Pemimpin ASEAN Bertemu, Desak Dihentikan Segera Keganasan Di Myanmar

Namun, gesaan pemimpin Indonesia dan Malaysia agar Naypyidaw membebaskan tahanan politik tidak pula disenaraikan dalam konsensus tindakan ASEAN.
Ahmad Syamsudin & Ronna Nirmala
2021.04.24
Jakarta
Pemimpin ASEAN Bertemu, Desak Dihentikan Segera Keganasan Di Myanmar Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo (dua dari kiri) dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (pertama dari kanan) bersama-sama dengan para pemimpin dan pegawai negara-negara anggota ASEAN pada sidang kemuncak khas mengenai Myanmar di ibu pejabat badan serantau itu di Jakarta, 24 April 2021.
[Ihsan Istana Presiden Indonesia]

Pemimpin-pemimpin Asia Tenggara mendesak supaya "dihentikan segera" pembunuhan di Myanmar serta memulakan rundingan diusahakan ASEAN melibatkan regim tentera dan kerajaan bayangan awam negara itu, ketika mereka dan pemimpin junta Myanmar mengadakan pertemuan dalam sidang kemuncak khas di Jakarta pada Sabtu bagi membincangkan mengenai pergolakan yang berlaku di negara itu selepas berlakunya rampasan kuasa.

Pernyataan pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat sehari itu, yang berlangsung kira-kira tiga jam, menyatakan bahawa ASEAN akan melantik seorang utusan khas untuk memudahkan rundingan dalam usaha mencari "penyelesaian damai demi kepentingan rakyat" di Myanmar.

Menurut pernyataan itu, badan serantau berkenaan juga sepakat untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

"Kami, sebagai sebuah keluarga ASEAN, telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai perkembangan di Myanmar baru-baru ini dan menzahirkan kebimbangan kami berhubung situasi di negara itu, termasuklah mengenai laporan kematian dan meningkatnya keganasan,” menurut Pernyataan Pengerusi ASEAN itu yang dkeluarkan oleh Brunei, yang kini merupakan penyandang jawatan pengerusi secara penggiliran badan serantau itu.

Dalam usaha badan serantau itu "untuk mengukuhkan solidariti dan ketahanan serantau, kami mengulangi bahawa kestabilan politik di negara-negara anggota ASEAN adalah amat penting bagi mencapai matlamat mewujudkan Komuniti ASEAN yang aman, stabil dan makmur," menurut pernyataan itu.

Selain itu, ia menyatakan bahawa negara-negara anggota ASEAN juga memperakukan komitmen menyeluruh terhadap prinsip-prinsip yang termaktub dalam piagam badan serantau berusia 54 tahun itu “termasuk mematuhi kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan, menghormati kebebasan asasi serta menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia. "

"Konsensus Lima Perkara" mengenai Myanmar yang disepakati oleh 10 negara anggota ASEAN itu pula mendesak supaya "dihentikan segera keganasan" dengan semua pihak mengambil langkah ‘bertahan dan bertenang’; mengadakan dialog konstruktif antara semua pihak terbabit; melantik seorang utusan khas pengerusi ASEAN yang dibantu oleh setiausaha agung badan serantau itu dalam memudahkan perantaraan proses dialog; memberikan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan oleh ASEAN; dan mengadakan lawatan ke Myanmar oleh delegasi ASEAN diketuai oleh utusan khas untuk bertemu dengan semua pihak berkenaan.

Namun, konsensus lima perkara itu tidak menyenaraikan mengenai pembebasan tahanan politik Myanmar di mana presiden Indonesia - negara terbesar dalam ASEAN - dan Perdana Menteri Malaysia telah mendesak tindakan itu semasa mereka masing-masing berucap pada sidang kemuncak khas tersebut pada Sabtu.

Pernyataan itu, bagaimanapun, adalah yang paling lantang disuarakan ASEAN setakat ini mengenai krisis di Myanmar, dan konsensus yang disepakati itu menampilkan tindakan yang jarang dilakukan berkaitan prinsip tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara anggota badan serantau itu.

Walaupun pernyataan itu menyatakan bahawa "keluarga ASEAN" telah "mencapai kesepakatan" berhubung lima perkara tersebut, namun tidak diketahui apakah reaksi Jeneral Kanan Min Aung Hlaing iaitu pemimpin junta Myanmar, yang pasukannya telah membunuh ratusan penunjuk perasaan awam sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu menggulingkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi.

Min Aung Hlaing tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi, menurut laporan Agence France-Presse.

Sidang kemuncak khas itu, yang merupakan mesyuarat bersemuka peringkat tinggi pertama dalam kalangan pemimpin ASEAN sejak pandemik koronavirus menular awal tahun lalu, tidak dibuka kepada media kerana mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan COVID-19.

"Ini di luar jangkaan kami," kata Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin kepada pemberita selepas sidang kemuncak itu.

"Kami berusaha untuk tidak menuduh pihaknya terlalu banyak kerana kami tidak kisah siapa yang menyebabkan masalah itu," lapor Reuters yang memetik Muhyiddin. "Kami hanya menekankan bahawa keganasan harus dihentikan. Bagi beliau, pihak lain yang menyebabkan masalah itu. Namun, beliau bersetuju bahawa keganasan perlu dihentikan."

Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo lantang dalam ucapannya pada mesyuarat itu, yang kemudian dinyatakan beliau dalam sidang media selepas sidang kemuncak itu.

"Situasi di Myanmar adalah sesuatu yang tidak boleh diterima langsung dan ia tidak boleh berlanjutan," katanya.

"Keganasan mesti dihentikan dan demokrasi, kestabilan dan keamanan di Myanmar perlu dipulihkan segera," kata Jokowi kepada wartawan.

Jokowi berkata pada mesyuarat itu, Indonesia mendesak supaya junta Myanmar membuat tiga komitmen iaitu menghentikan penggunaan pasukan keselamatannya, memulakan dialog inklusif di antara pihak terbabit dengan membebaskan serentak kesemua tahanan politik dan membenarkan bantuan kemanusiaan disampaikan di bawah penyelarasan setiausaha agung ASEAN.

"Indonesia komited untuk memastikan komitmen ini diteruskan agar krisis politik di Myanmar dapat diselesaikan dengan segera," kata Jokowi.

Dalam ucapannya pada sidang kemuncak khas itu, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin menyuarakan sokongan terhadap ucapan Jokowi.

"Selain menghentikan segera keganasan, saya juga menggesa supaya diadakan dialog politik yang inklusif dan penuh bermakna yang hanya dapat dilakukan dengan pembebasan tahanan politik pada kadar segera dan tanpa syarat," kata Muhyiddin.

"Ini akan menjadi satu permulaan yang baik dan mengurangkan tekanan antarabangsa terhadap Myanmar dan ASEAN," katanya.

Muhyiddin berkata pengerusi dan setiausaha agung ASEAN mesti diberi kebenaran untuk ke Myanmar bagi bertemu dengan semua pihak berkenaan.

"Ini sangat diperlukan bagi membolehkan ASEAN melakukan pemantauan yang jujur dan tidak berat sebelah. Sekiranya ASEAN dibenarkan masuk, ini dapat menunjukkan kepada dunia bahawa ia berada di landasan yang betul dalam membantu Myanmar memulihkan keadaan di negara itu,” kata pemimpin Malaysia itu.

Para pemimpin Indonesia dan Malaysia telah menggesa sidang kemuncak khas itu diadakan setelah pihak junta gagal mematuhi desakan supaya dihentikan keganasan dan membebaskan tahanan politik termasuk Aung San Suu Kyi.

210424-MinAungHlaing.jpeg

Jeneral Kanan Myanmar Min Aung Hlaing (kiri) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang di pinggir Jakarta, 24 April 2021. [Gambar edaran daripada Istana Presiden Indonesia]

Min Aung Hlaing tiba di lapangan terbang Jakarta dengan penerbangan Myanmar Airways International pada awal tengah hari.

Jeneral itu menuju ke ibu pejabat Sekretariat ASEAN di mana sidang kemuncak khas itu diadakan, selepas menjalani saringan COVID-19, menurut pejabat presiden Indonesia.

Selain pemimpin junta itu, negara-negara lain ASEAN diwakili oleh pemimpin tertinggi mereka kecuali Filipina, Thailand dan Laos yang menghantar menteri luar masing-masing.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, menyatakan bahawa penularan pandemik COVID-19 yang semakin buruk di negara masing-masing adalah sebab mengapa mereka tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu.

Pada Sabtu juga, Christine Schraner Burgener iaitu utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Vietnam Bui Thanh Son di luar sidang kemuncak itu, lapor media Vietnam. Utusan PBB itu mengunjungi ibu negara Indonesia tersebut kerana mahu bertemu para pemimpin ASEAN untuk perbincangan yang "menumpukan kepada penyelesaian politik" bagi krisis di Myanmar, kata badan dunia itu pada awal minggu ini.

Kumpulan hak asasi manusia turut mengecam ASEAN kerana membenarkan pemimpin junta Myanmar mewakili negara itu pada sidang kemuncak berkenaan dan mengecualikan pegawai daripada Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang baru dibentuk untuk menghadirinya.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan pada lewat Sabtu di laman Facebook, NUG menyatakan bahawa pihaknya menyambut baik "berita yang menggembirakan bahawa para pemimpin ASEAN telah mencapai kata sepakat agar keganasan tentera Myanmar mesti dihentikan dan tahanan politik dibebaskan."

Tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada kerajaan bayangan itu mengulas pernyataan pengerusi ASEAN atau ucapan Jokowi.

"Kami menghargai kelantangan Presiden Widodo Indonesia dalam mendesak pembebasan wira-wira kami," kata Dr. Sasa, menteri kerjasama antarabangsa dan jurucakap NUG dalam kenyataan itu.

"Kami mengalu-alukan tindakan tegas ASEAN untuk menyusuli kesepakatan ini dan berusaha mengembalikan demokrasi dan kebebasan bagi rakyat kami dan rantau ini."

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.