Malaysia Akan Berunding Dengan Myanmar Jika Usaha ASEAN Gagal

Duta blok serantau itu pula mendedahkan negara anggota sedang menimbang untuk melarang ketua junta Myanmar menghadiri sidang kemuncak ASEAN.
Hadi Azmi, Ronna Nirmala & Shailaja Neelakantan
2021.10.06
Kuala Lumpur, Jakarta & Washington
Malaysia Akan Berunding Dengan Myanmar Jika Usaha ASEAN Gagal Ketua tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing (kanan) bertemu dengan Menteri Luar 2 Brunei Erywan Yusof (kiri) di Naypyidaw, Myanmar, 4 Jun 2021.
[Gambar edaran Myanmar News Agency menerusi AFP]

Malaysia pada Rabu menyatakan bahawa ia akan membuka ruang perbincangan dengan kerajaan bayangan Myanmar sekiranya kerajaan junta negara itu gagal bekerjasama dalam usaha penyelesaian konflik oleh ASEAN -- pengumuman pertama seumpamanya oleh negara anggota blok serantau itu.

Sementara itu, negara anggota ASEAN sedang menimbang untuk melarang ketua junta Myanmar menghadiri sidang kemuncak akan datang kerana beliau telah "mengundurkan diri" daripada pakatan untuk memulihkan keamanan dan demokrasi, dedah wakil blok tersebut beberapa hari selepas Malaysia mencadangkan langkah itu yang kemudian disifatkan oleh seorang jurucakap junta sebagai "kenyataan peribadi."

Wong Chen, Ahli Parlimen Subang, telah menyoal Menteri Luar Saifuddin Abdullah di Parlimen sama ada Kuala Lumpur akan memulakan dialog dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) di Myanmar jika junta tidak membenarkan wakil ASEAN berbincang dengan semua pihak.

"Proses melaksanakan Konsensus Lima Perkara ini masih diusahakan melalui segala cara yang mampu dilakukan oleh utusan khas (ASEAN)," kata Saifuddin.

"Jika ia tidak berjaya… Saya yakin apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Subang boleh kita laksanakan sekiranya perkara yang dipersetujui dalam Konsensus Lima Perkara tidak boleh dicapai."

Tentera Burma telah menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya pada 1 Feb selepas mendakwa penipuan undi telah memberikan kemenangan besar kepada kerajaan Liga Nasional Untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi. Junta turut menghumban pemimpin serta ahli parti NLD ke dalam penjara.

Ketika ribuan penunjuk perasaan pro-demokrasi bertindak turun ke jalanan di seluruh negara selepas rampasan kuasa itu, junta telah mengarahkan pasukan keselamatan menggunakan senjata terhadap rakyat sendiri dan menyebabkan 1,058 rakyat Myanmar terbunuh, kebanyakannya adalah penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa, dalam tempoh lapan bulan.

Konsensus Lima Perkara itu telah dipersetujui oleh ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing ketika mesyuarat bersemuka bersama anggota ASEAN lain pada 24 April lepas di Jakarta. Lima perkara itu termasuk menghentikan keganasan serta komitmen untuk mengadakan dialog bersama semua pihak dan seorang wakil ASEAN akan mengendalikan dialog tersebut.

Saifuddin memaklumkan Parlimen bahawa duta khas ASEAN ke Myanmar telah memberi taklimat kepada menteri luar negara anggota pada Isnin sambil menambah bahawa Naypyidaw tidak memberikan kerjasama terhadap Konsensus Lima Perkara itu.

Beliau berkata sekiranya perkara ini berterusan, beberapa langkah tegas perlu diambil.

'Saifuddin melakukan perkara yang betul'

Saifuddin pada Isnin buat pertama kalinya telah mencadangkan langkah tegas itu apabila beliau berkata ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing patut dilarang daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini jika tiada kemajuan yang dicapai berhubung konsensus ASEAN itu.

Kenyataan Menteri Luar Malaysia itu berjaya menarik perhatian ASEAN.

Erywan Yusof, wakil ASEAN ke Myanmar, memaklumkan pemberita pada Rabu bahawa blok itu sedang menimbangkan secara serius untuk menarik balik jemputan kepada Min Aung Hlaing bagi menyertai sidang kemuncak tersebut.

"Saya boleh katakan bahawa kami kini berbincang secara mendalam mmengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata beberapa anggota ASEAN yang lain turut mengetengahkan idea serupa tetapi penganalisis pada Isnin berpendapat kenyataan keras seperti yang dilontarkan oleh Malaysia akan memberikan tekanan kepada ASEAN sebagai satu blok.

