APMM Bakal Terima Tiga Kapal Peronda Buatan Tempatan Bernilai RM740 Juta

Hata Wahari
2017.12.20
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
171220-MY-APMM620.jpg Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Zulkifili Abu Bakar (kanan) melihat replika OPV APMM terbaru semasa peletakkan lunas kapal di Limbungan THHE Destini Sdn. Bhd di Pelabuhan Klang, Selangor, 20 Disember, 2017.
(Hata Wahari/BeritaBenar)

Agensi bertanggungjawab mengawal maritim Malaysia bakal memiliki tiga buah Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) buatan tempatan bernilai RM740 juta [AS$181.6 juta] bermula tahun 2020 bagi meningkatkan rondaan di kawasan perairan negara yang kian mencabar.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Zulkifili Abu Bakar memberitahu, OPV baru itu akan dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kedaulatan perairan negara yang meliputi hampir 615 ribu kilometer persegi.

“Ini secara langsung membuktikan bahawa Kerajaan menerusi Maritim Malaysia amat komited dan serius terhadap usaha-usaha yang berterusan dalam meningkatkan aspek keselamatan dan kedaulatan perairan negara daripada ancaman yang semakin kompleks,” katanya pada Rabu dalam ucapan pelancaran projek pembinaan tiga kapal itu di Limbungan THHE Destini Sdn Bhd, di Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Tambahnya, asset APMM yang sedia ada kebanyakannya adalah pindah milik dari Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dengan beberapa kapal peronda yang dihadiahkan oleh Agensi Pengawal Pantai Jepun.

Zulkifli berkata, antara aset yang ada kini berusia lebih 30 tahun dengan efisensi agak terhad dalam menjalankan tugas-tugas pemantauan perairan negara.

“Maritim Malaysia memiliki 256 aset sedia ada, ianya tidak mencukupi bagi mengawal serta memantau perairan negara yang seluas 614,158 kilometer persegi.

“Dengan adanya aset yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang canggih dan terkini seperti OPV ini, sudah semestinya ia akan mempertingkat dan memperkasakan lagi kebolehupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara selamat daripada sebarang bentuk ancaman jenayah di laut,” tambahnya lagi.

APMM pada Mac telah menerima sebuah daripada enam buah kapal ronda generasi baru - New Generation Patrol Craft (NGPC) yang dilengkapi pelbagai peralatan paling canggih serta laju untuk mengawal perairan negara.

Kapal pertama yang dinamakan KM Bagan Datuk itu telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, juga di pelabuhan Klang baru-baru ini, dengan  kos keseluruhan bagi kesemua kapal ialah sebanyak RM381.3 juta [AS$85.7 juta].

Lima buah lagi kapal NGPC itu yang dibina oleh sebuah syarikat tempatan berdasarkan kepada reka bentuk oleh syarikat antarabangsa Germany Fassmer Shipbuilding akan dimiliki sepenuhnya pertengahan tahun hadapan.

Lebih besar

Zulkifli menjelaskan, tiga buah kapal OPV itu lebih besar daripada tiga kapal peronda generasi baru (NGPV) yang kini sedang digunakan oleh APMM.

Katanya, OPV terbaru APMM yang dibina oleh TH Heavy Engineering Berhad serta Kumpulan Destini Berhad ini mempunyai ukuran 83 meter panjang dan 13.7 meter lebar dengan berkeupayaan melaksanakan operasi dan rondaan di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal, dengan kapal pertama dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2020.

“Ia mampu melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan kawasan-kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, kapal peronda ini dilengkapi dengan unmanned aerial vehicle (UAV) dan meriam 30mm Smash Aselsan dan mampu bergerak dengan kelajuan 21 knot, dengan dilengkapi tapak pendaratan helikopter serta mempunyai bot jenis rigid “hull inflatable boat - RHIB dan Fast Interceptor Craft.”

“OPV ini juga dilengkapkan dengan radar X dan S band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas, serta boleh menempatkan 70 orang anak kapal dan 20 penumpang dalam satu-satu masa bagi melaksanakan operasi di laut, selain mempunyai kemudahan bilik rawatan dan bilik tahanan,” katanya.

Perdana Menteri Najib Razak semasa majlis pelancaran kapal KM Bagan Datuk berkata APMM telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sejak penubuhannya 11 tahun lalu dengan kerjasama Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin.

Katanya, sebelum penubuhan agensi tersebut banyak berlaku aktiviti pelanunan di Selat Melaka di mana pada tahun 2000 sahaja, sebanyak 57 kes pelanunan ke atas kapal dagang telah dilaporkan berlaku.

“Sejak APMM ditubuhkan pada tahun 2005 dan operasi pemantauan dijalankan, aktiviti pelanunan semakin menurun. Pada tahun 2009 iaitu selepas empat tahun penubuhan agensi itu, tidak ada berlakunya sebarang kejadian pelanunan kecuali dua kes pada tahun 2011 dan masing-masing satu kes pada 2014 dan 2015, dan tahun lepas tidak ada kejadian tersebut di kawasan Selat Melaka,” kata Najib dengan menambah agensi itu bermula dengan hanya 59 buah kapal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.