Follow us

Pemimpin ASEAN Bincang Dalam Talian, Peruntuk Semula Dana Perangi COVID-19

Ronna Nirmala & Ahmad Syamsudin
Jakarta, Indonesia
2020-04-14
E-mel
Komen
Share
Pemimpin 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara dan setiausaha agung persatuan itu membincangkan mengenai wabak COVID-19 semasa sidang kemuncak khas yang diadakan secara dalam talian, 14 April 2020.
Pemimpin 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara dan setiausaha agung persatuan itu membincangkan mengenai wabak COVID-19 semasa sidang kemuncak khas yang diadakan secara dalam talian, 14 April 2020.
(AP)

Menerusi mesyuarat sidang video susulan kebimbangan berhubung masalah keselamatan berikutan COVID-19, pemimpin-pemimpin Asia Tenggara bersetuju dalam sidang kemuncak khas itu pada Selasa untuk memastikan jaringan keselamatan sosial bagi penduduk yang mudah dijangkiti di rantau itu, serta menyokong pengagihan semula dana untuk memerangi wabak tersebut.

Para pemimpin 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) itu kemudian mengadakan sidang kemuncak khas dalam talian khas dengan para pemimpin China, Jepun dan Korea Selatan untuk membincangkan krisis kesihatan awam global, yang kesan berangkai telah menjejaskan ekonomi di seluruh dunia.

Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, yang juga pengerusi ASEAN pada 2020 dengan negaranya menjadi tuan rumah sidang kemuncak khas persatuan serantau itu, memberitahu bahawa kesemua negara anggota berkenaan sedang berjuang untuk mencegah koronavirus daripada memberi kesan negatif kepada rakyat mereka.

"Pada masa yang menyedihkan inilah solidariti komuniti ASEAN bersinar seperti suar di dalam kegelapan," katanya dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak itu.

Negara-negara anggota persatuan itu termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand telah mencatatkan lebih 20,000 kes positif COVID-19 dan lebih 900 kematian akibat wabak itu.

Dalam pernyataan bersama selepas mesyuarat khas itu, negara-negara anggota ASEAN sepakat untuk: "Mempergiatkan kerjasama dalam menyediakan ubat-ubatan, bekalan dan peralatan perubatan yang penting, termasuk, tetapi tidak terhad kepada peralatan diagnostik dan peralatan perlindungan diri."

Para pemimpin berkenaan juga bersetuju untuk memperuntukkan semula dana yang ada bagi memerangi wabak tersebut dan  menubuhkan Dana Khas ASEAN COVID-19.

"Kita tidak ada pilihan selain bersatu untuk memerangi virus ini," kata Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo.

Walaupun para pemimpin ASEAN tidak menetapkan jumlah sasaran untuk dana tersebut, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha berkata ia harus digunakan untuk memperoleh kit saringan dan ujian, peralatan perlindungan diri serta peralatan perubatan. Selain itu, dana berkenaan harus digunakan untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan dan vaksin bagi membantu ASEAN menjadi lebih berdikari, katanya.

Pegawai Thailand menyatakan bahawa dana itu harus melibatkan peruntukan semula 10 peratus dana pembangunan ASEAN sedia ada bersama-sama dengan sumbangan daripada negara-negara Campur Tiga - China, Jepun dan Korea Selatan.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte pula menggesa kerjasama lebih erat dalam menghadapi apa yang dianggapnya "malapetaka yang sedang berlaku – dalam skala yang belum pernah terjadi dan memberi kesan buruk kepada semua."

"Kami secara khususnya amat bimbang dengan jaminan bekalan makanan dalam masa perintah berkurung akibat wabak ini. Keutamaan kami yang paling mendesak adalah memastikan bekalan beras yang mencukupi untuk rakyat kami,” kata Duterte.

Pemimpin Filipina itu menyatakan bahawa ASEAN mesti dibuka untuk perdagangan.

"Krisis atau tiada krisis, tidak ada negara yang dapat berdiri sendirian," katanya. "Oleh itu, marilah kita memastikan hubungan rantaian bekalan dan aliran barangan yang lancar di rantau kita."

Duterte menggesa ASEAN untuk mewujudkan sistem amaran awal bagi bersiap siaga untuk menghadapi wabak masa depan.

"Kita harus memperbaiki dan memperluas mekanisme ASEAN sedia ada dengan turut merangkumi kecemasan kesihatan awam," katanya.

Pemimpin Malaysia pula menyeru rakan-rakan sejawatnya dari negara-negara ASEAN supaya mula membincangkan rancangan pemulihan ekonomi yang bukan sahaja menumpukan kepada aspek kewangan malah merangkumi jaringan keselamatan sosial.

"Kita tidak boleh membiarkan ASEAN kembali ke zon selesa - sebaliknya menjadikan ASEAN untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan baru, kuasa kekuatan baru bukan hanya untuk 600 juta rakyat kita malah untuk dunia," kata Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada sidang kemuncak itu.

Semasa perbincangan ASEAN Campur Tiga, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mencadangkan penubuhan pusat serantau bagi penyakit berjangkit.

"Kerjasama antarabangsa adalah amat penting untuk memerangi virus yang tersebar melangkaui sempadan," kata Abe, menurut laporan media Jepun. "Kita harus berkongsi maklumat dan pengetahuan secara bebas, telus dan pantas."

Cadangan itu mendapat sokongan daripada para pemimpin lain.

"Negara-negara ASEAN bersetuju untuk bertindak terhadap cadangan Jepun dan membincangkannya dengan lebih lanjut," kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi kepada wartawan.

Li Keqiang, perdana menteri China, di mana koronavirus itu dikesan buat pertama kalinya, pula mencadangkan supaya diwujudkan laluan pantas untuk membolehkan pegawai penting mengunjungi negara lain, menurut siaran media Kedutaan Besar China di Jakarta.

"Keqiang menyatakan bahawa negara-negara APT (ASEAN Campur Tiga) perlu memanfaatkan kekuatan mereka dalam ekonomi pelengkap dan hubungan perniagaan yang utuh untuk terus mengurangi tarif, mengatasi halangan, meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan, dan membuka pasaran untuk satu sama lain dalam usaha  mengembalikan pertumbuhan di Asia Timur dengan secepat mungkin,” katanya, merujuk kepada negara-negara ASEAN Campur Tiga.

"Dengan semua langkah-langkah kawalan dilaksanakan, kita harus mempertimbangkan untuk membuka 'laluan pantas' bagi para pegawai  penting melakukan kunjungan segera dalam bidang perdagangan, logistik, produksi dan perkhidmatan teknologi. Ini akan menjadi kondusif dalam mengekalkan aliran sewajarnya insan dan barangan yang diperlukan selain menstabilkan rantaian industri dan bekalan."

Penggubal undang-undang ASEAN menyambut baik sidang kemuncak dalam talian itu pada Selasa sebelum mereka membincangkan dengan lebih menyeluruh.

"Sudah tiba masanya para pemimpin ASEAN berhimpun untuk mencari tindak balas serantau terhadap krisis COVID-19 yang berlaku kini," kata Charles Santiago, Anggota Parlimen Malaysia yang juga pengerusi Anggota Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kumpulan itu.

"Virus atau kesan daripada langkah-langkah yang diambil untuk menghentikan pandemik ini tidak akan terhenti di sempadan sesebuah negara sahaja. Situasi semasa serta pengurusan kesan jangka panjangnya memerlukan solidariti serantau dan penyelesaian global,” katanya.

Hari maut di Indonesia

Para pemimpin ASEAN mengadakan sidang khas itu pada hari  Indonesia mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi sejak negara yang mempunyai paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu mencatatkan kes koronavirus pertamanya pada awal Mac.

Jumlah kematian meningkat kepada 459 orang selepas 60 kematian dilaporkan dalam 24 jam terakhir, menurut pasukan petugas COVID-19 negara itu. Jumlah kes yang disahkan pula meningkat sebanyak 282 menjadikan jumlah kes melibatkan 4,839 orang, kata jurucakap pasukan petugas berkenaan Achmad Yurianto.

Di seluruh dunia, hampir 122,000 orang mati dan hampir 2 juta lagi dijangkiti COVID-19, menurut data terbaru yang dikumpulkan oleh pakar penyakit di Johns Hopkins University di Amerika Syarikat.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada hujung minggu lalu, para ahli epidemiologi di Universitas Indonesia memberi amaran bahawa kes COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital untuk dirawat akan mencapai jumlah 1 juta di pulau utama Jawa pada Julai ini jika pihak kerajaan tidak melarang rakyat daripada pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfiri, perayaan umat Islam bagi menandakan berakhirnya Ramadan.

Kerajaan sebelum ini melarang penjawat awam, tentera dan polis pulang ke kampung halaman mereka untuk tujuan itu. Namun, larangan berkenaan tidak meliputi seluruh negara tersebut.

Menteri penyelaras hal ehwal dan pelaburan maritim Luhut Pandjaitan tidak mahu menerima ramalan itu walaupun Indonesia mempunyai angka kematian COVID-19 tertinggi di Asia Timur selain China.

"Setakat ini, saya percaya, Indonesia berada dalam keadaan yang baik," kata Luhut kepada wartawan pada Selasa.

Jason Gutierrez di Manila, Lex Radz di Kuala Lumpur dan Pimuk Rakkanam di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh