ASEAN: Malaysia Tetap Dengan Pendirian Hanya Wakil Bukan Politik Boleh Hadir Mesyuarat

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang juga Pengerusi ASEAN dijadual meneruskan perbincangan dengan pemimpin junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing pada Rabu.
Nani Yusof & Iskandar Zulkarnain
2022.01.25
Washington & Kuala Lumpur
ASEAN: Malaysia Tetap Dengan Pendirian Hanya Wakil Bukan Politik Boleh Hadir Mesyuarat Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang berada di negara masing-masing mengadakan perbicangan melalui sidang video berhubung perkara melibatkan kedua-dua negara dan juga ASEAN, 25 Januari 2022.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri Kemboja melalui Facebook]

Malaysia tetap dengan pendirian, hanya wakil bukan politik dibenarkan mengambil bahagian dalam semua mesyuarat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) sekiranya junta Myanmar masih gagal melaksanakan konsensus lima perkara seperti yang dipersetujui oleh negara-negara blok serantau itu, dalam menamatkan konflik pasca rampasan kuasa di Myanmar.

Pendirian Kuala Lumpur itu dinyatakan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang video dengan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen yang juga Pengerusi ASEAN, demikian menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia pada Selasa.

Hun Sen dalam perbualan yang sama turut memberitahu Ismail Sabri bahawa beliau telah memaklumkan pemimpin junta Myanmar yang negara berkenaan hanya akan dibenarkan menghadiri Sidang Kemuncak kerjasama serantau itu, sekiranya berjaya menunjukkan perkembangan dalam melaksanakan pelan damai seperti yang telah digariskan.

“Berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, Malaysia menegaskan bahawa pendiriannya kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan perlaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC),” kata Ismail Sabri dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar Malaysia.

Hun Sen sebelum melawat Myanmar dua minggu lepas, telah menyatakan bahawa beliau mahu junta Burma diwakili semasa mesyuarat ASEAN yang akan diadakan kelak.

Pada akhir tahun lepas, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura iaitu antara 10 negara blok Asia Tenggara yang telah mengambil tindakan tegas terhadap Myanmar, apabila menarik balik jemputan terhadap pemimpin junta Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN.

Tindakan tegas itu diambil kerana jeneral kanan tersebut tidak mengotakan janjinya untuk melaksanakan konsensus lima perkara yang sudah dipersetujui pada April tahun lepas iaitu dua bulan selepas insiden rampasan kuasa menggulingkan kerajaan Burma yang dipilih secara demokrasi pada 1 Februari 2021.

Duta khas ASEAN ke Myanmar turut membatalkan lawatannya ke negara itu apabila dimaklumkan bahawa beliau tidak akan dibenarkan bertemu dengan semua pihak yang terlibat dalam konflik di negara berkenaan termasuk pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi dan U Win Myin yang berada dalam tahanan tentera.

Akses kepada Utusan Khas

Semasa bercakap pada sidang video dengan Hun Sen, Ismail Sabri sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia supaya Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses menemui semua pihak yang berkenaan untuk mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.

“Malaysia juga menyokong perlantikan Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu,” kata Perdana Menteri Malaysia itu lagi.

Ismail Sabri turut menyuarakan pandangan bahawa langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincangkan di peringkat Menteri Luar dan pegawai kanan ASEAN.

“Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera,” kata Perdana Menteri Malaysia seperti dalam kenyataan Wisma Putra.

Ismail Sabri juga meminta supaya segera menghentikan keganasan terhadap orang awam di Myanmar, serta terus menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui ASEAN Coordinating Center for Humanitarian Assistance on Disaster Management dengan mendapat sokongan daripada negara anggota serantau itu dan juga luar ASEAN.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Kemboja dalam satu kenyataan memberitahu bahawa perbincangan dua hala antara kedua-dua perdana menteri itu adalah untuk mencari penyelesaian damai berhubung krisis kompleks di Myanmar.

“Perdana Menteri Hun Sen juga memberi taklimat kepada Ismail Sabri tentang hasil lawatannya ke Myanmar pada awal bulan yang bertujuan membuka jalan bagi kemajuan selanjutnya dalam perlaksanaan konsensus lima perkara berdasarkan piagam ASEAN,” kata kenyataan Kementerian Luar Kemboja itu lewat Selasa.

Perbincangan dengan pemimpin Myanmar

Sementara itu, dalam catatan di laman rasmi media sosial Facebook Perdana Menteri Kemboja Hun Sen memberitahu yang beliau dijadual meneruskan perbincangan dengan pemimpin Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing pada Rabu.

“[Hun Sen] akan mengadakan perbincangan dengan [Ming Aung Hlaing pada 26 Januari] untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas berhubung isu ini, keadaan di Myanmar pada hari ini sangat rumit sekali kerana terdapat dua kerajaan – kerajaan tentera dan kerajaan bayangan,” kata Hun Sen dalam catatannya selepas mengadakan perbincangan dengan Malaysia itu.

Beliau juga memaklumkan yang keadaan menjadi sangat buruk dengan serangan udara berterusan di beberapa wilayah di Myanmar walaupun selepas mengadakan pertemuan dengan ketua junta Burma Min Aung Hlaing pada 7 dan 8 Januari lepas.

Pengerusi ASEAN yang mengiktiraf kerajaan bayangan Myanmar turut memberitahu bahawa beliau telah dimaklumkan yang pemimpin demokrasi Aung San Su Kyi telah dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun semasa melawat negara itu pada awal bulan ini.

“Myanmar hanya akan dijemput ke sidang kemuncak ASEAN jika terdapat kemajuan dalam pelaksanaan konsensus lima perkara yang telah dipersetujui sebulat suara. Bagaimanapun, jika tiada kemajuan yang dicapai, Myanmar hanya boleh menghantar wakil bukan politik untuk menghadiri mesyuarat itu,” kata beliau lagi dalam catatan di Facebooknya itu.

Hun Sen pada hujung minggu lalu telah menyelar Menteri Luar Malaysia, Saifuddin Abdullah sebagai angkuh dan tidak sopan dalam kenyataannya mengenai pertemuan kontroversi Pengerusi ASEAN itu dengan Ketua Junta Myanmar baru-baru ini.

Saifuddin pada sidang media di Kuala Lumpur berkata Hun Sen sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan negara anggota lain blok serantau itu sebelum melawat Myanmar.

“Malaysia berpandangan bahawa [Hun Sen] berhak melawat Myanmar sebagai ketua kerajaan Kemboja,” kata Menteri Luar Malaysia kepada pemberita pada majlis makan malam di Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai lawatan Hun Sen ke Myanmar minggu lepas.

“Bagaimanapun, kami turut merasakan bahawa oleh kerana beliau kini adalah Pengerusi ASEAN, beliau sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan beberapa pemimpin negara anggota walaupun bukan semua dan meminta pandangan mereka mengenai apa yang patut beliau lakukan jika beliau ke Myanmar,” kata Saifuddin merujuk kepada peranan Kemboja sebagai negara yang menjadi Pengerusi pada 2022 melalui sistem penggiliran yang diamalkan oleh blok serantau itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.