AS Berbincang Dengan ASEAN, Singapura Perketatkan Akses Dana Junta Myanmar

Sementara itu, Malaysia menyatakan bahawa badan serantau itu perlu mengkaji semula prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal negara anggota.
Nontarat Phaicharoen, Hadi Azmi & Shailaja Neelakantan
2021.10.21
Bangkok, Kuala Lumpur & Washington
AS Berbincang Dengan ASEAN, Singapura Perketatkan Akses Dana Junta Myanmar Kaunselor Jabatan Negara Amerika Syarikat, Derek Chollet, (kiri) berbincang dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, di Singapura, 20 Oktober 2021.
[Ihsan Kementerian Luar Singapura]

Washington sedang berbincang dengan negara anggota ASEAN, Singapura, untuk mengehadkan akses rejim tentera Myanmar kepada kewangan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberi tekanan kepada ketua juntanya yang sebelum ini dilarang menghadiri sidang kemuncak serantau yang akan datang, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Khamis.

Keputusan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara pada minggu lalu untuk tidak mengundang ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing, menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang akan diadakan pada akhir Oktober, serta pembebasan ribuan tahanan selepas itu, menunjukkan keberkesanan tekanan antarabangsa, kata Kaunselor Jabatan Negara AS, Derek Chollet, pada sidang media melalui telefon dari Jakarta.

Menteri Luar Malaysia, negara anggota ASEAN yang lantang, juga menyatakan pada Khamis bahawa badan serantau itu perlu menggunakan pendiriannya untuk memberi tekanan kepada mereka yang melanggar hak asasi manusia – dan, oleh itu, perlu mengkaji semula prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal negara anggota.

"Menjalinkan perkongsian yang lebih mendalam dengan ASEAN adalah objektif utama kunjungan antara agensi kami, misalnya... Singapura mempunyai pengaruh kewangan yang signifikan terhadap rejim itu dan kami membincangkan bagaimana kami dapat bekerjasama dengan berkesan untuk melaksanakannya," kata Chollet mengenai kunjungannya ke negara pulau itu sehari sebelum itu.

Chollet bercakap kepada wartawan dari Jakarta, negara terakhir dalam lawatan ke tiga negara Asia Tenggara oleh delegasi antara agensi Amerika Syarikat yang diketuainya.

"Dalam setiap kunjungan itu, kami mengulangi sokongan kepada rakyat Myanmar dan aspirasi mereka untuk demokrasi," katanya kepada wartawan. "Kami telah menegaskan bahawa komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk mengenakan tekanan terhadap rejim tentera itu supaya menghentikan keganasan dan menghormati kehendak rakyat. Ini adalah noktah penting dalam krisis itu. "

Semasa mengunjungi Singapura, Chollet menyatakan dalam catatan Twitter bahawa beliau telah mengadakan "pertemuan yang produktif" dengan Ho Hern Shin, wakil pengarah urusan Lembaga Kewangan Singapura.

"Kami membincangkan cara-cara untuk mengehadkan akses rejim tentera Myanmar itu kepada aset kewangan luar negara," katanya.

Singapura mengatasi China untuk menjadi pelabur terbesar di Myanmar pada 2019, lapor The Myanmar Times ketika itu. Dari Oktober 2018 hingga Februari 2019, Singapura melabur sebanyak AS$20.6 bilion di negara tersebut, menurut agensi kerajaan, Enterprise Singapore.

Chollet juga menyuarakan contoh supaya dimanfaatkan sempadan panjang Thailand dengan Myanmar.

"Thailand adalah rakan bantuan kemanusiaan yang penting kerana sempadannya yang panjang dengan Myanmar dan kelebihan ini adalah antara perkara yang kami bincangkan di Thailand," katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, Washington telah mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli kerajaan bayangan, Kerajaan Perpaduan, di Myanmar, kata Chollet.

“Kami sangat komited untuk berbincang dengan mereka… menggalakkan mereka untuk menyatukan gerakan [prodemokrasi]. Dan kami akan terus berbincang dengan mereka. "

211021-US-SEA-MY-BU-ASEAN1000.jpg

Orang ramai menunggu di luar Penjara Insein di Yangon selepas pihak berkuasa tentera mengumumkan pembebasan lebih 5,000 orang yang dipenjarakan kerana melakukan bantahan rampasan kuasa pada Februari lalu setelah menggulingkan kerajaan awam Myanmar, 18 Oktober 2021. [AFP]

ASEAN harus 'selami jiwa'

Sementara itu, seorang pegawai kanan Majlis Keselamatan Nasional (NSC) Amerika Syarikat menyatakan bahawa selain keputusan ASEAN untuk melarang ketua junta Myanmar menghadiri sidang kemuncak badan serantau itu pada 26 hingga 28 Oktober, lebih banyak tindakan perlu diambil untuk menangani cabaran pasca rampasan kuasa di Myanmar dengan lebih berkesan.

"Sudah tentu, kami memuji ASEAN atas kepemimpinan yang ditunjukkannya, namun, jelas sekali ini belum mencukupi," kata Edgard Cagan, pengarah kanan Asia Timur dan Oceania di NSC, dalam satu majlis di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington pada lewat Rabu.

"Menangani cabaran rampasan kuasa dan kesukaran yang dialami rakyat kerana rampasan kuasa itu, semua perkara tersebut memerlukan usaha yang lebih meluas dan lebih berkesan."

Cagan tidak memperjelaskan tentang usaha yang dinyatakannya itu. Tetapi, ramai penganalisis menyatakan bahawa ASEAN perlu menggantung keanggotaan Myanmar, menghentikan urusan perdagangan dengannya - dan tidak mengambil langkah seperti melobi untuk mengendurkan resolusi PBB yang meminta supaya dilaksanakan sekatan senjata ke negara itu.

Sememangnya wujud kritikan terhadap ASEAN, malah dari kalangan negara anggotanya sendiri, mengenai kelewatan badan serantau itu dalam membuat keputusan sehinggakan ia memerlukan lebih 100 hari untuk melantik utusan khas ke Myanmar.

Dalam beberapa minggu lalu, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah lantang bersuara mengenai apa yang perlu dilakukan oleh ASEAN serta kekurangan badan serantau itu.

Pada Khamis, beliau menyatakan bahawa "prinsip hampir suci" ASEAN untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara anggotanya "adalah berguna dalam banyak cara dan praktikal dalam banyak situasi."

"Tetapi, ketika kita berhadapan dengan situasi seperti yang sedang berlaku di Myanmar, maka, ASEAN nampaknya perlu menyelami perkara ini," katanya. Saifuddin merujuk kepada keganasan yang dilakukan pihak keselamatan susulan rampasan kuasa di negara itu sehingga mengorbankan hampir 1,180 orang yang kebanyakannya adalah penunjuk perasaan prodemokrasi.

"Mungkin sekarang adalah masanya bagi ASEAN untuk menyelami dengan serius mengenai prinsip tidak campur tangan dan melihat pengalaman rantau-rantau lain," katanya. Saifuddin mengambil contoh tindakan Kesatuan Afrika menggantung keanggotaan Mali selepas berlakunya rampasan kuasa tentera di negara itu pada akhir Mei.

Pada mesyuarat dengan rakan-rakan sejawatannya dari negara-negara ASEAN pada minggu lalu, Saifuddin berkata beberapa negara anggota menunjukkan keengganan untuk menangani isu Min Aung Hlaing.

"Saya menyatakan bahawa kita tidak boleh menggunakan prinsip tidak campur tangan sebagai perisai untuk mengelak daripada menangani masalah yang ada," kata menteri itu.

"Prinsip tidak campur tangan tidak boleh diterapkan secara terpisah atau mengatasi prinsip-prinsip lain ASEAN bagi memperkukuh demokrasi, menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia, tadbir urus yang baik serta kedaulatan undang-undang."

Sebelum ini, negara-negara anggota ASEAN sering bercakap mengenai "perbincangan yang konstruktif" berbanding tanpa campur tangan, kata penganalisis serantau.

"Saya berpendapat ASEAN mula menjauhkan diri daripada langkah tidak campur tangan yang ketat, tetapi ... negara anggota yang baru mungkin merasa terpaksa jika ASEAN memilih untuk mengetepikan Myanmar atau menghukumnya," kata Tunku Mohar Mokhtar, ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kepada BenarNews.

"Bagaimanapun, ASEAN perlu menjelaskan kepada Myanmar bahawa persatuan itu tidak bertolak ansur berhubung penyalahgunaan hak asasi manusia secara terang-terangan oleh mana-mana negara anggotanya."

Namun, perkara utama dalam proses membuat keputusan ASEAN adalah prinsip "konsensus" - keputusan yang dibuat oleh badan serantau itu perlulah dipersetujui oleh semua negara anggota.

"Masalahnya ialah mekanisme itu sendiri, kerana seperti yang kita ketahui, untuk melakukan reformasi ASEAN, ia memerlukan konsensus semua negara anggota termasuklah negara-negara yang tidak mahu melakukan perubahan. Justeru, ia tidak boleh bertindak tanpa kata sepakat. "

"Ironinya - untuk mengubah sistem, anda memerlukan orang yang berada dalam sistem itu mahukan perubahan, oleh itu, inilah yang menjadi kesukaran."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.