Brunei dan Malaysia: Pemimpin ASEAN Akan Bertemu di Jakarta Bincang Krisis Myanmar

Bagaimanapun belum ada tarikh ditetapkan untuk mesyuarat khas itu.
Muzliza Mustafa & Ronna Nirmala
Kuala Lumpur & Jakarta
2021-04-05
Share
Brunei dan Malaysia: Pemimpin ASEAN Akan Bertemu di Jakarta Bincang Krisis Myanmar Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein (kiri) bertemu dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (dua dari kanan) dan anaknya Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, 5 April 2021.
[Laman Facebook Hishammuddin Hussein]

Selepas mengadakan perbincangan panjang lebar, Brunei dan Malaysia pada Isnin bersetuju supaya pemimpin ASEAN bertemu di Jakarta bagi membincangkan krisis di Myanmar namun tidak menyatakan bila ianya akan diadakan.

Mesyuarat khas peringkat tinggi 10 anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu akan berlangsung di ibu pejabat ASEAN di ibu kota Indonesia, demikian menurut kata sepakat yang dicapai oleh pemimpin Malaysia dan Brunei selepas mesyuarat dua hala di Bandar Seri Begawan pada Isnin, beberapa hari selepas China menyatakan sokongan terhadap langkah itu.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju supaya pemimpin ASEAN bertemu bagi membincangkan perkembangan di Myanmar dan menugaskan menteri serta pegawai kanan masing-masing untuk melakukan persiapan yang perlu bagi mesyuarat yang akan diadakan di Sekretariat ASEAN di Jakarta, Indonesia,” menurut kenyataan bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan Brunei yang menjadi pengerusi blok serantau itu tahun ini.

Merujuk situasi pasca rampasan kuasa di Myanmar, kedua-dua pemimpin “menggesa agar semua pihak tidak membangkitkan lagi keganasan dan mengawal keadaan serta fleksibel.”

BeritaBenar menghubungi beberapa perwakilan di Sekretariat ASEAN namun mereka enggan mengulas. Seorang jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata pertemuan itu “masih dalam perbincangan” tanpa mengesahkan bahawa ia akan diadakan. Jurucakap itu memohon dirujuk soalan lanjut kepada Brunei.

Pada 19 Mac, Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menggesa agar satu mesyuarat tergempar pemimpin ASEAN diadakan bagi membincangkan situasi di Myanmar.

Setakat Isnin, sekurang-kurangnya 570 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan di seluruh Myanmar sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik pada 1 Feb lepas, menurut maklumat yang dimuat naik secara online oleh Persatuan Bantuan Untuk Tahanan Politik (Burma), yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Situasi di negara itu menjadi bertambah ganas dan tegang sejak 27 Mac apabila puak junta tentera membunuh sekurang-kurangnya 114 penunjuk perasaan dalam tempoh sehari yang disifatkan sebagai peristiwa berdarah paling kejam pasca rampasan kuasa.

ASEAN telah menerima pelbagai kritikan kerana gagal mencapai konsensus mengenai cara menangani puak junta tentera di Myanmar yang merupakan negara anggota blok serantau itu.

Mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 2 Mac gagal mencapai kata sepakat untuk menggesa pembebasan Suu Kyi dan pemimpin lain Myanmar yang dipilih secara demokratik yang telah ditahan oleh tentera. Pengkritik berkata prinsip asas ASEAN iaitu dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal domestik negara anggota telah menjadi penghalang.

Minggu lepas, China dan Rusia menyokong gesaan agar pemimpin ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu Myanmar. Selain Myanmar, China mempunyai hubungan yang amat baik dengan anggota ASEAN lain seperti Kemboja, Laos dan Thailand.

Setakat ini, Beijing mengambil pendirian berdiam diri terhadap rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar dan keganasan yang berlaku di negara tersebut selepas itu. Negara kuasa besar Asia itu hanya menggesa ke arah kestabilan berbanding negara-negara Barat yang mengutuk penggulingan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik serta keganasan yang berlaku selepas itu.

