 14 rakyat Malaysia dan kira-kira 50 warga Indonesia masing-masing, telah meninggal dunia semasa berjuang untuk IS di Timur Tengah, kata pegawai kepada BeritaBenar.