Memahami rentak negara ASEAN bentuk dasar Laut China Selatan dengan China

Negara-negara Asia Tenggara berusaha kekalkan hubungan dengan China sambil bertegas lindungi kedaulatan maritim masing-masing.
RFA dan staf BenarNews
2025.02.21
Memahami rentak negara ASEAN bentuk dasar Laut China Selatan dengan China Pesawat tentera laut Indonesia terbang melintasi armada kapal perang semasa latihan Multilateral Komodo 2023 dengan penyertaan tentera laut dari lebih 30 negara di Indonesia, 8 Jun 2023.
[Eric Ireng/AP]

Ketegangan antara Filipina dan China di perairan Laut China Selatan semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa pada 2025 selepas ia meningkat dengan mendadak tahun lalu.

Beberapa anggota ASEAN yang lain pula berusaha mengekalkan hubungan baik dengan jiran besar mereka di utara di mana pengaruh ekonomi dan politiknya semakin berkembang, sambil tetap melindungi kepentingan mereka di perairan yang dipertikaikan itu.

Wartawan RFA dan BenarNews melihat bagaimana tiga negara di Laut China Selatan mendekati hubungan dengan China.

INDONESIA: Keterbukaan semakin meningkat terhadap China

Pada November 2024, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengejutkan pemerhati Laut China Selatan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di China dalam lawatan pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai presiden.

Dalam baris kenyataan yang kelihatan tidak berbahaya itu menyatakan bahawa Jakarta dan Beijing telah mencapai "persefahaman yang penting membabitkan pembangunan bersama di kawasan tuntutan bertindih" di Laut China Selatan.

Namun penganalisis dengan pantas menunjukkan bahawa dengan mengakui sempadan maritim yang bertindih, Prabowo dan pegawai-pegawainya secara tidak langsung mengesahkan kesahihan tuntutan China – sesuatu yang Indonesia tidak pernah lakukan sebelum ini.

Indonesia sebelum ini bertegas bahawa "sembilan garis putus-putus" yang digunakan China dalam peta mereka untuk menuntut hak sejarah sebahagian besar perairan Laut China Selatan tidak mempunyai asas undang-undang seperti yang dinyatakan dalam nota kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mei 2020.

Indonesia kemudian menyedari kesilapan itu sebelum mengeluarkan kenyataan pembetulan dua hari kemudian, menyatakan bahawa pengiktirafan terhadap perbezaan dan pertikaian tidak bermaksud menerima kesahihan tuntutan wilayah China.

Menurut Muhammad Waffaa Kharisma, penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Jakarta, terdapat "peralihan ke arah hubungan lebih rapat yang boleh mengurangkan ketegasan Jakarta membabitkan isu Laut China Selatan di bawah Presiden Prabowo."

China merupakan rakan dagangan terbesar Indonesia dan menjadi salah satu sumber utama pelaburan langsung asing dan hubungan ekonomi yang kian berkembang menjadi faktor utama untuk Jakarta membuat keputusan.

Pada tahun ini, Indonesia menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menyertai blok BRICS diketuai oleh China.

ASEANCHINA-2.png
Presiden Indonesia Prabowo Subianto (kanan) bersama Presiden China Xi Jinping di Beijing, 9 November 2024. [Ihsan Kementerian Luar China]

Raden Mokhamad Luthfi, penganalisis pertahanan di Universiti Al Azhar Indonesia berkata terdapat keterbukaan yang semakin meningkat terhadap China, bukan sahaja dalam perdagangan dan pelaburan malah melibatkan kerjasama keselamatan.

Peranan dominan Prabowo dalam dasar luar kelihatan telah mengenepikan Kementerian Luar Indonesia, katanya.

"Saya bimbang di bawah kepimpinan Prabowo, diplomat Indonesia mungkin mempunyai ruang yang terhad untuk memberi input dan panduan dalam membentuk dasar luar negara," kata Luthfi.

Waffaa turut menekankan bahawa "Indonesia semakin mengamalkan penapisan kendiri apabila berurusan dengan China."

"Salah satu kemungkinan sebabnya ialah pendekatan diplomatik proaktif China termasuk tindak balas yang kuat, atau memberi maklum balas terhadap kritikan," katanya.

"Ini menyebabkan Indonesia lebih berhati-hati, mungkin kerana bimbang ia memberikan kesan ekonomi, sehingga ia sukar untuk menyuarakan kebimbangan secara terbuka mengenai kedaulatan dan undang-undang antarabangsa."

Indonesia yang merupakan anggota pengasas ASEAN dan sering memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis serantau.

Penganalisis memberikan amaran, Indonesia mungkin kehilangan kepimpinan dalam isu Laut China Selatan jika ia berhenti memperjuangkan norma undang-undang antarabangsa.

ASEANCHINA-3.png
Anggota tentera laut Indonesia menyambut ketibaan kapal HMS Spey milik Tentera Laut Diraja Britain di Jakarta, 15 Januari 2025. [Bay Ismoyo/AFP]

Indonesia berkali-kali menegaskan bahawa negara itu tidak bersikap berpihak dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Namun agensi penguatkuasaan undang-undangnya telah berdepan dengan pencerobohan dan aktiviti penangkapan ikan secara haram termasuk oleh kapal-kapal China di perairan sekitar kepulauan Natuna, milik Indonesia.

Persoalan utama sekarang adakah hubungan yang semakin mesra antara China dan Indonesia mampu menghalang pencerobohan tersebut?

MALAYSIA: Menyelaras keutamaan dengan China

Pemimpin Malaysia sentiasa melihat China sebagai jiran dan rakan penting dengan hubungan yang kompleks.

Kedua-dua negara membentuk perkongsian komprehensif pada 2013 dan China merupakan rakan dagang utama Malaysia, dengan nilai perdagangan lebih daripada AS$200 bilion pada 2022.

Sebagai perbandingan, perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat bernilai AS$73 bilion pada tahun yang sama.

Sejak memegang jawatan pada 2022, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa menjalin hubungan baik dengan China merupakan salah satu keutamaannya.

Dalam isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan, dasar Malaysia selama ini adalah melindungi kedaulatan melalui undang-undang antarabangsa.

ASEANCHINA-4.png
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ekonomi Dunia di Switzerland, 22 Januari 2025. [Yves Herman/Reuters]

Malaysia tidak pernah mengiktiraf "sembilan garis putus-putus" China dan pernah mengarahkan pemotongan adegan daripada filem animasi yang memaparkannya.

Namun, beberapa kenyataan Anwar menimbulkan kontroversi.

Pada Mac 2024, dalam satu ucapan di Universiti Nasional Australia di Canberra, Anwar berkata negara-negara perlu memahami perspektif China dan tindakan untuk menyekat kemajuan ekonomi serta teknologinya hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati.

Pada November, selepas bertemu Presiden China Xi Jinping di Beijing, Anwar berkata Malaysia "bersedia untuk berunding" mengenai Laut China Selatan dengan mencadangkan rundingan dua hala mengenai tuntutan bertindih di perairan sekitar Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur.

Dalam Forum Ekonomi Dunia di Switzerland pada Januari, sekali lagi Anwar menyatakan bahawa China tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya atas ketegangan di Laut China Selatan sekali gus menunjukkan nada yang jelas berpihak kepada Beijing.

"Keinginan Malaysia untuk mengecualikan negara lain seperti Australia, Jepun dan Amerika Syarikat daripada pertikaian Laut China Selatan sejajar dengan keutamaan China," kata Euan Graham, penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik Australia.

"Ia juga membantu usaha di sebalik tabir China untuk mempengaruhi perundingan kod tatalaku di Laut China Selatan dengan ASEAN."

Namun, beberapa penganalisis berkata bahawa pentadbiran Anwar, walaupun dikritik kerana kelihatan pro-Beijing, masih belum berkompromi dengan tuntutan Malaysia di Laut China Selatan.

China dan ASEAN telah membincangkan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan selama bertahun-tahun lamanya namun masih belum mencapai persetujuan akhir.

Dalam pertemuannya dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Brunei pada minggu lalu, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju bahawa pertikaian di Laut China Selatan perlu mempunyai kemajuan diplomatik lebih meluas secara multilateral, dengan aspirasi agar rundingan kod tatalaku itu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya percaya Malaysia lebih cenderung untuk menyelesaikan isu ini melibatkan pemegang taruh melalui dialog dan libat urus tanpa campur tangan pihak luar," kata Lee Peu May, profesor madya di Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Sekiranya kuasa luar campur tangan, saya percaya situasinya akan menjadi huru-hara," kata Lee.

"Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom dan kuasa lain tidak terlibat secara langsung dalam pertikaian itu, jadi mereka dianggap sebagai kuasa luar."

AS dan sekutu serantaunya berhujah bahawa mereka juga merupakan negara Pasifik dan mempunyai kepentingan dalam Indo-Pasifik yang terbuka dan bebas.

"Malaysia telah mengambil pendekatan berbeza terhadap isu pertikaian Laut China Selatan berbanding Vietnam dan Filipina," kata Ian Storey, felo kanan Institut ISEAS-Yusuf Ishak, Singapura.

"Dasar pentadbiran Anwar mahu Malaysia meneruskan hubungan baik dengan China tetapi dalam masa sama bertegas soal tuntutan wilayah dan melindungi hak kedaulatan negara."

ASEANCHINA-5.png
Kapal KD Terengganu milik tentera laut Malaysia menyertai latihan AMAN-25 di luar pesisir kota pelabuhan Karachi, Pakistan, 10 Februari 2025. [Asif Hassan/AFP]

VIETNAM: Hubungan mesra tapi wujud ketidakpercayaan

Pada 19 Februari, Beijing buat pertama kali secara rasmi dan terbuka mengecam aktiviti pembinaan pulau Vietnam di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun berkata China menentang pembinaan di "pulau dan terumbu karang yang diduduki secara haram," merujuk kepada ciri-ciri yang Vietnam mula menambak sejak 2020-an.

Bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa Vietnam mahu mengukuhkan pertahanannya dalam berdepan dominasi China di Kepulauan Spratly dan aktiviti penambakan tersebut mendapat sokongan kuat daripada rakyat Vietnam sebagai tanda penolakan terhadap kompromi berkaitan kedaulatan.

"Jika kita mendengar ucapan pemimpin kedua-dua pihak, hubungan Vietnam-China kelihatan mesra dan berkembang baik," kata Dinh Kim Phuc, seorang penyelidik mengenai Laut China Selatan.

"Namun, tindakan Vietnam di Laut China Selatan menunjukkan mereka sebenarnya tidak begitu mempercayai satu sama lain."

Dengan bantahan awam pertama China terhadap pembinaan pulau buatan Vietnam itu, nampaknya "persefahaman tidak rasmi" antara kedua-dua negara telah berakhir, menurut Bill Hayton, seorang felo bersekutu di badan pemikir British, Chatham House.

Selama ini kompromi secara senyap ini berlangsung selama tempoh beberapa tahun dengan Vietnam tidak menjalankan aktiviti cari gali minyak dan gas dalam kawasan yang dituntut China melalui garis sembilan putus-putus dan China pula tidak membantah aktiviti pembinaan pulau buatan oleh Vietnam, kata Hayton.

Terdapat beberapa kemungkinan mengapa China membuat bantahan tetapi para penganalisis percaya bahawa hubungan yang semakin erat Vietnam dan Amerika Syarikat menjadi faktor utama.

Melihat kepada lawatan pemimpin Vietnam ke luar negara, termasuk Ketua Parti Komunis yang baharu, To Lam, Vietnam juga dilihat lebih menekankan nilai ASEAN dan Barat dalam pemikiran strategiknya, menurut Phuc.

Vietnam dilaporkan mahu meningkatkan hubungan intra ASEAN seperti Indonesia dan Singapura ke tahap "perkongsian strategik komprehensif" iaitu tahap tertinggi dalam hubungan dua hala pada tahun ini.

Namun, langkah itu tidak bermakna pemisahan daripada China akan berlaku dalam masa terdekat, kata penganalisis memandang ekonomi Vietnam sangat bergantung kepada perdagangan dan pelaburan dari China.

ASEANCHINA-6.png
Sebuah kapal pembekal menyemburkan air berhampiran pelantar gas Lan Tay yang dikendalikan oleh syarikat Rosneft Vietnam di Laut China Selatan di luar pesisir perairan Vietnam, 29 April 2018. [Maxim Shemetov/Reuters]

Pada hari yang sama China mengkritik "pendudukan haram" Vietnam di Laut China Selatan, parlimen Vietnam meluluskan projek kereta api bernilai berbilion dolar yang menghubungkan sempadan China ke Laut China Selatan.

Sebahagian daripada dana dijangka datang dari China, walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat mengenai risiko kemungkinan negara itu berdepan beban hutang.

Isyarat oleh Setiausaha Agung To dan pemimpin lain yang kelihatan “pro-Barat” atau “anti-China” dianggap sebagai sekadar tindakan populis, kata Dang Dinh Manh, seorang peguam pembangkang Vietnam yang kini menetap di AS.

“Mereka perlu menenangkan rakyat, yang semakin bersikap nasionalistik,” kata Manh, sambil menambah bahawa kepimpinan Hanoi juga perlu menenangkan China.

Menyeimbangkan kedua-dua kepentingan ini adalah satu tugas yang sukar, terutamanya dalam isu kedaulatan di Laut China Selatan.

Pizaro Gozali di Jakarta dan Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada artikel ini.

Radio Free Asia merupakan perkhidmatan berita dalam talian yang bersekutu dengan BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.