ASEAN gesa ‘kekangan maksimum’ selepas China lancar misil sekitar Taiwan

John Bechtel
2022.08.04
Washington
ASEAN gesa ‘kekangan maksimum’ selepas China lancar misil sekitar Taiwan Sebutir misil dilancarkan dari satu lokasi di China seperti dalam imej ini yang diambil daripada video CCTV stesen penyiar rasmi selepas kerajaan negara itu mengumumkan bahawa ia telah melepaskan tembakan di Selat Taiwan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan yang menyebabkan ketegangan semakin memuncak di wilayah itu, 4 Ogos 2022
[CCTV melalui AP]

Negara-negara di Asia Tenggara menggesa agar “kekangan maksimum” dilaksanakan selepas China bertindak melancarkan misil balistik ke perairan Taiwan pada Khamis manakala negara Barat pula meminta Beijing agar tidak meningkatkan lagi ketegangan sedia ada susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke pulau itu.

Menteri Luar China Wang Yi, yang berada di ibu negara Kemboja bagi menghadiri mesyuarat dengan rakan ASEAN dan negara lain, menyifatkan latihan tembakan secara langsung selama lima hari itu yang belum pernah berlaku sebelum ini sebagai “langkah yang wajar dan sah bagi melindungi kedaulatan serta integriti wilayahnya” kerana China sudah beberapa kali menzahirkan perasaan berangnya berhubung lawatan Pelosi ke Taipei.

Lebih 100 pesawat dan 10 kapal perang mengambil bahagian pada Khamis dalam latihan tembakan secara langsung yang akan diadakan sehingga Ahad ini, lapor media rasmi China. China memulakan latihan itu sehari setelah Pelosi meninggalkan Taiwan selepas menjadi pegawai tertinggi Amerika yang melawat pulau itu dalam tempoh 25 tahun.

Kementerian Pertahanan Taiwan memberikan maklum balas dengan menghantar jet-jet pejuang untuk memberi amaran kepada 22 pesawat China yang terbang melintasi zon pertahanan udaranya dan turut menembak suar bagi menghalau empat dron yang terlibat dalam latihan itu, menurut Reuters.

Menteri Luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang sedang bermesyuarat di Phnom Penh minggu ini serta diplomat tinggi dari China, Amerika Syarikat dan beberapa kuasa lain, telah mengeluarkan kenyataan bersama yang melahirkan kebimbangan mengenai ketegangan di Selat Taiwan.

Tanpa menamakan China atau AS, mereka berkata ASEAN bimbang dengan ketaktentuan yang “mampu menjadikan keadaan di rantau itu tidak stabil dan akhirnya membawa kepada salah anggap, konfrontasi serius, konflik secara terbuka dan kesan yang tidak dapat diramalkan dalam kalangan kuasa-kuasa besar.”

“ASEAN menggesa agar kekangan maksimum dilaksanakan dan kuasa-kuasa besar yang terbabit tidak melakukan sebarang tindakan berbentuk provokasi,” menurut kenyataan itu.

“Kita seharusnya mengambil tindakan bersama dan ASEAN bersedia memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog secara aman antara semua pihak termasuk melalui penggunaan mekanisme yang dipelopori ASEAN untuk meredakan ketegangan, menjaga keamanan, keselamatan dan pembangunan di rantau kita,” kata Menteri-Menteri Luar ASEAN.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken, yang berada di Phnom Penh, pada Khamis berkata beliau tidak mahu melihat China mewujudkan satu krisis dalam usaha meningkatkan aktiviti ketenteraan di rantau itu dan Amerika Syarikat membantah “sebarang usaha sebelah pihak untuk menukarkan status quo” Taiwan.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi pula berkata negara itu “bimbang dengan peningkatan persaingan antara kuasa-kuasa besar.”

“Jika persaingan ini tidak diuruskan dengan baik, ia akan membawa kepada konflik secara terbuka yang sudah pasti mengancam keamanan dan kestabilan termasuk di Selat Taiwan,” katanya.

Di Manila, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina turut menzahirkan kebimbangan mengenai ketegangan yang membabitkan Taiwan.

“Diplomasi dan dialog mesti diutamakan,” katanya.