Idea Malaysia itu turut mendapat perhatian jurucakap junta Myanmar ketika disoal oleh Radio Free Asia (RFA), sebuah entiti BenarNews, pada Selasa.

"Itu hanya kenyataan peribadi beliau," kata jurucakap junta iaitu Zaw Min Tun kepada RFA, merujuk kepada Saifuddin.

"Ia bukan pendirian ASEAN kerana ia memerlukan konsensus... Jadi kenyataan itu perlu dilihat sebagai kenyataan peribadi."

Seorang penganalisis politik serantau Oh Ei Sun pula memuji Menteri Luar Malaysia itu kerana berani menyarankan supaya ketua junta Myanmar dilarang menyertai sidang kemuncak ASEAN dan memaklumkan bahawa beliau sedia berunding dengan kerajaan bayangan Myanmar.

"Saifuddin melakukan perkara yang betul iaitu meningkatkan tekanan terhadap junta yang enggan memberikan kerjasama," kata Oh dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura kepada BenarNews.

"Sekarang junta mungkin tidak begitu mesra dengan pelaburan dan perniagaan Malaysia di Myanmar. Tetapi itu adalah harga yang terpaksa dibayar untuk kepimpinan diplomatik. Malaysia juga mesti meyakinkan negara ASEAN lain yang berfikiran serupa supaya mengambil pendirian tegas seperti itu. Contohnya Indonesia."

Seorang lagi penganalisis Azmi Hassan pula berkata langkah mengiktiraf kerajaan separa awam Myanmar akan memberikan faedah kepada ASEAN.

"Langkah ASEAN yang mengancam untuk mengiktiraf NUG akan memberi tekanan kepada junta tentera supaya mengotakan janji mereka kepada ASEAN pada April lepas," katanya kepada BenarNews.

"Meskipun langkah itu akan menyebabkan junta berang, ASEAN akan memperoleh rakan dialog yang kuat dengan melibatkan NUG."

'Myanmar Perlu Berundur’

Wakil ASEAN Erywan dalam kenyataan pada Rabu menyebut bahawa negara itu belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaannya untuk "berjumpa semua pihak yang berkenaan" termasuk pemimpin kerajaan awam yang dipenjarakan seperti yang dipersetujui dalam Konsensus Lima Perkara.

"... kekhuatirannya di sini ialah setakat Isnin, malah sehingga hari ini, sebenarnya tidak ada kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara," kata Erywan merujuk kepada mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN yang diadakan pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, jurucakap junta Zaw Min Tun memberitahu RFA bahawa "amat sukar untuk kami mengadakan perbincangan dengan kumpulan yang kami telah isytiharkan sebagai haram" atau mereka yang kini dibicarakan.

"Saya tidak pernah mendengar mana-mana kerajaan membenarkan wakil asing bertemu individu yang sedang dibicarakan atau wakil kumpulan haram kecuali dalam situasi yang amat khusus," katanya.

Beliau merujuk kepada anggota NLD yang dipenjarakan termasuk Aung San Suu Kyi.

Saintis politik dan ahli akademik Bridget Welsh percaya pemimpin junta Myanmar mesti dikecualikan daripada sidang kemuncak ASEAN bulan ini.

"Mengecualikan ketua junta yang juga pembunuh serta penjenayah kemanusiaan Min Aung Hlaing daripada sidang kemuncak itu akan menjadi langkah yang penting bagi kredibiliti ASEAN," kata Welsh menerusi laman Twitter.

RFA menyoal jurucakap junta mengenai impak yang mungkin berlaku kepada pentadbiran tentera Myanmar sekiranya ketua mereka dilarang menyertai sidang kemuncak itu.

"Selain kritikan daripada komuniti antarabangsa, tidak ada (kesan lain)," katanya.

"Mungkin ada, sedikit sebanyak, kesan terhadap sesetengah projek ASEAN atau mesyuarat atau kerja yang sedang dilaksanakan dengan negara lain," kata beliau.

Bagaimanapun, Eric Paulsen yang juga wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi, mengambil maklum apa yang berlaku selepas kerajaan junta Myanmar memungkiri janjinya pada 2006 untuk membenarkan wakil ASEAN bertemu Aung San Suu Kyi yang sedang dipenjarakan ketika itu.

"Pada 2006, apabila tiba gilirannya untuk menjadi Pengerusi (ASEAN), Myanmar terpaksa memberi laluan dan menyerahkan jawatan itu kepada Filipina susulan ugutan untuk memboikot mesyuarat ASEAN," kata Paulsen di Twitter.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.