Penganalisis: Isu Myanmar, Laut China Selatan Dibincangkan Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China

Para pakar melihat tiadanya sebarang perkembangan besar walaupun China melakukan pencerobohan di perairan negara-negara Asia Tenggara yang turut menuntut Laut China Selatan.
Shailaja Neelakantan
Washington
2021-11-18
Share
Penganalisis: Isu Myanmar, Laut China Selatan Dibincangkan Pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc berucap pada sidang kemuncak ASEAN-China, yang diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19, di Hanoi, 12 Nov. 2020.
[AFP]

Isu pasca rampasan kuasa di Myanmar, pertikaian Laut China Selatan dan tindak balas kepada pakatan pertahanan baharu yang diterajui Amerika Syarikat bakal menjadi perbincangan utama pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China minggu depan sempena ulang tahun ke-30 tahun hubungan dua hala, kata penganalisis politik.

Namun, hasrat China mendapatkan pelaksanaan Kod Tata Laku bagi negara-negara di Laut China Selatan mungkin tidak kesampaian pada sidang kemuncak 22 November itu, dengan negara-negara Asia Tenggara berusaha menangani tindakan Beijing yang semakin meluas termasuk pengerahan tenteranya di perairan yang menjadi pertikaikan itu.

Perdana Menteri China Xi Jinping dan para pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara dijangka menghadiri mesyuarat itu, yang akan dianjurkan bersama oleh badan serantau itu dan Beijing. Ia akan menjadi pertemuan dua hala mereka yang kedua pada tahun ini dan yang pertama sejak ASEAN meningkatkan hubungan dengan Beijing dan Australia.

"AUKUS dan Myanmar serta Laut China Selatan ... adalah antara perkara yang akan menjadi tumpuan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China," kata James Chin, pakar mengenai Asia Tenggara di Universiti Tasmania, kepada BenarNews.

"Ia akan menjadi peluang bagi China untuk cuba menggunakan AUKUS bagi meningkatkan lagi pengaruhnya mengatasi Barat."

Di bawah pakatan baharu tiga negara, Amerika Syarikat dan United Kingdom akan membantu Australia membina kapal selam berkuasa nuklear dalam usaha menentang pengaruh dan perluasan ketenteraan China di Indo-Pasifik.

Sidang kemuncak ASEAN-China biasanya tertumpu kepada "perkara yang tidak begitu sensitif seperti perdagangan dan pelaburan," kata Muhammad Zulfikar Rakhmat, pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti Islam Indonesia, kepada BenarNews.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Tanee Sangrat membayangkan bahawa isu-isu sensitif tidak akan dibincangkan.

“Mesyuarat itu akan menekankan kepada tiga dekad hubungan mesra yang terjalin serta menyokong peranan konstruktif China, yang menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata Tanee kepada BenarNews melalui pesanan teks.

Tetapi, menurut Rakhmat, "perkembangan geopolitik terkini bermakna sidang kemuncak ASEAN-China tahun ini mungkin membincangkan isu politik dan keselamatan."

AUKUS merupakan satu daripada perkembangan geopolitik besar yang dibantah Beijing, dengan menyatakan ia boleh mengancam kestabilan di Asia Tenggara.

China mahu negara-negara anggota ASEAN memihak kepadanya, tetapi negara-negara anggota badan serantau itu tidak sependapat mengenai AUKUS, yang tidak memenuhi kepentingan Beijing, kata Henrick Tsjeng, ahli akademik mengenai pengajian antarabangsa di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura.

“Ini bermakna, dari perspektif Beijing, sebahagian daripada Asia Tenggara berpotensi digunakan oleh AS untuk menentang pengaruh serantau China," katanya kepada BenarNews.

Sebaliknya, ASEAN yang berpecah belah "boleh membantu China dengan memastikan bahawa ASEAN tidak dapat membentuk blok yang teguh untuk bertindak bertentangan dengan kepentingan Beijing di rantau ini," tambahnya lagi.

Beijing menggunakan 'dorongan kewangan'

Sepanjang 30 tahun menjalin hubungan dua hala, ASEAN dan China mempunyai "hubungan yang sangat tidak simetri" dan ini khususnya dapat dilihat dalam isu-isu yang berkaitan dengan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, kata Hunter Marston, ahli akademik mengenai hubungan antarabangsa di Universiti Nasional Australia.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif empat negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam.

"Beijing mendapati adanya manfaat untuk melibatkan ASEAN bagi memajukan cita-cita serantaunya terutamanya dengan memecah belah negara-negara yang tidak bersetuju dengan pertikaian geostrategik seperti Laut China Selatan," kata Marston kepada BenarNews.

“Beijing menggunakan dorongan kewangan dan langkah punitif untuk menentukan norma tingkah laku yang diingininya di negara-negara yang lebih kecil. Sebagai contoh, China telah menghentikan import pisang Filipina berikutan pertikaian maritim… dan membekukan pinjaman kewangan kepada Vietnam kerana melakukan penerokaan minyak dan gas di perairan yang dipertikaikan itu."

Kapal-kapal China berulang kali melanggar undang-undang dengan menceroboh perairan negara-negara Asia Tenggara yang menuntut kawasan di Laut China Selatan, kata penganalisis.

Pada Khamis, kapal pengawal pantai China dilaporkan menggunakan meriam air untuk menyekat misi pembekalan semula Filipina ke pos tenteranya di terumbu di Laut China Selatan, dakwa pegawai Filipina. Manila menganggap tindakan itu sebagai "tidak sah."

'Kata-kata dan tindakan China sentiasa berbeza'

Dalam menghadapi provokasi sedemikian daripada Beijing, "negara-negara ASEAN tidak mempunyai pengaruh besar untuk bersuara atau menolak tekanan China," kata Marston, yang merujuk kepada kebergantungan negara-negara Asia Tenggara terhadap China.

Kuasa besar Asia itu bersungguh-sungguh mempromosikan pelaburan infrastruktur di Asia Tenggara melalui inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan (OBOR) yang merupakan program bernilai AS$1 trilion bagi membina rangkaian kereta api, pelabuhan dan jambatan merentasi 70 negara.

“Pelaburan China di Asia Tenggara kekal stabil di antara 10 hingga 30 peratus daripada jumlah pelaburan OBOR dari 2014 hingga 2019,” kata Tsjeng dari Universiti Teknologi Nanyang.

"Penularan pandemik COVID-19 telah melonjak peratusan ini kepada 36 peratus pada 2020 - walaupun jumlah pelaburan OBOR global menurun dengan ketara."

Pada tahun lepas, ASEAN menjadi rakan perdagangan terbesar China dengan menggantikan Kesatuan Eropah - perdagangan dua hala mencecah AS$732 bilion.

Marston, dari Universiti Nasional Australia, berkata negara-negara ASEAN akan mendapat manfaat daripada perdagangan dan pelaburan China walaupun tanpa diplomasi dua hala. Tetapi, penglibatan itu "gagal untuk memperbaiki tingkah laku memaksa China," katanya.

Berikutan dengan itu, hasrat China untuk mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tata Laku itu sempena ulang tahun ke-30 dialog ASEAN-Beijing mungkin tidak kesampaian, kata Derek Grossman, penganalisis kanan pertahanan di RAND Corporation iaitu badan pemikir AS.

“Tuntutan balas maritim China dan ASEAN terus menyukarkan kemungkinan sebarang rundingan dilakukan secara realistik pada tahun ini. Atau pada bila-bila masa akan datang, " kata Grossman dalam catatan Twitter.

China akan menyatakan bahawa ia mahukan keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini, kata Rakhmat dari Universiti Indonesia.

"Walaupun ia berkaitan Laut China Selatan, kata-kata dan tindakannya sentiasa berbeza," katanya.

Ketua junta mungkin hadir?

Sementara itu, masih belum jelas sama ada pemimpin junta Myanmar, yang merupakan penyelaras dialog China-ASEAN tahun ini, akan diwakili pada sidang kemuncak peringkat pemimpin pada Isnin.

Dalam langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, Sidang Kemuncak ASEAN pada bulan lepas menghalang kehadiran Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, yang mengetuai rampasan kuasa di Myanmar pada 1 Feb lalu, dengan menyatakan bahawa beliau telah mengingkari janjinya kepada ASEAN untuk bertindak memulihkan keamanan dan demokrasi di negara berkenaan.

Indonesia, Malaysia, Singapura dan Filipina menerajui usaha untuk tidak menjemput ketua junta Myanmar itu.

Namun, pada Khamis, agensi berita Reuters melaporkan bahawa seorang duta China sedang melobi negara-negara anggota ASEAN untuk membenarkan Min Aung Hlaing menghadiri sidang kemuncak itu.

Empat sumber diplomatik dan politik serantau, yang tidak dinamakan dalam laporan Reuters, berkata Indonesia, Brunei, Malaysia dan Singapura tidak mahu ketua junta Myanmar itu menghadiri mesyuarat pada Isnin.

BenarNews tidak dapat mengesahkan usaha melobi itu, walaupun jurucakap Kementerian Luar Indonesia Teuku Faizasyah berkata Indonesia bersetuju dengan tindakan melarang Min Aung Hlaing menghadiri mesyuarat pada Isnin.

“Saya tidak tahu mengenai cadangan sedemikian [untuk membenarkan Min Aung Hlaing hadir],” katanya kepada BenarNews.

“Indonesia kekal konsisten. Pendirian Indonesia tidak berubah."

Hadi Azmi di Kuala Lumpur, Tria Dianti dan Ronna Nirmala di Jakarta, dan Pimuk Rakkanam di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh