Komander Kapal Pengangkut Pesawat AS Tegaskan Kebebasan Navigasi di Laut China Selatan
2021.09.15
KEMASKINI pada 7.30 malam waktu tempatan ETS - 2021-09-15
Komander kapal induk Amerika Syarikat (AS), yang dikerahkan ke Laut China Selatan, memberitahu BenarNews bahawa ia mahu memastikan "kebebasan semua negara untuk melakukan navigasi di perairan antarabangsa" – satu misi yang menyaksikannya berlayar 50 batu nautika melepasi sebuah kapal peninjau China yang beroperasi dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia pada hujung minggu lalu.
Rekod trafik marin global menunjukkan kapal induk USS Carl Vinson (CVN-70) berlayar di Laut Natuna di luar Indonesia pada awal Ahad di mana kapal peninjau China, Haiyang Dizhi 10, telah beroperasi di kawasan itu sejak penghujung Ogos.
Tidak seperti kebiasaannya, kapal induk AS itu turut menyiarkan lokasinya, dengan penganalisis berpendapat langkah itu bertujuan menunjukkan bahawa ia beroperasi secara bebas di perairan antarabangsa. China telah menuntut sebahagian besar Laut China Selatan sebagai miliknya.
Dalam wawancara eksklusif dengan BenarNews pada Sabtu, Komander Kumpulan Penyerang Carl Vinson Laksamana Muda Dan Martin, berkata: "Operasi kami di rantau ini menunjukkan kesungguhan kami untuk mempertahankan kepentingan kami dan kebebasan yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa. "
Kumpulan kapal penyerang itu, yang merangkumi kapal induk USS Carl Vinson dan tiga kapal tentera lain, telah berlayar masuk ke Laut China Selatan pada minggu lalu bagi melakukan "operasi keselamatan maritim."
Beberapa hari sebelum itu, Pentadbiran Keselamatan Maritim China mengumumkan bahawa semua kapal asing termasuk kapal-kapal pengangkut, yang memasuki kawasan yang dianggap China sebagai perairan wilayahnya, perlu memaklumkan perkara itu kepada Beijing dan tertakluk kepada pengawasan China.
Mengikut undang-undang antarabangsa, perairan wilayah terletak 12 batu nautika ke laut dari wilayah darat sesebuah negara. Tetapi, China turut memasukkan kawasan perairan di sekitar pulau buatannya yang baru ditambak dalam wilayah maritimnya walaupun ia dibantah oleh negara-negara lain di rantau itu.
"Mana-mana undang-undang atau peraturan negara pesisir tidak boleh melanggar hak navigasi dan penerbangan yang dinikmati oleh semua negara berdasarkan undang-undang antarabangsa," kata Martin.
"Tuntutan maritim yang melampau dan menyalahi undang-undang di Laut China Selatan boleh menimbulkan ancaman besar terhadap kebebasan di laut termasuk kebebasan navigasi, melakukan penerbangan dan perdagangan yang sah."
"Kami tidak akan memaksa atau dipaksa mematuhi norma-norma antarabangsa," katanya.
Laksamana Muda Dan Martin
"Tentera Pembebasan Rakyat bersiap siaga"
Tentera laut dan udara AS secara berkala melakukan apa yang disebut sebagai Operasi Kebebasan Navigasi (FONOP) untuk mencabar tuntutan maritim China di Laut China Selatan, di mana satu pertiga perdagangan maritim global berlayar melalui kawasan itu setiap tahun. China telah berulang kali mengecam FONOP.
The Global Times, yang sebahagiannya adalah suara rasmi People’s Daily, menyifatkan kerahan kapal induk USS Carl Vinson itu sebagai langkah "provokatif."
Ini adalah kali keenam kapal induk AS dikerahkan ke Laut China Selatan tahun ini, tetapi semasa kerahan pertama, ia turut membawa pesawat tempur senyap F-35C yang canggih dan pesawat tiltrotor CMV-22B Osprey yang baru, menurut laporan Global Times.
Akhbar itu memetik seorang penganalisis ketenteraan China sebagai memberi amaran bahawa tentera China telah dikerah bersiap siaga, dan "China mampu dan yakin sepenuhnya untuk menangani provokasi seperti itu."
Namun, menurut Komander Kumpulan Penyerang Carl Vinson, “setakat ini, semua interaksi kami dengan tentera laut China dilaksanakan secara profesional dan selamat. Semasa berlayar, kami turut membawa pengiring, tetapi saya tidak melihat sebarang pergerakan agresif sama ada di laut atau di ruang udara yang boleh membangkitkan kebimbangan kepada saya. "
Tinjauan BenarNews terhadap data pengesanan kapal mendapati bahawa ketika Carl Vinson berlayar melepasi bahagian selatan Laut China Selatan, ia berada kira-kira 50 batu nautika dari Haiyang Dizhi 10 - satu daripada armada kapal peninjau China yang secara berkalanya melakukan penyelidikan di perairan yang menjadi pertikaian itu.
Kawasan di mana Haiyang Dizhi beroperasi pada Ahad lalu adalah dalam Zon Ekonomi Eksklusif Indonesia yang seluas 200 batu nautika. Jakarta tidak menganggap ia terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan, walaupun Beijing menuntut hak bersejarah bagi beberapa kawasan dalam wilayah maritim bertindih dengan EEZ Indonesia.
Badan Keselamatan Maritim Indonesia (Bakamla) pada Selasa menyatakan bahawa Haiyang Dizhi tidak melanggar sebarang peraturan perkapalan.
Jurucakap Bakamla Wisnu Pramandita berkata kapal peninjau China itu dilihat berada berhampiran medan gas Blok Tuna Natuna pada 31 Ogos.
"Saya tidak tahu sudah berapa lama [ia berada di sana]. Tetapi, ia menggunakan AIS [sistem pengenalan automatik] dan boleh dipantau. Tidak ada laporan gangguan daripada pelantar. Ia mungkin sekadar laluan biasa," kata Wisnu kepada BenarNews.
Indonesia menetapkan bahawa mana-mana kapal asing yang berlayar melepasi Laluan Perairan Kepulauan Indonesia (ALKI) supaya memasang AIS masing-masing.
Wisnu berkata Bakamla juga memantau kehadiran USS Carl Vinson di EEZ Indonesia, namun memberitahu bahawa beliau tidak tahu mengenai sebarang interaksi dengan kapal China itu.
Pada Isnin, tentera laut Indonesia mengerahkan KRI Bontang (907) ke kawasan yang sama, menurut rekod pengesanan kapal, dengan ia mengikuti rapat pergerakan kapal China berkenaan, yang berada berhampiran dengan medan minyak dan gas utama. Kedua-dua kapal itu masih berada di kawasan tersebut pada Rabu.
Tentera Laut Indonesia dan Bakamla tidak dapat dihubungi pada Rabu bagi mendapatkan maklum balas tetapi rekod pengesanan yang dianalisis oleh BenarNews menunjukkan kapal Indonesia itu telah mengekori Haiyang Dizhi 10 dan pada satu ketika berada hanya 1.7 batu nautika daripada kapal China itu.
KRI Bontang (907) pada dasarnya adalah kapal tangki bekalan bahan bakar namun ia dilengkapi dengan sistem persenjataan termasuk meriam dan mesingan.
Pilihan mengerahkan kapal tangki bekalan itu mungkin disengajakan, kata Sunaryo yang merupakan pakar hal ehwal maritim di Universitas Indonesia.
"Kami dalam dilema. Jika kami mengerahkan kapal perang, itu akan dilihat sebagai tindakan agresif tetapi Bakamla (yang bukan tentera) tidak mempunyai banyak kapal besar."
‘Fleksibel tetapi tegas’
Jawapan yang kelihatan seperti mengelak itu adalah "tidak dijangka," kata Richard Heydarian iaitu penganalisis hal ehwal serantau. "Indonesia dan beberapa negara lain di rantau ini telah menggunakan pendekatan yang fleksibel ketika berdepan dengan China."
"Mereka mengutamakan cara diplomatik dan menghindari bahasa konfrontasi agar tidak menjejaskan hubungan dengan China, namun cuba bertegas apabila perlu melindungi kepentingan negara," kata Heydarian.
Pendekatan yang sama dapat dilihat pada Januari 2020 apabila tindak balas yang tegas namun terkawal dan diplomatik oleh Indonesia telah membantu dalam mengerah keluar puluhan kapal China yang menangkap ikan secara haram di kawasan sama di wilayah utara Pulau Natuna, kata Heydarian.
Namun, Indonesia mungkin menghadapi cabaran yang lebih besar kali ini.
Selain daripada kapal peninjau itu, agensi berita Kompas memetik nelayan-nelayan tempatan sebagai berkata bahawa mereka melihat sekurang-kurangnya enam kapal China termasuk kapal pemusnah seberat 7,500 tan - Kunming (172) - di Laut Natuna Utara pada Isnin.
Sering hadir
Setiausaha Bakamla, Suprianto Irawan, dipetik sebagai berkata dalam laporan media Indonesia bahawa kapal pengawal pantai China sering berada di sekitar Blok Tuna di mana Haiyang Dizhi 10 beroperasi, iaitu medan minyak dan gas penting dalam EEZ Indonesia.
Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan, namun bahagian utara Laut Natuna bertindih dengan apa yang disebut sebagai "sembilan garis putus" yang digunakan China dalam menuntut wilayah yang luas di Laut China Selatan - kedudukan yang tidak diperakukan oleh undang-undang antarabangsa.
Sejak 31 Ogos, kapal China telah melakukan tinjauan berdekatan pelantar minyak separa tenggelam Noble Clyde Boudreaux, yang ditugaskan untuk menggerudi dua telaga di sana sehingga pertengahan November ini.
Kapal-kapal China dituduh mengganggu aktiviti eksplorasi minyak negara-negara jiran tetapi China sentiasa menegaskan bahawa ia melakukan operasi mengikut bidang kuasanya.
Kerajaan Indonesia pula terus ditekan supaya melindungi kepentingan negara, dan rakyatnya turut mendesak supaya ia mengambil tindakan.
"Sebagai negara kepulauan, kami telah menetapkan laluan perairan bagi perjalanan berterusan kapal-kapal asing tetapi kami tidak boleh mengambil ringan berhubung kawasan EEZ kami. Sekiranya kami tidak melakukan apa-apa, tuntutan kami akan dipandang remeh," tegas pakar maritim Sunaryo dari Universitas Indonesia.
"Inilah yang berlaku di Natuna dengan kapal-kapal asing berada dalam EEZ kami. Beberapa pihak mengambil kesempatan daripada kelemahan keselamatan di kawasan itu. "
EEZ sesebuah negara adalah seluas 200 batu nautika di luar pesisirnya dan memberikannya hak kepada sumber tertentu di perairan itu - oleh itu, ia menyentuh sensitiviti apabila sebuah negara asing melakukan tinjauan di kawasan seperti itu.
Tetapi, beberapa pegawai Bakamla menyatakan bahawa ia mempunyai sumber yang amat terhad dan kekurangan kelengkapan dengan hanya mempunyai 10 kapal dan tiada pesawat.
Dalam pada itu, Martin berkata berikutan sekatan akibat COVID-19, tidak mungkin USS Carl Vinson dapat berlabuh di pelabuhan semasa misinya itu, tetapi kerahan secara terbuka kapal pengangkut pesawat itu haruslah "menunjukkan kepada rakan dan sekutu kami bahawa kami menyokong mereka. "
Beliau mengulangi komitmen AS untuk mempertahankan Filipina, yang turut menuntut Laut China Selatan, sekiranya ia diserang, dengan menggambarkannya sebagai "sekutu perjanjian tertua kami di Asia."
"Sebarang serangan bersenjata terhadap angkatan bersenjata, kapal awam atau pesawat Filipina di Pasifik termasuk di Laut China Selatan akan memerlukan kami melaksanakan tanggungjawab kami mengikut Perjanjian Pertahanan Bersama AS-Filipina," kata Martin.
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorenzana berada di Washington pada minggu lalu untuk bertemu para pegawai AS. Menurut kenyataan Filipina, "kedua-dua pihak sepakat untuk menghasilkan kerangka maritim dua hala yang akan memperluaskan lagi kerjasama dalam domain maritim."
Semasa menyampaikan ucapan kepada badan pemikir di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa pada Rabu, Lorenzana berkata Manila berusaha untuk "meningkatkan dan mengemas kini" sekutu-sekutu AS. Beliau mahu tahu "tahap komitmen Amerika" dengan lebih jelas mengikut perjanjian itu, yang ditandatangani oleh sekutu-sekutu AS kira-kira 70 tahun lalu.