“Jika pertemuan ini gagal diadakan, ASEAN sebagai satu komuniti adalah kurang relevan. Kita berharap Myanmar tidak akan diwakili oleh junta tentera dalam mesyuarat itu, jika tidak ia mungkin menemui jalan buntu,” kata Dinna Prapto Raharja, seorang penganalisis hubungan antarabangsa di Synergy Policies, sebuah badan pemikir di Jakarta, kepada BeritaBenar.

Mesyuarat khas diplomat tinggi rantau itu bulan lepas turut membabitkan Menteri Luar yang dilantik tentera Burma, Wunna Maung Lwin, yang ‘memaklumkan mesyuarat itu mengenai penipuan undi’ dalam pilihan raya yang berlangsung pada November, lapor Reuters yang memetik media rasmi Myanmar.

Pihak tentera mendakwa berlaku penipuan undi pada pilihan raya umum 8 Nov tahun lepas yang menyaksikan kemenangan besar Aung San Suu Kyi daripada Liga Nasional untuk Demokrasi, menurut pihak berkuasa pengundian.

Sebelum mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN berlangsung, diplomat tinggi Indonesia Retno Marsudi bertemu Wunna Maung Lwin dan Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai di Bangkok pada 24 Feb.

Retno berkata beliau telah memberitahu Wunna Maung Lwin bahawa “kehendak rakyat Myanmar perlu didengar” dan beliau menggesa agar “satu proses peralihan demokratik yang inklusif” dilaksanakan.

Pada pertemuan khas itu, Indonesia sepatutnya menegaskan keperluan gencatan senjata dan menghentikan keganasan, kata Dinna.

“Selepas itu, ASEAN perlu menjadi pengantara rundingan antara junta tentera Myanmar dan pemimpin awam bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan yang boleh diterima oleh semua pihak, dengan mengambil kira Myanmar adalah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik dan agama,” katanya.

Khabar dari sempadan Thailand-Myanmar

Sementara itu, satu kenyataan bersama lebih 200 individu dan 56 persatuan hak asasi Thailand menggesa kerajaan negara itu memberikan perlindungan kepada golongan tersingkir yang melarikan diri ke Thailand susulan serangan tentera di negara jiran Karen.

Serangan udara Burma pada 27 Mac telah menyasarkan kampung yang berada di bawah kawalan pemberontak Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU).

Pada Jumaat, Thailand berkata ia akan memberikan bantuan kemanusiaan kepada lebih 1,000 orang yang menyeberangi sempadan dari Myanmar ke negara itu minggu lepas.

“Negara [Thailand] tidak seharusnya menolak permohonan untuk mendapatkan suaka. Pasukan keselamatan perlu membenarkan pencari suaka yang melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan… berada di Thailand sebagai mematuhi prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Friends Without Borders Foundation, sebuah NGO di Thailand.

“Jika berlaku kebanjiran orang tersingkir dari kawasan yang berdepan penganiayaan, Thailand hendaklah memberikan akses kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk bertemu dengan mereka agar agensi itu boleh melakukan saringan dalam usaha memberikan perlindungan.”

Satu kumpulan Myanmar yang membantu penduduk dari negeri Shan, yang juga terletak di sempadan Thailand, meluahkan kebimbangan pada Jumaat mengenai keselamatan beribu-ribu pelarian domestik (IDP) yang ditempatkan di beberapa kem.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Negeri Shan, pihak tentera telah mengumumkan bahawa ia akan “mula menyerang kawasan sempadan yang diduduki Majlis Pemulihan Negara Shan/Tentera Negeri Shan (RCSS/SSA),” menurut NGO itu dalam satu kenyataan.

Seperti KNU, RCSS/SSA juga adalah sebuah pergerakan bersenjata pejuang etnik.

Nontarat Phaicharoen turut menyumbang kepada laporan ini dari Bangkok.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh