Menteri ASEAN Bincang Ketegangan di Laut China Selatan
2015.08.04

Malaysia menyeru negara anggota ASEAN mencari penyelesaian yang berkekalan di dalam menangani pertikaian di kawasan Laut China Selatan di mesyuarat tahunan pertubuhan tersebut di Kuala Lumpur.
Menteri Luar Anifah Aman berkata, walaupun Persatuan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mempunyai perjanjian dengan China untuk mewujudkan satu Kod Tatalaku (CoC) bagi mencari penyelesaian di dalam tuntutan bersaing di laut tersebut, banyak lagi yang perlu diusahakan untuk mengelak persengketaan yang tidak diingini.
“ASEAN telah memulakan langkah yang positif namun perlu dipertingkatkan lagi. Sudah tentu, kita akan menghadapi cabaran-cabaran lain di luar sempadan, tetapi cabaran-cabaran tersebut bukan satu perkara yang baru untuk kita,” katanya pada Selasa.
Anifah menegaskan ASEAN perlu mempunyai pendirian teguh untuk menyelesaikan isu itu. “Paling penting, kita mesti dilihat menangani isu-isu ini secara aman dan bekerjasama," katanya.
"Kesudahannya, apa yang kita inginkan adalah kemanan, kestabilan dan keselamatan yang berkekalan di Laut China Selatan," tegas beliau.
Tambahnya, adalah penting Laut China Selatan kekal sebagai lautan keamanan dan kemakmuran, manakala sebarang perkembangan ke arah peningkatan aktiviti ketenteraan perlu dielakkan.
Kepulauan Spratly di Laut China Selatan kini menjadi tuntutan negara anggota ASEAN - Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei, dan China serta Taiwan.
Pertikaian sengit
Ketegangan memuncak tahun lepas apabila China mula membina sebuah pulau di Kepulauan Spratly, yang Amerika Syarikat serta negara-negara bersaing bimbang boleh menjejaskan kebebasan pelayaran dan penerbangan di kawasan transit utama bagi petroliam serta komoditi perdagangan yang lain.
Perselisihan itu telah mengakibatkan pertikaian sengit yang membawa maut di antara China dan Vietnam. Washington serta kerajaan-kerajaan di rantau juga bimbang bahawa pergerakan tentera yang lebih besar boleh meningkatkan risiko dan pertempuran yang tidak diingini.
China yang menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur ini, menegaskan bahawa negaranya tidak akan membincangkan isu Laut China Selatan di mesyuarat berkenaan.
Agensi berita nasional China, Xinhua melaporkan, usaha untuk melobi perundingan mengenai Laut China Selatan boleh menjejaskan kestabilan rantau dan ia bertentangan dengan kemajuan yang telah dicapai di mesyuarat para pegawai kanan kedua belah pihak beberapa hari lalu di bandar Tianjin di China.
Di dalam pertemuan di Tianjin, negara-negara ASEAN bersetuju untuk bekerjasama melaksanakan Deklarasi berkaitan Kod Pihak Yang Berkenaan di Laut China Selatan (DoC) yang telah diterima pakai sejak tahun 2002.
Perjanjian itu juga bertujuan untuk merangka penubuhan Kod Tatalaku (CoC) di laut tersebut.
Mesyuarat Tianjin juga bersetuju bahawa langkah menuju "ke fasa baru membincangkan isu-isu penting serta kompleks," kata Xinhua.
Sementara itu, beberapa media antarabangsa melaporkan Beijing sedang giat menjalankan kerja-kerja pembinaan di Laut China Selatan
Menurut laporan itu, imej satelit terbaru menunjukkan China sedang melakukan kerja menambak tanah di sekitar tujuh kawasan terumbu karang di kepulauan Spratly, termasuk membina apa yang kelihatan seperti landasan kapal terbang di sebuah pulau binaan manusia.
Kegiatan itu meresahkan beberapa negara di Asia Tenggara dan mengundang kritikan dari Washington.
Anifah berkata, kesemua Menteri-Menteri Luar ASEAN telah bersetuju agar pegawai-pegawai kanan memperhebatkan rundingan agar Kod Tatalaku (CoC) boleh diwujudkan secepat mungkin.
Mengulas lanjut, Menteri Luar China Wang Yi berkata, China dan ASEAN mempunyai kemampuan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di dalam menangani isu yang berbangkit di perairan itu.