Maritim Malaysia Patah Cubaan 43 Migran Indonesia Masuk Secara Haram

Mereka yang berada dalam sebuah bot ditahan di sekitar perairan Selangor awal pagi Isnin.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2022.03.28
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Maritim Malaysia Patah Cubaan 43 Migran Indonesia Masuk Secara Haram Seramai 43 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia ditahan Maritim Malaysia di Sungai Janggut, Kapar, Selangor semasa cuba menyeludup masuk ke Malaysia secara haram melalui jalan laut, 28 Mac, 2022.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia pada awal Isnin berjaya mematahkan percubaan 43 warga Indonesia untuk menyusup masuk secara tidak sah ke negara itu melalui jalan laut berdekatan perairan di negeri Selangor.

Tangkapan itu dibuat selepas pasukan peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya memintas sebuah bot pom-pom di kedudukan lebih kurang 1.6 batu nautika barat daya Sungai Janggut, Kapar, Selangor, demikian menurut Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Mohammad Rosli Kassim.

“Sekitar jam 12.10 tengah malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan sebuah bot mencurigakan sedang bergerak sekitar perairan Pulau Angsa menuju ke Jeram.

“Berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Belangkas di perairan Kuala Selangor telah diatur gerak ke lokasi yang disyaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi anggota penguat kuasa telah menemukan sebuah bot pom-pom sarat dengan penumpang dan diarahkan berhenti, namun tidak diendahkan.

“Bot suspek bertindak memecut laju untuk meloloskan diri, namun berjaya dipintas dan ditahan dalam tempoh 10 minit berikutnya.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 43 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia berumur dalam lingkungan 5 hingga 47 tahun terdiri daripada 30 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak berada di atas bot berkenaan,” tambahnya lagi.

Mohammad Rosli berkata, bot bersama pendatang telah diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Maritim Malaysia memandang serius isu ini dan akan mempertingkat operasi penguatkuasaan di laut dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang cuba mencabul kedaulatan perairan negara,” katanya.

Tangkapan berkenaan menyusul sehari selepas pihak berkuasa negara itu menahan 14 PATI yang baru tiba melalui jalan laut di Morib, juga di negeri Selangor.

Lebih 50 laluan tikus

Sementara itu, pihak berkuasa turut bertindak mengusir empat pendatang asing yang cuba memasuki sempadan negara itu secara tidak sah melalui sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak, yang terletak di kepulauan Borneo pada Ahad.

Penahanan dalam kawasan kelapa sawit di Bau itu dibuat oleh anggota tentera dari Markas 1 Divisyen, tidak jauh dari pos Jawatankuasa Perancangan Gerakan (JPG) Serikin.

Menurut kenyataan itu lagi, bermula 1 Januari sehingga 28 Mac, Tentera Darat melalui 1 Divisyen telah mengusir seramai 65 pendatang tanpa izin dalam 27 kes tangkapan.

Polis Marin Malaysia (PPM) telah mengenalpasti 50 ‘laluan tikus’ di sepanjang perairan Klang, Selangor hingga ke Hutan Melintang di Perak, yang sering digunakan oleh sindiket yang menyeludup pendatang dari Indonesia ke Malaysia

Bulan lalu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim, Komander PPM Wilayah Satu dilaporkan berkata sindiket itu turut dikesan menggunakan laluan jauh daripada pangkalan penguatkuasaan agensi untuk mengelak dari dikesan.

Menurutnya, dari tempoh Januari sehingga 15 Febuari lalu, PPM telah menahan seramai 201 rakyat Indonesia yang cuba memasuki Malaysia secara tidak sah.

Turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah 13 suspek yang berperanan sebagai tekong laut dan tekong darat.

"Menerusi siasatan, ahli sindiket berkenaan menerima upah antara RM1,500 hingga RM2,000 daripada setiap seorang penumpang,” demikian menurut laporan media tempatan.

Dijanjikan pekerjaan

Pembukaan semula semua sektor ekonomi di Malaysia selepas hampir dua tahun tercetusnya pandemik COVID-19 menyebabkan peningkatan mendadak kepada pekerja migran di negara itu.

Para majikan Malaysia sangat bergantung kepada pekerja migran khususnya dari Indonesia bagi sektor perladangan, pembantu rumah dan pembinaan.

Dengan tawaran gaji lumayan, ramai rakyat Indonesia sanggup bersabung nyawa untuk masuk ke Malaysia melalui laluan laut secara tidak sah.

Pada 15 Disember lepas sebuah bot yang membawa 50 warga Indonesia karam berhampiran perairan Tanjung Balau berdekatan Kota Tinggi di negeri Johor, selatan Malaysia.

Dalam kejadian berkenaan, 14 rakyat Indonesia terselamat manakala yang lain terkorban akibat lemas apabila bot yang membawa mereka menyeberangi perairan Selat Melaka dari negara itu ke Malaysia karam akibat cuaca buruk.

Kesemua mereka yang berada di atas bot itu dipercayai cuba menyusup masuk ke Malaysia sebagai pekerja tanpa izin melalui jalan tikus yang popular di kalangan sindiket penyeludupan migran.

Pada 20 Mac lepas, dua dilaporkan maut manakala 26 lagi hilang apabila bot membawa pendatang asing ke Malaysia karam di luar pantai pantai Indonesia berhampiran Medan, yang terletak di utara Sumatera.

Pihak berkuasa Malaysia berkata sindiket penyeludupan manusia dan pendatang asing didapati cuba menyelinap masuk ke dalam negara itu melalui jalan laut hampir setiap hari sejak Mei 2020.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Mohd Zubil Mat Som dilaporkan berkata para pendatang berkenaan “mempertaruhkan nyawa dengan belayar ketika cuaca buruk, ombak setinggi antara tiga ke lima meter serta kelajuan angin mencecah 50 kilometer sejam.”

Menurutnya lagi, sindiket penyeludupan tidak berhati perut dengan sentiasa mencari ruang untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan risiko nyawa biapun mengetahui bot-bot kecil seperti bot pancung yang sering digunakan penyeludup tidak mempunyai keupayaan untuk mengharungi gelora laut dan tidak dilengkapi dengan peralatan keselamatan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh