Follow us

Dua Lelaki Malaysia Berdepan Pendakwaan Jenayah Siber, Pengubahan Wang Haram di AS

Staf BeritaBenar
Washington
2020-09-17
E-mel
Komen
Share
James Dawson (tengah), ejen khas yang bertanggungjawab terhadap Bahagian Jenayah dan Siber di Pejabat Biro Siasatan Persekutuan FBI di Washington, mengumumkan pendakwaan ke atas dua rakyat Malaysia dan lima warga China berhubung pertuduhan membabitkan jenayah siber, 16 Sept 2020.
James Dawson (tengah), ejen khas yang bertanggungjawab terhadap Bahagian Jenayah dan Siber di Pejabat Biro Siasatan Persekutuan FBI di Washington, mengumumkan pendakwaan ke atas dua rakyat Malaysia dan lima warga China berhubung pertuduhan membabitkan jenayah siber, 16 Sept 2020.
(AP)

Malaysia telah bersetuju dengan permintaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekstradisi ketua pegawai eksekutif dan seorang lagi pegawai sebuah syarikat permainan komputer yang berdepan 23 pertuduhan bekerjasama dengan warga China untuk menggodam serta mencuri data beberapa firma di AS dan luar negara.

Kedua-dua rakyat Malaysia, Wong Ong Hua, 46, dan Ling Yang Ching, 32, masing-masing Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Produk Syarikat SEA Gamer Mall yang berpusat di Perak, telah ditahan pihak berkuasa pada 14 Sept lalu berikutan permintaan Jabatan Kehakiman (DOJ) agar mereka diekstradisi ke AS.

"Kedua-dua suspek kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor," kata Huzir Mohamad, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Khamis.

"Pihak berkuasa AS telah menghantar permohonan ekstradisi bagi kedua-dua suspek pada 3 Sept 2020 dan Jabatan Peguam Negara bersetuju membenarkannya selaras dengan peruntukan di bawah Akta Ekstradisi 1992 dan Triti Ekstradisi di antara kerajaan Malaysia dan AS," kata Huzir. Wong dan Lin boleh ditahan reman sehingga 60 hari di bawah akta tersebut.

DOJ mendakwa Wong dan Ling telah menyasarkan beberapa syarikat di AS, Perancis, Jepun, Singapura dan Korea Selatan kerana yakin mereka akan terhindar daripada ditangkap kerana penguatkuasa tidak akan dapat menyiasat mereka "merentasi sempadan negara."

"Seperti yang dijelaskan oleh Wong pada suatu ketika, itu sudah pasti tidak sah. Oleh itu, kami melakukannya di luar negara," menurut DOJ di dalam afidavit 50 halaman bertarikh 18 Ogos namun hanya dikeluarkan pada Rabu.

Wong dan Ling didakwa melakukan pemerasan, konspirasi, pencurian identiti, peningkatan kecurian identiti, penipuan akses tidak sah, pengubahan wang haram, pelanggaran Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer serta mendaftarkan nama domain secara palsu, demikian menurut afidavit DOJ. Kesemua pertuduhan membawa hukuman penjara antara 10 hingga 27 tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa bersekongkol dengan dua penggodam warga China yang dikenali sebagai Tan Dailin dan Zhang Haoran bersama-sama beberapa individu lain yang tidak dinamakan dalam skim untuk memperoleh keuntungan daripada penjualan ‘barang digital yang diperoleh secara haram berkaitan permainan video’ antara Jun 2014 dan Disember 2018. Afidavit itu mendakwa mereka memperoleh barangan terbabit melalui penipuan, penggodaman komputer, pencurian identiti dan ‘mempromosi pengubahan wang haram.’

DOJ turut mengumumkan bahawa pendakwaan terhadap empat dan tiga lagi warga China akan dibuat pada Rabu. Kelima-lima suspek penggodam China itu dipercayai bertanggungjawab bagi ‘pencerobohan komputer yang menjejaskan lebih 100 syarikat di AS dan luar negara," dakwa para pegawai DOJ.

Menurut DOJ, kelima-lima warga China itu kini berada dalam buruan.

Syarikat berjanji untuk bekerjasama


Syarikat Wong, SEA Gamer Mall, telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia menyedari dakwaan AS itu namun ia tidak menamakan mereka. Syarikat itu juga berkata ia bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dan membantu pihak berkuasa.

"Kedua-dua kakitangan sedang bercuti sementara menunggu perkara itu selesai,” menurut kenyataan itu.

“Tanpa berkompromi dengan integriti proses perundangan yang sedang berlangsung, memadai untuk kami menyatakan bahawa syarikat tidak pernah terlibat dalam aktiviti tidak sah kerana kami adalah syarikat Malaysia yang beratus-ratus pekerja dan berjuta-juta pelanggan di seluruh dunia."

Sementara itu, seorang pegawai FBI memuji kerjasama luar negara berhubung penahanan Wong dan Ling tanpa menyebut secara khusus agensi mana dari Malaysia.

“Penangkapan di Malaysia adalah hasil langsung daripada perkongsian, kerjasama dan kolaborasi. Oleh kerana ancaman siber terus berkembang lebih besar berbanding yang dapat ditangani oleh satu agensi, FBI kekal komited untuk menjadi rakan kongsi yang amat diperlukan kepada rakan-rakan sektor persekutuan, antarabangsa dan swasta kami dalam membanteras jenayah siber yang berleluasa dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata Timbalan Pengarah FBI David Bowdich dalam kenyataan pada Rabu.

Michael R. Sherwin, Pemangku Peguam AS bagi Daerah Columbia, berkata sasaran dalam platform permainan adalah sesuatu yang baharu.

"Skop dan kecanggihan jenayah itu dalam pendakwaan tidak pernah berlaku sebelum ini. Skim jenayah ini dikatakan telah menggunakan pelaku dari China dan Malaysia untuk menggodam, menceroboh dan mencuri maklumat secara tidak sah daripada mangsa di seluruh dunia,” kata Sherwin.

"Seperti yang dinyatakan dalam dokumen pendakwaan, beberapa pelaku jenayah ini percaya hubungan mereka dengan PRC (Republik Rakyat China) memberikan mereka lesen percuma untuk menggodam dan mencuri di seluruh dunia. Skim ini turut mengandungi komponen jenayah siber yang baharu dan membimbangkan - penyasaran dan penggunaan platform permainan untuk menipu syarikat permainan video dan mengubah hasil aktiviti haram."

Muzliza Mustafa dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh