ASEAN Setuju Kerjasama Anti-Keganasan, Garis Panduan Pertembungan Udara

Dennis Jay Santos & Ahmad Syamsudin
2018.10.22
Davao, Philippines & Jakarta
181022-PH-sailors-1000.jpg Anggota Tentera Laut Filipina melambai dari kapal yang berlabuh di BRP Dagupan City semasa majlis meraikan kapal itu, yang akan mengambil bahagian dalam latihan maritim pertama melibatkan anggota tentera laut negara-negara ASEAN – China di Sangley Point, barat Manila, 17 Okt, 2018.
[AP]

Blok ASEAN dan rakan dialognya menamatkan perbicangan pertahanan di Singapura pada hujung minggu dengan bersetuju untuk menetapkan garis panduan sekiranya pertembungan di udara yang tidak dirancang terjadi, dan juga bagi meningkatkan kerjasama untuk melawan keganasan, kata pegawai pada Isnin.

Pada hari yang sama juga, kira-kira 1,000 anggota tentera laut dari negara-negara pertubuhan Asia Tenggara itu memulakan latihan maritim pertama mereka dengan tentera China di perairan di kawasan yang jauh daripada kawasan pertikaian di Laut China Selatan, demikian menurut laporan media.

Semasa pertemuan di Singapura yang berakhir pada Sabtu, blok serantau 10 negara itu telah mengamalkan inisiatif Indonesia yang dinamakan "Our Eyes," platform untuk berkongsi perisikan dalam menentang keganasan di Asia Tenggara, menurut kementerian pertahanan Indonesia.

"Hari ini, rantau ini mengiktiraf kerjasama antarabangsa, terutamanya dari segi pertukaran dan perkongsian maklumat,dan ini adalah elemen penting untuk memerangi keganasan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

"Peningkatan ancaman dari nukleus IS (iaitu kumpulan pengganas Negara Islam) di Filipina, bersama-sama dengan ancaman pejuang asing yang kembali dari kawasan perang di Timur Tengah, Afrika dan Asia memerlukan negara serantau untuk bekerjasama dari segi pertahanan, ketenteraan, penguatkuasaan undang-undang dan perisikan – usaha-usaha ini kini menjadi jauh lebih penting daripada sebelumnya," menurut kenyataan itu.

Amerika Syarikat, New Zealand dan Jepun telahpun menyatakan minat secara rasmi untuk menyertai inisiatif "Our Eyes", dan turut memberi jaminan untuk membantu usaha itu.

Kementerian Luar Indonesia berkata inisiatif berkenaan bertujuan untuk "merevolusikan" usaha melawan keganasan oleh negara-negara Asia Tenggara. Kerjasama itu dibayangkan boleh meningkatkan usaha perisikan, dan menyekat perekrutan militan.

Sehingga kini, rondaan bersama yang melibatkan angkatan laut Filipina dan Indonesia telah berjaya mengurangkan ancaman keganasan di rantau itu, kata kementerian tersebut.

"Pasti ada cabaran apabila bekerjasama, tetapi keinginan pemimpin untuk mengatasi halangan-halangan tradisional dan memperkuatkan kerjasama antarabangsa boleh mengubah usaha melawan keganasan di Asia, seperti mencegah insiden seperti di Marawi daripada berlaku," kata kenyataan itu.

Tahun lepas, militan pro-IS yang diketuai oleh Filipina Isnilon Hapilon mengepung bandar Marawi di selatan Filipina, yang melibatkan pertempuran selama lima bulan sehingga menyebabkan kira-kira 1,200 orang mati, kebanyakannya pihak militan.

Berdepan dengan kumpulan pengganas yang bersenjata, Presiden Filipina Rodrigo Duterte meminta bantuan Amerika Syarikat dan Australia, yang menyediakan data risikan yang memainkan peranan penting dalam mengakhiri pertempuran di Marawi itu. Kemenangan kerajaan Filipina dengan bantuan sekutunya berjaya menamatkan pertempuran tersebut pada 23 Okt, 2017.

Tetapi puluhan anggota militan berjaya melarikan diri dari bandar itu dan, menurut pegawai perisikan Filipina, mereka telah merekrut pejuang muda di daerah terpencil di selatan.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat James Mattis (tengah) menghadiri Pertemuan Menteri Pertahanan ASEAN ke-5 semasa Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Singapura, 20 Oktober, 2018. [AFP]

Garis panduan

Di Singapura, menteri-menteri pertahanan ASEAN serta rakan sejawat mereka dari negara lain telah bersetuju pada dasarnya untuk melancarkan inisiatif tersebut sebagai “garis panduan dalam menangani konflik ketenteraan di udara", satu inisiatif yang pertama di dunia, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu.

Semua negara yang hadhir "bersetuju untuk meneroka secara kolektif" garis panduan tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan penerbangan "memandangkan kesesakan udara," kata kenyataan itu.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Jim Mattis dan rakan sejawatnya dari China, Jeneral Wei Fenghe, adalah antara lapan ketua pertahanan dari luar ASEAN yang menyokong garis panduan "secara prinsipnya", menurut kenyataan bersama Asean.

Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Singapura, berkata garis panduan baru itu bertujuan untuk menghalang peningkatan konfrontasi di Laut China Selatan.

"Mungkin ada seorang juruterbang dengan ego besar yang mematikan semuanya (alat dalam pesawat) dan membuat keputusan untuk mencabar,'" kata Eng kepada wartawan, demikian menurut Agence France-Presse. "Satu bencana pasti akan berlaku."

Perjanjian itu adalah usaha terbaharu untuk menghindari konfrontasi ketenteraan di Laut China Selatan, di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan Beijing menunjukkan ketegasannnya di rantau itu.

Sebelum ini, China telah bersetuju bersama ASEAN dengan satu draf "Kod Tatalaku" untuk menangani tindakan (ketenteraan) di rantau itu, yang dianggap sebagai perkembangan positif oleh orang ramai pihak, walaupun usaha ketenteraan oleh Beijing berlaku di perairan tersebut, di mana China dan beberapa negara lain sedang menuntut hak ke atas kawasan tersebut.

Perkembangan tersebut membimbangkan Amerika Syarikat, yang baru-baru ini telah melancarkan kebebasan untuk penerbangan dan belayar di Laut China Selatan, di mana perdagangan yang berjumlah lebih daripada AS$5 trilion melalui perairan tersebut setiap tahun.

Latihan bersama

Sementara itu, pada Sabtu, China memulakan latihan tiga hala selama 10 hari bersama Thailand dan Malaysia di perairan Selat Melaka iaitu pertama kali ketiga-tiga negara tersebut mengadakan latihan ketenteraan secara bersama di pintu masuk ke perairan Lautan Hindi.

Peserta Malaysia dalam latihan pada Isnin itu telah menunjukkan kemahiran hidup dan berkongsi pengalaman memerangkap haiwan liar. Peserta juga menjalani latihan penembak jarak jauh, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia,

Selat Melaka adalah titik pertemuan antara perairan Lautan Pasifik selatan dan Lautan Hindi. Seorang pegawai Indonesia dari Sumatera yang bersempadan dengan Selat Melaka, berkata pihak negara itu telah dimaklumkan mengenai latihan tiga hala tersebut.

Pada hari yang sama juga, Tentera Laut Singapura telah menjadi hos bersama Tentera Laut China dalam latihan tentera laut yang pertama melibatkan Beijing dan kesemua anggota ASEAN yang bermula di bandar pelabuhan Zhanjiang, di wilayah Gungdong, China, demikian menurut laporan.

Latihan di perairan China selama enam hari tu akan berakhir pada 27 Oktober, melibatkan lebih daripada 1,000 anggota tentera laut China dan angkatan laut dari semua negara ASEAN, kata Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu kenyataan.

Latihan itu akan "meningkatkan persahabatan dan keyakinan antara angkatan laut negara anggota ASEAN, China dan Tentera Laut AS," kata para menteri pertahanan ASEAN dalam satu kenyataan bersama, menurut Associated Press.

 

Zam Yusa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.