Follow us

Kaji Selidik Tunjuk Pengaruh China Di Asia Tenggara Kian Meningkat Berbanding AS

Drake Long
Washington
2020-06-10
E-mel
Komen
Share
Menteri-menteri Luar saling bersalaman di pentas pada mesyuarat mengenai coronavirus COVID-19 antara China dan ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) di Vientiane, Laos, 20 Februari 2020.
Menteri-menteri Luar saling bersalaman di pentas pada mesyuarat mengenai coronavirus COVID-19 antara China dan ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) di Vientiane, Laos, 20 Februari 2020.
[AFP]

Amerika Syarikat menempuh kesukaran untuk bersaing dengan China yang pengaruhnya kian meningkat di Asia Tenggara, menurut satu kaji selidik baru oleh pakar-pakar di rantau itu, walaupun ada di kalangan mereka memberi sokongan padu kepada nilai-nilai demokrasi.

China sudahpun mempunyai pengaruh ekonomi yang jauh lebih besar berbanding A.S., serta mempunyai lebih sedikit kuasa politik, di Asia Tenggara, dengan jurang itu dijangka terus meluas dalam dekad berikutnya, menurut kaji selidik itu yang dijalankan oleh badan pemikir Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

Kaji selidik badan pemikir dihormati itu yang berpejabat di Washington menyasarkan "elit strategik" - pakar bukan kerajaan atau bekas pegawai dari enam negara Asia Tenggara. Sebanyak 188 responden dari Vietnam, Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Filipina serta 13 orang lagi di Fiji yang menjawab kaji selidik itu.

Kaji selidik tersebut dilakukan pada November dan Disember 2019, dengan ia tidak menyatakan bagaimana pandemik COVID-19 dapat membentuk persepsi terhadap dua kuasa besar itu. Coronavirus berpunca dari China, yang pada awalnya dituduh cuba menyembunyikan tentang pandemic tersebut. Dengan virus itu kini merebak ke seluruh dunia, A.S. adalah negara yang mencatatkan kematian paling banyak.

"Hasil kaji selidik ini memberi gambaran tentang pengaruh China yang ketara meningkat di Asia Tenggara, pandangan yang rumit dan berbeza terhadap China, dan kebimbangan mendalam berhubung persaingan strategik AS-China serta kesannya terhadap Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN)," menurut laporan yang menjelaskan hasil kaji selidik itu.

Responden diminta memilih sehingga tiga negara yang mempunyai pengaruh politik paling besar di Asia Tenggara. China berada di kedudukan teratas dengan 94.5 peratus diikuti oleh A.S dengan 92 peratus.

Tetapi, margin perbezaan antara dua kuasa besar itu itu meningkat dengan ketara bagi soalan mengenai siapa yang akan paling berpengaruh dalam 10 tahun akan datang, dengan 94.5 peratus memilih China dan 77 peratus untuk A.S. Bagi kedua-dua soalan yang sama itu, Jepun dan Indonesia masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Pat Buchan, pengarah Projek Perikatan A.S. di CSIS dan pengarang bersama bagi kaji selidik itu, berkata usaha China untuk mendapatkan pengaruh di rantau ini telah meningkat dengan pesat dalam tempoh lima tahun lalu, dan hasil kaji selidik itu menunjukkan trend berkenaan. Beliau berkata perkara itu sepatutnya menyedarkan A.S ketika ia terus berusaha bersaing dengan China.

"Dari perspektif sejarah, Amerika Syarikat tidak memberi tumpuan besar kepada Asia Tenggara sejak kejatuhan Saigon," kata Buchan dalam satu temu bual, yang  merujuk kepada berakhirnya Perang Vietnam pada 1975.

“Usaha di Asia sering tertumpu kepada Asia Timur dan Asia Timur Laut. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa ada generasi yang tidak mendapat pengaruh Amerika dan kepakaran Amerika di Asia Tenggara, ”katanya.

Mengenai pengaruh ekonomi, sejumlah besar dalam kaji selidik itu bersetuju bahawa China sudahpun mendahului dengan meluas dan akan terus dalam kedudukan itu pada dekad berikutnya.

Bagi soalan yang berkaitan dengan tiga negara yang mempunyai kuasa ekonomi paling besar, kira-kira 98 peratus responden memilih China, 70.6 peratus memilih A.S. dan 66.7 peratus lagi memilih Jepun. Dalam tempoh 10 tahun akan datang pula, sebanyak 96 peratus memilih China, 56.7 peratus menyatakan A.S. dan 56.2 peratus memilih Jepun.

Buchan mengaitkan hasil kaji selidik itu dengan kurangnya penglibatan A.S. dalam perjanjian dan institusi  perdagangan multilateral seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik - yang dirundingkan oleh pentadbiran Obama sebagai sebahagian daripada paksi strategik A.S ke Asia, tetapi kemudian diketepikan oleh Presiden Donald Trump.

Walaupun adanya pengiktirafan terhadap peningkatan pengaruh China yang ditadbir oleh PKC, dan kecenderungan autoritarian kebanyakan kerajaan Asia Tenggara, responden menyuarakan sokongan padu kepada nilai-nilai demokrasi.

Sebanyak 85 peratus elit strategik berkenaan menyatakan bahawa mereka yakin nilai-nilai demokrasi memberi manfaat kepada kestabilan dan kemakmuran negara mereka. Jawapan ini ketara daripada responden di Thailand dan Filipina - yang telah mengalami hakisan demokrasi sejak beberapa tahun lalu - dan Indonesia, di mana ia terbukti jauh lebih kukuh.

"Itu sudah pasti mengatasi semua perkara, keinginan mempunyai  norma dan nilai-nilai demokrasi," kata Buchan. "Sekiranya kami menjalankan kaji selidik ini pada 30 tahun dahulu, anda pasti mendapat jawapan yang sangat dan amat berbeza."

"Pengaruh kuasa lembut Amerika Syarikat kini ditunjukkan melalui dua generasi kemudian sebagai norma yang diterima," katanya.

Sebanyak 53 peratus responden menganggap peranan China adalah bermanfaat bagi rantau itu, sementara 46 peratus pula menganggapnya sebagai menjejaskan. Pandangan negatif paling jelas dinyatakan di Vietnam dan Filipina - dua negara yang turut menyatakan kebimbangan besar mengenai situasi di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, yang turut dituntut secara keseluruhannya oleh China.

Para responden mengenal pasti Persatuan Negara-negara Asia Tenggara sebagai institusi paling penting bagi ketenteraman rantau itu.

Vietnam, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan perkara itu, yang mungkin disebabkan oleh kekecewaannya terhadap kegagalan ASEAN mencapai konsensus mengenai isu Laut China Selatan, dengan negara anggota yang pro-China seperti Kemboja cuba  menggagalkan consensus itu.

Hampir separuh responden menyatakan bahawa tekanan luaran dari kuasa-kuasa besar sebagai ancaman terbesar terhadap perpaduan ASEAN, diikuti oleh kebimbangan bahawa negara-negara anggota tidak memberi keutamaan yang mencukupi kepada persatuan 10 negara itu.

Lihat Laman Penuh