Sekatan AS Bantu Tumpas Sindiket Jenayah Malaysia

Musliza Mustafa & S. Adie Zul
Kuala Lumpur
2021-04-21
Share
Sekatan AS Bantu Tumpas Sindiket Jenayah Malaysia Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador semasa bercakap kepada pemberita berhubung siri operasi tangkapan melibatkan 'Geng Nicky' pada sidang media yang berlangsung di Ibupejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, 30 Mac, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Beberapa tindakan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap seorang ketua sindiket kongsi gelap Macau telah membantu Kuala Lumpur dalam mengesan hubungan seorang rakyat Malaysia dengan kumpulan-kumpulan penjenayah di China dan kegiatan rasuah polis di negara Asia Tenggara, kata seorang pegawai kanan polis Malaysia kepada BenarNews.

Sekatan yang dikenakan Jabatan Perbendaharaan AS telah membolehkan Polis Diraja Malaysia menghubungkaitkan jejak yang ada sehingga membongkarkan kegiatan jenayah Geng Nicky yang didakwa diketuai oleh Nicky Liow Soon Hee, kata ketua polis negeri Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Ia adalah maklumat yang penting berdasarkan sekelumit kecil maklumat yang diperoleh. Kami dapat mengkaji betapa seriusnya dan meluasnya operasi sindiket jenayah tempatan, yang mempunyai hubungan antarabangsa,” kata Ayob Khan kepada BenarNews. "Ini adalah amat serius dan kami sangat bimbang dengan apa yang boleh berlaku sekiranya kami gagal bertindak balas dan menyekat operasi mereka."

Ayob Khan berkata siasatan menunjukkan bahawa Liow berhubung rapat dengan Wan Kuok Koi (yang dikenali sebagai Broken Tooth) iaitu ketua 14K Triad - satu daripada geng jenayah terancang China yang terbesar di dunia dengan mempunyai hubungan di banyak negara. Laporan media mendakwa bahawa kumpulan itu mempunyai lebih daripada 20,000 orang anggota.

"Hubungan Liow dan Broken Tooth adalah amat rapat ‘seperti saudara kandung’ dan ini terbukti dengan pelantikan Nicky sebagai naib presiden Persatuan Sejarah dan Budaya Hongmen Dunia yang merupakan pertubuhan yang dikenakan sekatan oleh Jabatan Perbendaharaan AS pada Disember 2020 kerana didakwa terlibat dalam jenayah terancang dan pengubahan wang haram,” kata Ayob Khan.

"Mereka saling mengenali sejak 2018 dan Broken Tooth... sejak itu, memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada Liow di bawah Triad 14K yang diketuainya."

Persatuan Hongmen, yang berpusat di Kemboja, ialah persatuan keturunan Cina global yang ditubuhkan pada pertengahan tahun 1600-an dan sinonim dengan sindiket "kongsi gelap" di Macau dan Hong Kong, kata Jabatan Perbendaharaan AS ketika ia mengumumkan sekatan terhadap Broken Tooth.

"Persatuan Sejarah dan Budaya Hongmen Dunia telah berjaya memilih dan menerima masuk tokoh elit di Malaysia dan Kemboja," kata pegawai perbendaharaan AS dalam satu kenyataan pada ketika itu.

"Ini meneruskan corak para pelaku Cina di luar negara yang berusaha mengaburi kegiatan jenayah mereka dengan melibatkan diri dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China, Impian China, atau inisiatif utama lain yang dilaksanakan PKC [Parti Komunis China]," kata agensi kerajaan itu, yang merujuk kepada program impian besar China untuk membina Laluan Sutera moden melalui rangkaian projek infrastruktur yang merangkumi Asia Tenggara, Asia Selatan dan beberapa tempat lain.

"Persatuan Sejarah dan Budaya Hongmen Dunia tersebar di seluruh Asia Tenggara, dengan mewujudkan rangkaian perniagaan yang berpengaruh besar dan terlibat dalam pembangunan dan pelancaran mata wang kripto, hartanah dan baru-baru ini sebuah syarikat keselamatan yang mengkhususi perlindungan pelaburan BRI," kata Jabatan Perbendaharaan itu.

Keberadaan Liow

Ayob Khan berkata polis percaya Liow, yang telah melarikan diri sejak pihak berkuasa menumpaskan sindiketnya dan menangkap 68 suspek pada Mac, masih berada di negara itu sedang merancang untuk melarikan diri dari Malaysia. Selain itu, berpuluh-puluh orang anggota polis telah disiasat atas peranan mereka dalam membantu geng Liow.

"Kami mahu memberi amaran keras terhadap mereka yang membantu lelaki ini melarikan diri bahawa mereka boleh disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," kata Ayob Khan.

Tanpa menamakan sesiapa, Ayob Khan berkata polis sedang mengesan tokoh terkemuka yang dikaitkan dengan Liow serta beberapa orang yang mempunyai rekod jenayah kerana terlibat dalam rasuah, jenayah komersial dan keganasan termasuk kesalahan seksual.

Polis Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa Liow dapat melepaskan diri dari ditangkap kerana berlakunya "kebocoran maklumat" daripada individu tertentu. Polis tidak memberikan identiti individu itu, yang telah ditahan pihak berkuasa pada bulan lalu.

Ayob Khan berkata Liow, yang dipercayai mempunyai harta bernilai lebih RM1 bilion (US$242.6 juta), mengumpulkan kekayaannya setelah menjalinkan kerjasama dengan operator skim cepat kaya di China, Zhang Jiang, yang kini dipenjarakan di negaranya kerana jenayah itu.

"Menurut sumber, sejak mengambil alih perniagaan itu, Liow telah menambah baik skim penipuan itu seiring dengan trend pelaburan semasa bagi mengembangkan empayarnya," kata Ayob Khan.

Geng Nicky yang diketuai Liow juga melakukan jenayah penipuan telekomunikasi di mana ia memperdayakan mangsa, yang kebanyakannya Cina, untuk menyerahkan sejumlah besar wang mereka, yang membolehkan geng itu mengumpulkan jutaan ringgit.

Beliau berkata Liow telah didakwa bagi pertuduhan terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan polis sedang berusaha untuk mengemukakan pertuduhan tambahan yang berkaitan dengan jenayah lain termasuk mendalangi sindiket penipuan yang berpusat di Macau. Sindiket itu didakwa melakukan penipuan dari 48 unit pangsapuri di Puchong berdekatan Kuala Lumpur.

Mengenai Macau Scam, Ayob Khan berkata polis sedang menyiasat kemungkinan adanya hubungan langsung Liow dengan kongsi gelap Broken Tooth di sana berikutan hubungannya dengan ketua kongsi gelap itu.

“Berdasarkan maklumat perisikan, kami percaya Geng Nicky mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah antarabangsa. Kami juga percaya dan sedang menyiasat kaitannya dengan sindiket lain di China tetapi kami tidak boleh mendedahkan mengenainya dengan lebih lanjut sehinggalah kami selesai menjalankan siasatan,” katanya.

Senarai Interpol

Walaupun polis tempatan percaya bahawa Liow berada di Malaysia, pihak berkuasa itu telah menghubungi Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejakinya.

"Ya, kami telah menyerahkan Notis Biru mengenainya kepada Interpol pada awal April dan ketika ini, kami sedang berusaha menempatkannya dalam Notis Merah Interpol setelah mendapat waran tangkap daripada mahkamah," kata Ayob Khan.

Notis Biru merupakan permintaan kepada negara-negara untuk membantu dalam mengenal pasti orang yang disyaki manakala Notis Merah ialah usaha untuk mencari orang yang disyaki supaya dapat diekstradisi.

Sementara itu, seramai 34 pegawai polis sedang disiasat kerana didakwa bekerja secara langsung dan tidak langsung dengan Geng Nicky, kata Ayob Khan sambil memberitahu bahawa penyiasat percaya rangkaian jenayah itu telah diperluaskan kepada rakan subahat lain.

"Kami telah mengenal pasti lebih ramai lagi daripada jumlah awal suspek yang bersubahat, bukan sahaja dalam pasukan polis malah di agens-agensi kerajaan yang lain," kata ketua polis Johor itu. "Namun, saya tidak boleh mendedahkan lebih lanjut kerana ia masih dalam siasatan dan kita akan segera membuat tangkapan terhadap mereka yang bersubahat ini.

"Tangkapan akan dilakukan secara berperingkat. Adalah menjadi hasrat dan matlamat saya agar tangkapan ini akan berakhir dengan mereka didakwa di mahkamah, ”katanya.

Awal bulan ini, seramai 14 orang termasuk dua adik lelaki Liow iaitu Liow Wei Kin dan Liow Wei Loon telah didakwa di mahkamah kerana terlibat dengan kumpulan jenayah terancang. Mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Sebelum ini, dalam usaha untuk menumpaskan Geng Nicky, polis menahan 118 suspek dalam 70 serbuan yang dilakukan selama lapan hari yang berakhir pada 28 Mac.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor merampas RM773,000 ($187,500) dan 35 kenderaan bernilai RM8.86 juta ($2.14 juta) di bawah peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah 2001.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador memberitahu wartawan pada ketika itu bahawa polis telah membekukan 41 akaun bank yang dipercayai digunakan untuk menyalurkan dana bagi tujuan haram.

Beliau berkata siasatan menunjukkan bahawa sindiket itu akan menyasarkan pelabur dari China dengan menjanjikan mereka pulangan besar menerusi pelaburan mata wang kripto, hartanah dan pasaran pertukaran asing.

Ketua Polis Negara itu berikrar untuk memburu anggota polis korup.

"Tidak ada lagi amaran-amaran, sudah puas dan sudah cukup amaran diberikan kepada mereka supaya dari dulu lagi telah saya katakan, putuskan apa juga hubungan mereka dengan kumpulan ini, ”kata Abdul Hamid pada sidang media itu, menurut laporan Malaysiakini iaiti portal berita tempatan.

"Tetapi nampak gayanya, daripada hasil tindakan yang diambil ini, terdapat pengkhianat dalam kalangan anak buah saya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh