AS Desak Pengerusi ASEAN Minta Junta Myanmar Bertanggungjawab Terhadap Konsensus Yang Dicapai

Junta Myanmar telah mencabuli kesepakatan yang dicapai dengan kumpulan serantau itu untuk menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan antikudeta.
Shailaja Neelakantan & Ronna Nirmala
Washington & Jakarta
2021-05-03
Share
AS Desak Pengerusi ASEAN Minta Junta Myanmar Bertanggungjawab Terhadap Konsensus Yang Dicapai Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken (kiri) bertemu Menteri Luar II Brunei Erywan Yusof (kanan) di London, 3 Mei 2021
[Ihsan @SecBlinken menerusi Twitter]

Amerika Syarikat mendesak ASEAN memberikan tekanan kepada Myanmar agar negara itu melaksanakan tindakan yang dipersetujui dalam mesyuarat serantau bulan lepas semasa Setiausaha Negara Antony Blinken bertemu menteri luar Brunei, yang merupakan pengerusi blok tersebut ketika ini, di London pada Isnin.

Kedua-dua diplomat mengadakan perbincangan meskipun terdapat laporan bahawa Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu cuba mengheret Amerika Syarikat dan China ke dalam rundingan yang bertujuan memulihkan demokrasi serta menghentikan keganasan di Myanmar selepas tentera negara itu menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada 1 Feb lepas.

Mereka membincangkan peranan negara-negara Asia Tenggara dalam menyelesaikan krisis di Myanmar semasa Blinken dan Menteri Luar II Brunei Erywan Yusof mengadakan rundingan di luar mesyuarat menteri-menteri luar G7 di ibu negara British itu, demikian menurut kenyataan Jabatan Negara AS.

“Setiausaha Negara AS mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar II Erywan atas usaha Brunei sebagai pengerusi dalam isu ini dan menggesa ASEAN meminta junta Myanmar bertanggungjawab terhadap pelan konsensus yang telah dicapai,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price sambil menambah bahawa kedua-duanya “turut membincangkan peranan ASEAN dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.”

Brunei adalah pengerusi ASEAN tahun ini berdasarkan sistem penggiliran bagi memegang jawatan itu.

Pada 24 April lepas, konsensus ASEAN berhubung isu Myanmar terurai dengan pantas apabila pemimpin junta membayangkan pada 26 April bahawa beliau akan melaksanakan kesepakatan yang dicapai hanya selepas wujud kestabilan di negara itu.

Pada 27 April, pemimpin kerajaan awam Myanmar berkata mereka tidak akan mengambil bahagian dalam rundingan dengan puak junta melainkan jika tahanan politik dibebaskan.

Konsensus Lima Perkara ASEAN berhubung isu Myanmar menggesa ke arah penamatan keganasan serta-merta dengan semua pihak mengambil langkah untuk bertenang. Tentera dan pasukan keselamatan Myanmar telah membunuh 766 orang kebanyakannya penunjuk perasaan antikudeta sejak insiden itu berlaku, menurut Persatuan Bantuan Untuk Tahanan Politik (AAPP) iaitu sebuah NGO yang berpangkalan di Thailand.

Konsensus ASEAN turut menggesa penganjuran dialog yang konstruktif antara semua pihak yang berkenaan; mediasi rundingan sedemikian oleh duta khas ASEAN; peruntukan bantuan kemanusiaan yang diselaras oleh ASEAN serta lawatan ke Myanmar oleh satu delegasi ASEAN untuk bertemu semua pihak.

Konsensus itu dicapai selepas pemimpin dan menteri luar semua negara anggota ASEAN termasuk pemimpin junta Myanmar iaitu Jeneral Kanan Min Aung Hlaing menghadiri satu mesyuarat khas di Jakarta.

Konsensus itu bagaimanapun tidak menyebut tentang pembebasan tahanan politik termasuk Aung San Suu Kyi.

Dua hari selepas mesyuarat itu, pasukan keselamatan Myanmar telah menembak mati seorang lelaki di bandar Mandalay.

Pada Ahad pula, lapan orang terbunuh selepas pasukan keselamatan Myanmar melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan secara besar-besaran terhadap pemerintahan junta, lapor agensi berita Reuters.

ASEAN melakukan ‘tugasan yang amat penting’ berhubung isu Myanmar

Brunei mahupun negara anggota lain tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung keganasan yang berlaku selepas konsensus lima perkara tersebut dicapai ASEAN.

Bagaimanapun pada Isnin, menurut bacaan awal perbincangan dengan Blinken, Erywan telah meminta untuk bertemu dengan diplomat Washington itu.

“Pertama sekali, terima kasih kerana sudi mengadakan pertemuan ini dengan saya,” kata menteri Brunei itu, menurut bacaan Jabatan Negara AS.

Blinken pula berkata beliau gembira dapat bertemu dengan Erywan bukan hanya disebabkan oleh hubungan antara Washington dan Brunei tetapi juga kerana Brunei adalah pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi tahun ini.

Beliau berkata ASEAN melakukan “tugasan yang amat penting” berhubung isu Myanmar.

Pada Jumaat lepas, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menzahirkan “sokongan padunya terhadap peranan positif dan konstruktif ASEAN dalam memudah cara penyelesaian damai bagi membantu rakyat Myanmar.”

Pada Isnin, Jabatan Hal Ehwal Luar sebuah negara anggota ASEAN iaitu Filipina telah menyambut baik kenyataan PBB itu.

Sementara itu, satu sumber ASEAN memberitahu agensi berita Nikkei Asia pada hujung minggu bahawa blok tersebut sudah memulakan rundingan bagi mengadakan mesyuarat menteri-menteri luar dengan AS dan China bagi mendapatkan sokongan terhadap usahanya menyelesaikan krisis Myanmar.

Persediaan untuk mesyuarat dengan China sudah berjalan manakala antara ASEAN dengan AS masih memperincikan butiran mengenai pertemuan itu termasuk bagaimana ia akan dikendalikan jika wakil junta Myanmar turut hadir, lapor Nikkei Asia.

Pada Isnin, BenarNews menghubungi jurucakap Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah untuk bertanyakan sama ada pertemuan itu sedang dirancang namun menurutnya, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.

BenarNews turut menghubungi Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN Indonesia Sidharto Suryodipuro dan wakil tetap Indonesia ke ASEAN Ade Padmo Sarwono namun mereka belum memberikan maklum balas sama ada melalui panggilan telefon, teks mesej atau e-mel.

Jika mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN, AS dan China berlangsung, Washington dan Beijing perlu mendesak junta Myanmar agar menyelesaikan krisis itu dalam kerangka ASEAN, kata Evan Laksmana, seorang penyelidik kanan di Pusat bagi Pengajian Antarabangsa dan Strategik di Jakarta.

“Saya berpendapat peranan AS dan China secara idealnya ialah sama ada mengenakan tekanan atau apa sahaja cara untuk mendesak Myanmar melaksanakan resolusi tertentu dalam kerangka ASEAN dan bukannya yang di luar kerangka ASEAN,” kata Laksmana kepada BenarNews pada Isnin.

Beliau berkata jika kerangka ASEAN “tidak lagi sesuai tanpa mengira alasannya,” maka pilihan lain harus diteroka.

“Bagaimanapun ketika ini, apa yang kurang ialah bagaimana untuk bergabung dengan komuniti antarabangsa seperti AS, EU dan lain-lain dalam kerangka ASEAN,” kata Laksmana.

Penyelidik itu juga berkata ASEAN mungkin lebih memilih penglibatan Beijing dalam menyelesaikan krisis Myanmar. China memiliki kepentingan meluas dan strategik dari segi ekonomi bukan hanya di Myanmar tetapi juga di banyak negara dalam blok Asia Tenggara.

Bagaimanapun, katanya, China mungkin enggan menerajui usaha ini.

“China juga telah membina hubungan dengan NUG,” kata Laksmana.

Beliau merujuk kepada Kerajaan Perpaduan Nasional di Myanmar yang dibentuk pada 16 April. Tidak ada wakil NUG yang dijemput ke mesyuarat ASEAN dan banyak kumpulan hak asasi di Myanmar yang mengkritik langkah itu.

“Saya berpandangan bahawa China turut mengakui bahawa tidak ada penyelesaian yang stabil tanpa penglibatan pihak berkepentingan lain selain junta dan kita juga tidak harus lupa bahawa junta di Myanmar amat anti dengan China,” kata Laksmana.

“Jadi, saya berpendapat bahawa berdasarkan kesemua perkara tersebut, adalah agak mustahil bagi China untuk menerajui usaha ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh