Kastam AS Tarik Balik Larangan Import Terhadap Top Glove

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS berkata syarikat itu telah memperbaiki keadaan dan membuat pembayaran pemulihan bagi pekerja asingnya.
S. Adie Zul
2021.09.10
Kuala Lumpur
Kastam AS Tarik Balik Larangan Import Terhadap Top Glove Pekerja wanita Top Glove berjalan melewati kilang syarikat itu selepas selesai bertugas di Klang, Selangor, 17 Nov 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Syarikat pengeluar sarung tangan getah perubatan Top Glove yang berpangkalan di Malaysia kini dibenarkan mengeksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) selepas memperbaiki keadaan dan kediaman untuk pekerja asing setahun selepas Washington mengenakan larangan import ekoran isu buruh paksa, kata pihak berkuasa kastam AS pada Khamis.

Penambahbaikan yang dilakukan oleh Top Glove membuktikan bahawa usaha Washington untuk menamatkan aktiviti ‘perhambaan moden’ telah berjaya, kata setiausaha Jabatan Keselamatan Tanah Air AS iaitu agensi yang menyelia Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP).

"Tindakan Top Glove dalam respons terhadap Perintah Menahan Pelepasan (WRO) termasuk mengeluarkan lebih AS$30 juta dalam pembayaran pampasan kepada pekerja dan memperbaiki keadaan di tempat kerja serta tempat tinggal di fasiliti syarikat itu membuktikan bahawa usaha penguatkuasaan CBP telah memberikan insentif ekonomi yang kuat kepada entiti terbabit bagi menghapuskan aktiviti buruh paksa daripada rantaian pembekalan mereka," kata Pemangku Pesuruhjaya CBP Troy Miller dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh AS.

Setiausaha Jabatan Keselamatan Tanah Air AS Alejandro N. Mayorkas pula berkata keputusan CBP untuk mengenakan larangan import ke atas produk sarung tangan syarikat itu tahun lepas telah memberikan isyarat yang jelas kepada dunia.

"Ini adalah contoh terbaik mengenai usaha luar biasa Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS dalam melindungi hak asasi manusia dan pengguna serta perniagaan AS daripada produk yang dibuat menggunakan elemen perhambaan moden," kata Mayorkas dalam kenyataan sama.

Syarikat Malaysia itu turut mengeluarkan kenyataan media sebagai maklum balas terhadap keputusan CBP pada Khamis.

"Top Glove kekal komited terhadap kesihatan, keselamatan dan kebajikan warganya. Syarikat akan terus bekerja keras dan dengan bijak bagi menuju ke arah menjadi pemimpin industri dalam bidang ini, dan menepati jangkaan para pemegang taruhnya," kata syarikat itu.

Kastam AS telah mengenakan larangan import terhadap Top Glove pada Julai 2020 meskipun ketika itu dunia menyaksikan peningkatan kes COVID-19. Ia menyatakan bahawa terdapat bukti yang memberikan indikasi berlaku aktiviti buruh paksa dalam operasi syarikat itu. Indikasi itu termasuk "perhambaan hutang, kerja lebih masa yang keterlaluan, menyimpan dokumen pengenalan diri pekerja serta keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk."

Agensi itu telah mengeluarkan WRO terhadap Top Glove Sdn Bhd dan anak syarikatnya TG Medical Sdn Bhd. Langkah itu menyebabkan Top Glove bertindak balas dengan menghantar petisyen meminta supaya perintah tersebut diubah suai.

"Sejak itu, Top Glove telah menyalurkan maklumat tambahan kepada CBP dan CBP percaya ia adalah bukti yang memuaskan iaitu produk sarung tangan getah atau mana-mana bahagiannya tidak lagi dibuat atau dikilangkan dengan penglibatan buruh paksa," kata syarikat itu dalam satu notis kepada media yang dikepilkan bersama kenyataannya.

Pada 11 Ogos tahun lepas, BenarNews melaporkan Top Glove mengumumkan bahawa syarikat itu akan mula memberi pampasan kepada pekerja asingnya yang menyaksikan ia telah membuat pembayaran berjumlah 4.4 juta ringgit (AS$1.1 juta).

Top Glove Corp mengendali sejumlah 40 kilang di Malaysia, empat di Thailand dan satu di China. Syarikat itu memiliki lebih 19,000 pekerja yang mengeluarkan 78.7 bilion sarung tangan setahun untuk lebih 2,000 pelanggan di 195 negara.

Menurut laporan media, saham syarikat itu didapati naik sehingga 10 peratus pada Jumaat selepas jatuh sebanyak 40 peratus apabila ia dikenakan larangan import oleh AS.

210910-MY-US-TopGlove-inside.JPG

Sekumpulan pekerja menjalankan tugas di bahagian pengeluaran di kilang Top Glove di Shah Alam, Malaysia, 26 Ogos 2020. (Reuters)

Pengumuman dialu-alukan

Andy Hall, seorang pakar hak pekerja asing antarabangsa yang menetap di Nepal dan sebelum ini pernah menghantar petisyen kepada AS supaya menyiasat Top Glove atas dakwaan mengamalkan buruh paksa, mengalu-alukan pengumuman mengenai penarikan balik WRO oleh CBP.

"Melihat kepada penambahbaikan yang dibuat membabitkan situasi tempat tinggal serta pekerjaan untuk pekerja asing di Top Glove sejak tiga tahun lepas, semasa saya memfokus kepada mengenal pasti keadaan di syarikat itu serta keseluruhan industri sarung tangan di Malaysia, ia juga penting untuk kita mengakui usaha positif yang dilakukan oleh pengurusan Top Glove, pemegang saham serta pembeli dalam memperbaiki keadaan untuk pekerja Top Glove," menurut Hall dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah penting untuk mengambil maklum bahawa pekerja asing masih berdepan cabaran serius ke arah memiliki suasana tempat kerja dan tempat tinggal yang baik dalam sektor sarung tangan di Malaysia dan masih banyak usaha yang perlu dilakukan bagi memastikan semuanya adalah memuaskan baik dari segi kerja, tempat tinggal mahupun gaji.

Sebelum pengumuman CBP, bekas menteri Kabinet Malaysia Abdul Wahid Omar pada Khamis menggesa kerajaan supaya melakukan reformasi terhadap polisinya mengenai pekerja asing bagi menangani isu buruh paksa.

Beliau berkata semakan semula polisi perlu dibuat dengan segera supaya syarikat yang didakwa terlibat dengan amalan buruh paksa serta perhambaan moden dikeluarkan daripada rantaian bekalan. Abdul Wahid sebelum ini bertanggungjawab menyelia Unit Perancang Ekonomi ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Beliau kini bertugas sebagai Pengerusi Bursa Saham Malaysia.

"Sekiranya masalah ini merebak ke sektor elektrik dan elektronik, kerosakan yang dialami tidak akan mampu diperbaiki," kata beliau.

Pada Julai lepas, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan mengeluarkan kenyataan mengumumkan bahawa kementerian itu sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa bagi merangka satu pelan tindakan kebangsaan mengenai isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak. Pelan itu dijangka dimuktamadkan dalam suku keempat tahun 2021.

Saravanan berkata kementerian itu sedang menyemak semula memorandum persefahaman sedia ada dengan negara sumber tenaga kerja bagi memastikan pekerja dilindungi dan pada masa yang sama, tidak membebankan majikan.

"Kementerian akan mengkaji kos yang dikenakan syarikat swasta dalam kes melibatkan kos tersembunyi yang boleh membebankan pekerja atau majikan sehingga mengakibatkan eksploitasi dan pemaksaan hutang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan respons apabila Malaysia jatuh ke Tahap Tiga iaitu tahap terendah dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 oleh Jabatan Negara AS kerana tidak menepati standard minimum dalam usaha menghapuskan pemerdagangan manusia serta dilihat tidak melakukan usaha yang signifikan ke arah itu.

"Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera, WRO dan kedudukan Malaysia pada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia akan menyebabkan kerosakan kepada ekonomi Malaysia," kata Abdul Wahid kepada hadirin dalam Sidang Kemuncak Pemulihan Negara di Kuala Lumpur pada Khamis.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.