220804-MY-china-militaryDrills-taiwan09_map.jpg

Kemboja, yang merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, mengeluarkan kenyataannya sendiri dengan mengumumkan bahawa ia telah “secara konsisten dan tegas mematuhi” Dasar Satu China, yang mengiktiraf Beijing sebagai kerajaaan tunggal China.

Amerika Syarikat juga berpegang kepada dasar ini, tetapi mengekalkan hubungan tidak rasmi yang rapat dengan Taiwan dan wajib mengikut undang-undang untuk memberikan sokongan dari segi pertahanan. Washington hanya mengakui tuntutan kedaulatan China ke atas Taiwan namun tidak mengendorsnya.

Bagi pihaknya, Kemboja berkata ia menyifatkan isu berkaitan Taiwan, Hong Kong, Tibet dan Xinjiang sebagai “berada di bawah hak kedaulatan Republik Rakyat China.”

Wang: Pelosi ‘tidak bertanggungjawab’

Sementara itu, Wang mengambil pendirian tegas terhadap apa yang disifatkannya sebagai usaha menentang Beijing. Beliau membidas Pelosi kerana melakukan lawatan ke Taiwan dan menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak siuman, tidak bertanggungjawab serta amat tidak rasional," lapor stesen penyiar rasmi China CCTV.

Menteri Luar China itu juga menolak kenyataan pemimpin-pemimpin Kumpulan G7 (G7) pada Rabu yang melahirkan kebimbangan mengenai cadangan mengadakan latihan tembakan secara langsung.

“Tiada justifikasi untuk menggunakan lawatan sebagai alasan kepada aktiviti ketenteraan yang agresif di Selat Taiwan. Adalah perkara biasa dan rutin bagi penggubal undang-undang dari negara kami untuk melancong ke peringkat antarabangsa. Tindak balas eskalatori PRC berisiko meningkatkan ketegangan dan menjejaskan kestabilan rantau ini," kata G7.

Wang mendakwa G7, yang turut dianggotai Amerika Syarikat dan Jepun, mengabaikan impak negatif lawatan Pelosi itu.

“Ia secara tidak berasas mengkritik China kerana mengambil langkah sedemikian, yang merupakan langkah yang munasabah dan sah untuk menjaga kedaulatan serta integriti wilayahnya,” Kementerian Luar China memetik Wang sebagai berkata ketika membalas kenyataan G7.

Wang juga mencabar AS agar turut serta dalam pelan Beijing.

“Amerika Syarikat tidak seharusnya bermimpi untuk menghalang penyatuan semula China. Taiwan adalah sebahagian dari China. Penyatuan semula China yang sepenuhnya adalah trend zaman dan sejarah yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

220804-my-ch-inside.jpeg.png

Setiausaha Negara AS Antony Blinken bertemu dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell Fontelles di Phnom Penh, Kemboja semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan, 4 Ogos 2022. [AP/Andrew Harnik, Pool] 

'Kepentingan yang berkekalan dalam keamanan'

Pada Khamis, diplomat tertinggi Washington mengulangi sokongan kerajaan Amerika kepada Taiwan dan pada masa sama, kekal komited terhadap Dasar Satu China.

"Amerika Syarikat terus memiliki kepentingan yang berkekalan dalam keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan," kata Antony Blinken dalam kenyataan pembukaan pada mesyuarat ASEAN yang disokong oleh Retno Marsudi.

"Kami menentang sebarang usaha unilateral untuk mengubah status quo terutama dengan kekerasan," katanya. "Dan saya ingin menekankan [bahawa] pendirian kami tidak akan berubah."

Beliau juga tidak mahu China "mewujudkan krisis atau mencari alasan untuk meningkatkan aktiviti ketenteraannya secara agresif," menurut transkrip sidang media bersamanya dengan Retno.

“Kami dan negara-negara di seluruh dunia percaya bahawa peningkatan ketegangan itu tidak menguntungkan mana-mana pihak dan boleh membawa akibat yang tidak diingini serta tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa termasuk anggota ASEAN dan China.”

Blinken berkata para pegawai AS telah menghubungi rakan sejawat mereka dari China sejak beberapa hari lepas untuk menyampaikan mesej ini.

“Mengekalkan kestabilan rentas selat adalah demi kepentingan semua negara di rantau ini termasuk semua rakan kongsi kami dalam ASEAN,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.