ASEAN Perlu Galakkan Keamanan, Elak Terjebak Persaingan Kuasa Besar, Kata Pemimpin
2020.11.12
Jakarta
Negara-negara Asia Tenggara mesti berusaha mengekalkan keamanan dan tidak terjebak dalam persaingan antara "kuasa besar" yang meningkatkan ketegangan selain cuba mengembangkan pengaruhnya di rantau ini, kata pemimpin-pemimpin pada sidang kemuncak blok ASEAN secara maya yang bermula pada Khamis.
Vietnam, selaku pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara pada tahun ini, menjadi tuan rumah bagi mesyuarat pemimpin 10 negara anggota itu yang berlangsung sehingga Ahad. Keamanan di Laut China Selatan dan usaha bersama untuk memerangi pandemik koronavirus serta kesannya terhadap ekonomi di seluruh rantau itu dijangka menjadi tumpuan utama dalam perbincangan para pemimpin itu.
"Tahun ini, keamanan dan keselamatan berdepan ancaman yang lebih besar berikutan risiko daripada tata laku negara, persaingan dan perbalahan yang sukar diramalkan antara kuasa-kuasa besar," kata perdana menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37.
Beliau berkata persatuan serantau itu juga "secara konsisten menyatakan pendirian berprinsip dan komitmen kukuhnya untuk mengubah Laut China Selatan, iaitu laluan perairan yang penting bagi rantau itu dan dunia, menjadi lautan yang aman, stabil dan selamat untuk pergerakan barangan secara bebas. "
Ketegangan kian meningkat di Laut China Selatan pada tahun ini, dengan retorik berterusan Amerika Syarikat dan China pada Julai diikuti pertambahan aktiviti ketenteraan oleh kuasa besar yang saling bersaing itu di perairan yang menjadi pertikaian banyak negara tersebut.
ASEAN "tidak akan terjebak dalam persaingan sedemikian dan akan dapat memainkan peranan pentingnya bagi membangunkan kerjasama serantau," kata Joko "Jokowi" Widodo, presiden Indonesia, negara terbesar di Asia Tenggara, semasa menyampaikan ucapannya pada sidang kemuncak itu.
"Kita semua, tiada yang terkecuali, mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan," tegasnya.
Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pula berpendapat bahawa kehadiran kapal perang dan kapal asing di Laut China Selatan boleh menyebabkan "silap percaturan sehingga menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu."
Pada masa sama, para pemimpin itu menegaskan pentingnya Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-Undang Laut, atau UNCLOS, dalam mengemudi tata laku maritim.
“Keputusan Timbang Tara 2016 di Laut China Selatan adalah tafsiran autoritatif mengenai penerimaan UNCLOS. Ia kini adalah sebahagian daripada undang-undang antarabangsa. Dan, kepentingannya tidak dapat dikurangkan atau diabaikan oleh mana-mana negara pun, tidak kira berapa besar dan hebat pun ia, ” kata presiden Filipina Rodrigo Duterte.
Selain China, enam negara Asia juga mempunyai tuntutan wilayah atau sempadan maritim di Laut China Selatan yang bertindih dengan tuntutan Beijing di kawasan itu. Negara berkenaan ialah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam. Walaupun Indonesia menganggap ia tidak terlibat dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing menuntut hak bersejarah bagi beberapa -bahagian laut itu yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.
Pada hari pertama sidang kemuncak empat hari itu, para pemimpin negara-negara ASEAN juga menyatakan bahawa usaha menamatkan pandemik global serta memperkemaskan usaha kemanusiaan dan ekonomi yang dilaksanakan perlulah menjadi keutamaan negara-negara berkenaan.
“Apa yang lebih penting ialah semua negara perlukan keamanan dan kestabilan untuk menjalinkan kerjasama dan pembangunan selain rakyat memerlukan perhatian, bantuan dan perlindungan dalam berdepan masa penuh sukar ini, ” kata Nguyen Phu Trong, setiausaha agung Parti Komunis Vietnam.
"Ini hanya akan dapat dilakukan jika konflik serta perbalahan berhubung kepentingan dan perbezaan pemikiran dan pendekatan diselesaikan dengan rasa percaya, tujuan yang konstruktif serta penuh dan muhibah daripada semua pihak terlibat." tambahnya.
Lebih dari 450,000 kes penyakit koronavirus dikesan di Indonesia, dengan negara kepulauan itu mendahului semua negara di Asia Timur dalam jumlah kes dan kematian COVID-19 yang berpunca daripada virus berkenaan, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.
Phuc pula berkata bahawa blok serantau itu dan Jepun telah bersetuju untuk menubuhkan Pusat ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baru Muncul supaya rantau itu dapat lebih bersiap siaga dalam menghadapi wabak pada masa depan.
Sidang kemuncak berasingan
Mesyuarat pada Khamis turut melibatkan mesyuarat berasingan dengan pemimpin China, India, Jepun dan Korea Selatan.
Perdana Menteri China Li Keqiang mengemukakan cadangan kerjasama dengan persatuan serantau itu bagi kesihatan awam, ekonomi dan perdagangan, ekonomi digital dan pembangunan lestari, menurut laporan agensi berita China, Xinhua.
"China akan sentiasa aktif mempertimbangkan keperluan negara-negara ASEAN bagi mendapatkan vaksin COVID-19 dan mengambil langkah praktikal untuk mempromosikan ketersediaan dan kemampuan vaksin itu," kata Li.
Sidang kemuncak ASEAN-AS dijadualkan pada Sabtu. Vietnam belum mengesahkan sama ada Presiden Donald Trump akan menyertai mesyuarat dalam talian itu, lapor Associated Press. Trump menghadiri sidang kemuncak itu pada 2017 tetapi menghantar wakil pada dua mesyuarat selepas itu.
Petugas BeritaBenar di Manila, Kuala Lumpur dan Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.