Follow us

Keselamatan Maritim Kuasai Perbincangan Sidang Kemuncak ASEAN-India

Akash Vashishtha & Rohit Wadhwaney
New Delhi, India.
2018-01-25
E-mel
Komen
Kongsi
  • Kongsi
  • Komen
  • E-mel
180125-IN-asean-620.jpg
Pemimpin-pemimpin ASEAN bergambar bersama-sama Perdana Menteri India Narendra Modi (tengah) di Rashtrapati Bhavan, New Delhi, 25 Jan, 2018.
[Foto AFP Photo/PIB]

Perdana Menteri India Narendra Modi menggesa pemimpin-pemimpin ASEAN supaya mengukuhkan kerjasama maritim dengan negaranya, semasa beliau menyampaikan ucapannya di sini pada Khamis, yang dipercayai ditujukan kepada usaha untuk menangani pengaruh China yang semakin meningkat di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Modi merupakan tuan rumah kepada kesemua 10 pemimpin negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada sidang kemuncak dua hari di New Delhi sempena Sidang Kemuncak Ke-25 ASEAN-India.

"India berkongsi wawasan ASEAN mengenai masyarakat yang berasaskan kepada peraturan dan nilai-nilai keamanan. Kami komited untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN bagi meningkatkan kerjasama dalam domain maritim," kata Modi kepada para pemimpin Asia Tenggara itu.

Antara yang hadir ialah Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha.

"Kami berkongsi pelayaran yang sama sejak beribu-ribu tahun lalu. Kehadiran anda di India sememangnya menyentuh hati setiap rakyat kami,"kata Modi.

Pada hari terakhir sidang kemuncak itu pada Khamis, India dan ASEAN mengeluarkan satu kenyataan bersama dikenali sebagai Deklarasi Delhi, di mana mereka bersetuju untuk "terus memperkukuh dan mendalami Perkongsian Strategik ASEAN-India untuk kepentingan bersama" dalam pelbagai isu.

Antaranya, India dan ASEAN mengesahkan komitmen dua hala mereka "untuk menjalinkan kerjasama rapat dalam isu-isu keselamatan serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama."

Deklarasi itu turut menekankan pentingnya untuk mengekalkan dan menggalakkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan jaminan maritim, serta "kebebasan melakukan pelayaran di lautan dan lintas udara di rantau itu" serta "melaksanakan perdagangan maritim yang mematuhi undang-undang tanpa sebarang halangan" – yang merujuk jelas kepada tuntutan wilayah China di Laut China Selatan.

Selain itu, deklarasi berkenaan juga menekankan tentang "memperkukuhkan kerjasama memerangi keganasan dalam semua bentuk dan manifestasi, ekstremisme ganas dan radikalisasi menerusi perkongsian maklumat, penguatkuasaan undang-undang dan membentuk keupayaan."

'Cuba mendapatkan kelebihan'

Menurut pakar-pakar keselamatan India, Perdana Menteri Modi menggunakan sidang kemuncak itu untuk menerangkan doktrin India yang dikenali sebagai "Pandang Ke Timur". Ia bertujuan untuk memperluaskan hubungan dengan negara-negara di Asia Timur selain membendung pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu.

Di Asia Selatan, Beijing sedang membina dan membiayai projek infrastruktur mega di negara-negara jirannya seperti pelabuhan dan lebuh raya utama di Sri Lanka, yang dilihat sebagai cabaran langsung terhadap pengaruh India di lamannya sendiri.

"Kerajaan India sedang membangunkan momentum dengan inisiatif-inisiatif yang strategik. Negara-negara [ASEAN]  juga melihat China sebagai cabaran dan berharap dapat mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai dan diyakini untuk menentang taktik pembuli China," kata Vinay Kaura, penyelaras di Pusat Kajian Keamanan dan Konflik di Rajasthan, kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan.

Daripada 10 negara ASEAN berkenaan, Filipina, Thailand, Malaysia, Vietnam dan Brunei mempunyai tuntutan wilayah di Laut China Selatan, dengan China mendakwa kesemuanya adalah dalam kawasan miliknya. Lima negara lain yang membentuk blok ASEAN adalah Indonesia, Singapura, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Pada 1962, jiran negara-negara Asia iaitu India dan China terlibat dalam peperangan yang mengorbankan 2,000 orang dalam tempoh sebulan, menurut angka rasmi. Beberapa dekad kemudian, kedua-dua negara masih mempunyai pertikaian berhubung wilayah di sepanjang sempadan timur laut India.

“India mahu mendapatkan kelebihan pada masa ini dengan cuba memberi lebih tekanan kepada China. India tiada pilihan lain kecuali dengan  menghantar mesej bahawa ia tidak mahu sekadar menjadi pemerhati terhadap sikap membuli China, "kata Kaura.

"Tetapi pada masa yang sama, India perlu mendapatkan sumber-sumber ekonomi dan pemodenan yang cukup untuk membantu negara-negara tersebut dalam memastikan Laut China Selatan kekal bebas untuk dilayari," katanya.

Seorang pegawai kanan Kementerian Luar Negeri India, yang tudak mahu namanya disiarkan, mengesahkan bahawa perbincangan sidang kemuncak itu menjurus kepada isu keselamatan maritim antara India dan ASEAN memandangkan kesungguhan China menempatkan tenteranya di kawasan laut  yang kaya pelbagai sumber itu dengan keluasan 3.5 juta kilometer persegi (1.4 juta batu persegi).

"Usaha bantuan kemanusiaan dan bencana, kerjasama keamanan dan kebebasan untuk berlayar akan menjadi tumpuan utama dalam kerjasama maritim kami," kata Modi pada sidang kemuncak itu, ketika beliau melancarkan setem peringatan jubli perak persahabatan India-ASEAN.

Kenyataan Modi dibuat sehari sebelum India meraikan sambutan Hari Republik Ke-69. Ia meraikan para pemimpin 10 negara ASEAN sebagai tetamu utama semasa perarakan di New Delhi yang mempamerkan kehebatan ketenteraan dan kebudayaan negara itu.

Langkah luar biasa India, yang menjemput 10 dan bukannya seorang pemimpin asing sebagai tetamu utama negara pada sambutan berkenaan, merupakan keputusan strategik oleh kerajaan Modi untuk meningkatkan kedudukan India di rantau Asia Pasifik, yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh China, kata Kaura.

Pujian India untuk Asia Tenggara

Semasa sidang kemuncak itu, Modi mengadakan mesyuarat dua hala berasingan dengan Presiden Duterte, Perdana Menteri Najib, Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Beliau juga mengumumkan Anugerah Padma Shri - penghormatan awam keempat tertinggi India - untuk setiap seorang dari negara ASEAN, dalam apa yang digambarkan sebagai "langkah simbolik hubungan India-ASEAN yang tidak pernah dilakukan” kerajaan India sebelum ini.

Penerima anugerah itu termasuklah Nyoman Nuarta, pengukir Indonesia; Ramli Ibrahim, penari Malaysia; Jose Concepcion, ahli perniagaan Filipina; dan Somdet Khottayan, ketua tertinggi  paderi Buddha Thailand.

"Kerajaan hanya menggariskan proses dan inisiatif dasar. Tidak ada sebarang perubahan, "kata Praveen Jha, seorang profesor di Pusat Pengajian dan Perancangan Ekonomi di Universiti Jawaharlal Nehru, New Delhi, kepada  BeritaBenar, semasa merujuk kepada hubungan India dengan ASEAN. “Nampaknya India hanya cuba membangkitkan wacana mengenai China."

Lihat Laman Penuh