Malaysia Gagalkan Rampasan Kapal Tangki Thailand, Tahan 10 Lanun Indonesia

Razlan Rashid
2017.09.07
Kuala Lumpur
170907-MY-TH-ID-piracy-620.jpg Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Zulkifli Abu Bakar serta anggota-anggota pasukan khas agensi itu mengawal 10 rakyat Indonesia yang didakwa merampas sebuah kapal tangki minyak, 7 September, 2017.
[Ihsan APMM]

Pasukan khas Malaysia menggagalkan rampasan sebuah kapal tangki minyak di luar negeri pantai timur Terengganu pada Khamis dengan menahan 10 lelaki yang disyaki lanun Indonesia, kata agensi penguatkuasaan maritim negara itu.

Lelaki yang disyaki mendalangi perbuatan itu ditangkap di sebuah hotel di Malaysia beberapa jam kemudian manakala suspek lain dapat melarikan diri dengan sebuah bot laju, menurut laporan.

MT MGT1, kapal tangki yang berdaftar di Thailand dengan 14 anak kapal,  hilang pada malam Rabu di Laut China Selatan, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) susulan penemuan semuan kapal itu pada Khamis.

Sebuah pesawat pemantauan mengesan kapal itu berhampiran Pulau Tenggol.

"Pasukan khas APMM dapat menaiki kapal tangki itu dengan menggunakan tali," kata Ketua Pengarah APMM Panglima Zulkifli Abu Bakar dalam satu kenyataan dan memaklumkan bahawa 14 anak kapal Thailand dan anggota pasukan khas itu tidak cedera.

Sepuluh lelaki yang disyaki lanun itu, yang dikenal pasti sebagai warganegara Indonesia, ditahan di luar kapal tangki itu tetapi tiga yang lain dapat meloloskan diri, menurut pegawai Malaysia.

"Beberapa tembakan amaran turut dilepaskan dari pesawat itu ketika mereka cuba melarikan diri dengan sebuah bot laju," kata Zulkifli.

Usaha mengejar bot laju itu terpaksa dihentikan kerana helikopter berkenaan kekurangan minyak. Malaysia kemudian mengerahkan KM Segantang, sebuah bot pantas memintas, untuk mengesan suspek yang melarikan diri itu.

Kapal tangki Thailand itu kemudian diiringi ke Kuala Terengganu, di mana polis akan menyiasat insiden rampasan itu.

Kapal tangki itu membawa 2.2 juta liter minyak diesel bernilai RM7 juta (AS$1.66 juta), kata pegawai Malaysia.

Ketua lanun yang merampas kapal itu ditangkap pada lewat Khamis, lapor New Straits Times.

"Berikutan penangkapan lanun dan soal siasat yang dijalankan, kami menangkap dalangnya, seorang rakyat Indonesia berusia 50-an, di sebuah hotel di Johor Bahru pada tengah hari," kata Zulkifli yang dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

Kejayaan Malaysia itu mendapat pujian pengarah sebuah kumpulan serantau yang membanteras lanun.

"Dengan pelaku dapat ditahan dan anak kapal serta kapal diselamatkan dengan pantas selepas beberapa jam dilaporkan, ia membuktikan keberkesanan pelaporan tepat waktu oleh kapal itu selain penguatkuasaan yang berkesan oleh pihak berkuasa yang berkaitan," kata Masafumi Kuroki, pengarah eksekutif Perjanjian Kerjasama Serantau bagi Memerangi Lanun dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal di Asia (ReCAAP).

ReCAAP berkata cubaan rampasan itu adalah kejadian kedua melibatkan kapal tangki yang membawa kargo minyak di Asia pada 2017. Lanun telah merampas kira-kira 1.5 juta gelen diesel dari sebuah kapal tangki Thailand yang belayar dari Singapura ke selatan Thailand pada 23 Jun.


Fadzil Aziz di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.