ASEAN, Beijing Setuju Kawal Diri di Laut China Selatan

Sementara itu, China memberi jaminan kepada junta Myanmar bahawa keadaan yang berlaku di negara bergolak itu tidak akan menjejaskan persahabatan dua hala.
Shailaja Neelakantan
Washington
2021-06-08
Share
ASEAN, Beijing Setuju Kawal Diri di Laut China Selatan Menteri Luar Negeri China Wang Yi ketika berucap pada satu majlis di Kementerian Luar China di Beijing, 12 April 2021.
[AFP]

Beijing dan negara-negara Asia Tenggara bersetuju untuk tidak meningkatkan lagi ketegangan di Laut China Selatan, menurut satu pernyataan bersama, susulan dakwaan Malaysia dan Filipina mengenai tindakan China menceroboh zon maritim mereka baru-baru ini.

Sementara itu, media China melaporkan bahawa Menteri Luar Wang Yi memberitahu junta Myanmar bahawa keadaan dalam negara Myanmar tidak akan menjejaskan persahabatan Beijing dengan Naypyidaw - komen yang nampaknya berbeza dengan sokongan yang dinyatakan oleh China terhadap usaha Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menyelesaikan pergolakan yang berlaku selepas rampasan kuasa di Myanmar.

Pernyataan bersama yang dikeluarkan oleh ASEAN dan China selepas mesyuarat peringkat menteri luar negeri di Chongqing menyatakan bahawa kedua-dua pihak sepakat untuk "meningkatkan dan mempromosi keselamatan maritim" serta "mengawal diri daripada melakukan aktiviti yang akan menyulitkan atau meningkatkan perselisihan serta menjejaskan keamanan dan kestabilan selain berusaha menyelesaikan pertikaian secara aman. "

Bagaimanapun, diplomat Filipina menggambarkan adanya “ketegangan” dalam perbincangan di antara diplomat tertinggi China dan ASEAN pada Isnin sebelum kedua-dua pihak mengeluarkan pernyataan bersama itu pada hari berkenaan. Malaysia, Filipina dan Vietnam bersuara menentang tindakan China manakala negara-negara anggota ASEAN yang lain membisu, kata diplomat tersebut.

Pernyataan bersama itu juga menyatakan bahawa setiap perselisihan dengan China akan diselesaikan dengan sewajarnya mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui sejagat termasuk Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-Undang Laut atau UNCLOS.

Apa yang tidak disebutkan dalam pernyataan bersama itu adalah hakikat bahawa UNCLOS tidak mengiktiraf tuntutan bersejarah, seperti mana tuntutan China, di laluan perairan yang menjadi pertikaian itu. Beijing tidak mahu menerima keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 terhadap tuntutannya yang meluas di Laut China Selatan.

China mengeluarkan satu kenyataan berasingan mengenai hasil mesyuarat itu dengan menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk "menangani dan menguruskan perbezaan mereka melalui perundingan."

"Adalah biasa bagi negara-negara yang berjiran untuk terlibat dengan masalah," kata Wang Yi, menurut kenyataan Kementerian Luar China.

Perairan yang bermasalah

Tetapi masalah itu semakin buruk sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, Malaysia berkata sebanyak 16 pesawat tentera China telah menceroboh ruang udara maritimnya di perairan Laut China Selatan berhampiran Pulau Borneo.

Putrajaya berkata ia akan memanggil duta China dan mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada Beijing berhubung "ancamannya terhadap kedaulatan negara [Malaysia]."

China pula berkata bahawa pesawat berkenaan melakukan "aktiviti penerbangan rutin" dan tidak menceroboh ruang udara Malaysia.

Di Chongqing pada Isnin, Malaysia memberitahu China bahawa ia "membantah kehadiran aset-aset ketenteraan negara luar yang melanggar kebebasan pelayaran dan penerbangan di ruang udara/melintasi ruang udara mengikut undang-undang antarabangsa, serta tanpa persetujuan awal daripada Kerajaan Malaysia."

Pada April, Vietnam membantah tindakan China mengeluarkan larangan menangkap ikan di Laut China Selatan, lapor Radio Free Asia yang merupakan entiti BenarNews, pada ketka itu.

Vietnam berkata larangan itu melanggar kedaulatannya di Kepulauan Paracel, UNCLOS dan Deklarasi Tata Laku di Laut China Selatan yang dipersetujui pada 2003.

Di tempat lain di rantau maritim itu, Beijing dan Manila berdepan ketegangan sejak Mac apabila Filipina berkata ia mengesan lebih 200 kapal yang dikendalikan oleh militia maritim China di Terumbu Whitsun dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina.

Beijing mendakwa bahawa terumbu itu adalah sebahagian daripada "Kepulauan Nansha" - nama yang diberikan China untuk Kepulauan Spratly.

Sejak itu, China terus berada di perairan Filipina yang mendorong Manila untuk mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada Beijing setiap hari sejak April dan sehinggalah minggu lalu.

Pendirian China terhadap Myanmar

Mesyuarat ASEAN-China di Chongqing, yang terletak di barat daya China, turut dihadiri Wunna Maung Lwin, menteri luar negeri yang dilantik oleh junta Myanmar selepas pihak tentera menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada 1 Februari.

Wang mengadakan pertemuan dengan Wunna Maung Lwin pada Selasa dan memberitahunya bahawa "China akan sentiasa menyokong Myanmar dalam memilih laluan pembangunan yang paling sesuai dengan keadaan negara itu," menurut laporan CGTN iaiatu laman web kendalian kerajaan China.

Wang juga memberitahu Wunna Maung Lwin bahawa "dasar persahabatan Beijing tidak akan terjejas berikutan perubahan yang berlaku di dalam dan luar Myanmar," lapor CGTN.

Pada mesyuarat Isnin itu, Singapura, Malaysia dan Indonesia menyuarakan bahawa mereka kecewa dengan kurangnya perkembangan dalam pelaksanaan konsensus lima perkara ASEAN mengenai Myanmar.

Konsensus itu - yang turut dipersetujui oleh ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing pada sidang kemuncak khas para pemimpin ASEAN di Jakarta pada penghujung April lalu - merangkumi gesaan supaya dihentikan segera keganasan, mengadakan dialog yang melibatkan semua pihak di negara itu dan pelantikan utusan khas badan serantau itu ke Myanmar. Pihak tentera dilihat langsung tidak mengendahkan konsensus yang dipersetujui itu.

Wakil Myanmar itu membalas komen negara anggota ASEAN tersebut melalui media kerajaan Myanmar dengan menyatakan bahawa pihak junta komited kepada rancangan lima perkara – tetapi bukannya rancangan lima perkara ASEAN sebaliknya "program masa depan lima perkara" pihak tentera itu yang diisytiharkan pada Februari selepas melakukan rampasan kuasa.

Program itu, kata Wunna Maung Lwin, adalah "satu-satunya cara untuk memastikan sistem demokrasi yang berdisiplin dan asli" serta akan "meneliti penipuan dalam pilihan raya," lapor The New New Light of Myanmar, sebuah penerbitan negara itu.

Tentera Myanmar mendakwa bahawa pilihan raya umum pada November 2020, yang dimenangi oleh parti pemimpin awam Aung San Suu Kyi, telah dicemari dengan penipuan.

Wang membuat kenyataan itu sehari selepas Indonesia berkata bahawa bantuan China amat penting dalam melaksanakan konsensus lima perkara ASEAN di Myanmar.

Menteri Luar China pada Selasa menyatakan bahawa Beijing menyokong ASEAN dalam "memainkan peranan konstruktif untuk menangani masalah domestik Myanmar dengan sewajarnya."

Beliau juga berkata bahawa China mendukung "pelaksanaan secara berperingkat konsensus lima perkara itu" dan mendesak semua negara untuk "mengelak sekatan unilateral dan campur tangan yang tidak wajar" di Myanmar.

Kritikan NUG

Semasa lawatan ke Naypyidaw pada hujung minggu lalu, para pegawai tinggi ASEAN bertemu dengan ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing, tetapi tidak dengan kerajaan bayangan yang dianggotai oleh bekas ahli parlimen terpilih.

Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) awam Myanmar itu mengkritik China dan ASEAN kerana turut mengetepikan perwakilannya pada mesyuarat di Chongqing.

"China dan ASEAN gagal menjemput NUG pada Mesyuarat Menteri Luar Negeri China-ASEAN dan Mesyuarat Ulang Tahun Ke-30," kata Menteri Luar Negeri NUG Zin Mar Aung pada Isnin dalam satu surat terbuka yang disiarkan di laman Facebook.

"Kementerian Luar Negeri dan kementerian-kementerian lain NUG berharap dapat mengambil bahagian dalam perbincangan positif secara bilateral atau multilateral."

Penganalisis politik berkata China boleh memainkan peranan dalam memulihkan keamanan dan demokrasi di Myanmar.

Thein Tun Oo dari Institut Kajian Strategik Thayningha berkata tidak ada tekanan antarabangsa yang secukupnya selepas rampasan kuasa dilakukan pihak junta.

"Sekarang kita melihat adanya keinginan untuk bekerjasama bagi mencari penyelesaian politik. Oleh itu, saya percaya kita akan melihat hasil yang positif bagi Myanmar daripada mesyuarat China-ASEAN di Chongqing,” kata Thein Tun Oo kepada Perkhidmatan Myanmar RFA.

Seorang lagi penganalisis, Than Soe Naing berkata China nampaknya tidak bersedia untuk menangani krisis Myanmar.

China "mengelak daripada menangani masalah ini tetapi memindahkan beban itu kepada ASEAN," kata Than Soe Naing kepada RFA.

"Daripada mencari penyelesaian bagi masalah ini, apa yang kita lihat sekarang adalah kedua-dua pihak nampaknya seperti menggalakkan tindakan rampasan kuasa itu dan bersedia memberikan pengiktirafan rasmi kepada majlis tentera dan mahu terus bergerak ke hadapan."

Jason Gutierrez di Manila, Ahmad Syamsudin di Jakarta, dan Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh