Mesyuarat Tergempar ASEAN Bincang Halang Ketua Junta Myanmar Daripada Hadiri Sidang Kemuncak

Pengumuman itu dibuat selepas utusan khas badan serantau itu tidak dibenarkan bertemu para pemimpin Myanmar yang dipenjarakan pada awal minggu ini.
Shailaja Neelakantan
Washington
2021-10-14
Share
Mesyuarat Tergempar ASEAN Bincang Halang Ketua Junta Myanmar Daripada Hadiri Sidang Kemuncak Penunjuk perasaan mendesak pelaksanaan demokrasi di Myanmar ketika mereka menyertai satu demonstrasi di luar bangunan sekretariat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, 24 April 2021.
[AFP]

Menteri-menteri luar Asia Tenggara akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat untuk membincang tentang menghalang ketua junta Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN yang akan datang, kata duta besar Indonesia bagi badan serantau itu pada Khamis.

Berita mengenai mesyuarat itu diketahui selepas jurucakap junta Myanmar mengesahkan bahawa Erywan Yusof, utusan khas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara, telah "menangguhkan" perjalanannya ke Myanmar yang dijadualkan pada Selasa lalu.

Perjalanan itu ditangguhkan kerana kepimpinan tentera Myanmar tidak mengizinkan Erywan bertemu dengan semua pihak berkenaan termasuk pemimpin Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang digulingkan Aung San Suu Kyi, kata Duta Besar Indonesia bagi ASEAN Ade Padmo Sarwono.

"Mesyuarat ini akan diadakan secara tertutup dan terhad kepada perbincangan mengenai isu Myanmar, terutamanya maklumat yang diperoleh daripada utusan khas Dato Erywan," kata Ade kepada BenarNews, ketika ditanya sama ada badan serantau itu telah membuat keputusan mengenai kehadiran Min Aung Hlaing pada sidang kemuncak ASEAN yang akan diadakan pada 26 hingga 28 Oktober.

Beliau berkata Min Aung Hlaing tidak boleh diundang ke sidang kemuncak ASEAN kerana badan serantau itu tidak mengiktiraf pentadbiran junta.

Ade enggan mengulas sama ada diplomat yang dilantik oleh junta Myanmar sebagai menteri luar akan menghadiri mesyuarat tergempar pada Jumaat.

Tentera Myanmar, yang diketuai oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, menggulingkan kerajaan awam NLD yang dipilih rakyat pada 1 Februari setelah mendakwa adanya penipuan dalam pilihan raya umum tahun lalu. Sejak rampasan kuasa itu, pasukan keselamatan Myanmar telah membunuh hampir 1,170 orang yang kebanyakannya penunjuk perasaan anti rampasan kuasa.

Minggu lalu, utusan khas ASEAN itu memberitahu wartawan bahawa junta Myanmar "membelakangi" konsensus lima perkara yang telah dipersetujui oleh Min Aung Hlaing ketika beliau dan pemimpin negara-negara lain ASEAN bertemu di Jakarta pada 24 April.

Mesyuarat tidak dijadualkan pada Jumaat bagi membincangkan mengenai penyertaan Min Aung Hlaing, telah dicadangkan oleh Brunei iaitu pengerusi ASEAN, kata Ade.

Sejak rampasan kuasa, para pegawai Myanmar yang dilantik oleh tentera telah menyertai semua mesyuarat sub ASEAN dan menyiarkan gambar-gambar mengenai pertemuan maya itu dalam media negara dan media sosial.

Myanmar, yang menjadi sebahagian daripada 10 anggota ASEAN pada 1997, berada dalam kedudukan serupa dalam badan serantau itu sebelum ini.

Ia berlaku semasa gilirannya menyandang jawatan pengerusi ASEAN pada 2006, di mana ketika itu, negara berkenaan berada di bawah pemerintahan junta tentera. Tetapi, ia dipujuk supaya menyerahkan kedudukan itu kepada Filipina selepas negara-negara Barat mengancam untuk memboikot mesyuarat-mesyuarat ASEAN.

NLD nafi dakwaan junta

Sementara itu, pihak junta tidak mengulas mengenai mesyuarat yang akan diadakan minggu ini, tetapi setelah berita mengenai perkara itu tersebar pada Jumaat, kementerian luar negeri memuat naik satu kenyataan di laman Facebook.

Dengan memperincikan kronologi interaksinya dengan utusan khas ASEAN itu, kenyataan tersebut pada dasarnya menyatakan bahawa kunjungan utusan khas itu ke Myanmar tidak dapat dilakukan kerana kementerian luar negeri tidak bersetuju dengan beberapa permintaan tertentu beliau.

"Myanmar telah menunjukkan fleksibiliti dalam semua cara yang mungkin untuk memudahkan lawatan utusan khas itu ke Myanmar," menurut kenyataan itu.

"Memandangkan Myanmar lebih mengutamakan keamanan dan ketenangan di negara ini, beberapa permintaan yang melampaui batas undang-undang sedia ada tidak mungkin dapat dilayani. Dalam hal ini, utusan khas dan masyarakat antarabangsa perlulah memahami situasi seperti ini."

Terdahulu, jurucakap junta Zaw Min Tun memberitahu Radio Free Asia iaitu entiti BenarNews bahawa utusan khas itu boleh bertemju anggota semua parti yang tidak menghadapi perbicaraan "termasuk anggota NLD."

Beliau berkata suruhanjaya pilihan raya yang dilantik oleh junta Myanmar telah mengundang "semua parti utama" untuk menghadiri mesyuarat pada 12 Oktober tetapi U. Bo Oo, yang merupakan pemimpin kanan NLD, menafikan kenyataannya itu.

“Saya belum pernah mendengar bahawa Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) turut diundang," kata naib pengerusi jawatankuasa perbandaran NLD kepada RFA.

Tanpa merujuk kepada perjalanan atau pembatalan kunjungannya itu, utusan khas ASEAN telah mengeluarkan satu kenyataan pada Selasa bahawa beliau "mengulangi komitmennya untuk melakukan kunjungan ke Myanmar, dan diterima untuk mendapatkan akses kepada semua pihak yang berkaitan bagi memenuhi peranannya seperti yang diamanatkan dalam kesepakatan konsensus lima perkara. "

Perkara kelima konsensus itu menyatakan: "Utusan khas dan delegasi akan mengunjungi Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan."

Di Washington pada Khamis, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken juga menegaskan bahawa rejim Myanmar harus bertanggungjawab terhadap konsensus lima perkara ASEAN.

Dalam satu panggilan telefon dengan Erywan dalam kapasitinya sebagai menteri luar negeri kedua Brunei, Blinken mengulangi tentang perlunya "memudahkan kunjungan yang bermakna oleh Menteri Luar Negeri II Erywan ke Myanmar yang merangkumi perbincangan dengan semua pihak yang berkepentingan."

Asean-pic-3.jpg

Para pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menghadiri mesyuarat untuk membincangkan mengenai krisis Myanmar di Jakarta, 24 April 2021. [Edaran Istana Presiden Indonesia melalui AFP]

Pemimpin ASEAN ‘mungkin perlu campur tangan’

Tiga negara anggota ASEAN mungkin bersetuju untuk tidak menjemput pemimpin kudeta Myanmar menghadiri sidang kemuncak badan serantau itu pada akhir bulan ini, berdasarkan komen diplomat tertinggi mereka baru-baru ini.

Pada Khamis, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin berkata kredibiliti ASEAN akan dipersoalkan sekiranya ia terus membiarkan ketua dan wakil junta menghadiri mesyuarat-mesyuarat ASEAN.

"Kita boleh terus membiarkan... mereka [junta Myanmar] berada pada jarak yang jauh, tetapi ... sekiranya kita melakukannya, sekiranya kita mengalah dengan cara apa sekali pun, kredibiliti kita sebagai organisasi serantau yang sebenarnya akan pudar," kata Locsin dalam perbincangan dengan Lowy Institute, sebuah badan pemikir Australia, pada Jumaat.

Sekiranya ASEAN tidak menghalang wakil junta menghadiri mesyuarat-mesyuaratnya, "kami akan dilihat sebagai satu kumpulan yang selalu bersetuju dengan satu sama lain mengenai perkara-perkara yang tiada nilainya," kata Locsin.

Menteri luar Malaysia dan Indonesia pada minggu lalu menyatakan bahawa Min Aung Hlaing tidak harus menghadiri sidang kemuncak ASEAN itu.

Namun, ASEAN membuat keputusan berdasarkan konsensus, oleh itu, menghalang pemimpin junta menghadiri sidang kemuncak itu "akan menjadi jambatan penting untuk diseberangi oleh ASEAN," kata Thomas Daniel, penganalisis di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia.

"Negara-negara anggota yang terus berdegil dengan berpegang kepada keselesaan tanpa campur tangan, menghalang pelaksanaan tindak balas yang lebih efektif terhadap kekerasan yang berlaku susulan rampasan kuasa, berkemungkinan terus melakukan apa yang mereka boleh untuk menjaga status quo itu," kata Daniel kepada BenarNews.

Seorang penganalisis lain, Aaron Connelly, dari Institut Kajian Strategik Antarabangsa itu pula berkata bahawa Menteri-menteri luar sahaja tidak mungkin dapat membuat keputusan untuk menghalang kehadiran Min Aung Hlaing.

"Pemimpin [negara-negara anggota] mungkin perlu campur tangan dan mencari jalan penyelesaian terutamanya Sultan [Brunei] sebagai pengerusi ASEAN," kata Connelly dalam catatannya di Twitter.

Tria Dianti di Jakarta dan Noah Lee di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh