'Amat terkutuk': ASEAN kecam Myanmar laksanakan hukuman mati

Malaysia berkata junta Myanmar mempersendakan konsensus lima perkara yang disepakati badan serantau itu dalam usaha mengembalikan demokrasi ke negara bergolak itu.
Staf BenarNews
2022.07.26
Kuala Lumpur, Jakarta & Bangkok
'Amat terkutuk': ASEAN kecam Myanmar laksanakan hukuman mati Rakyat Myanmar melaungkan kata-kata kecaman terhadap junta negara mereka semasa menyertai perhimpunan di luar Kedutaan Myanmar di Bangkok bagi membantah pelaksanaan hukuman mati Naypyidaw ke atas aktivis demokrasi veteran Ko Jimmy dan tiga lagi ahli politik, 26 Julai 2022.
[Subel Rai Bhandari/BenarNews]

ASEAN pada Selasa mengeluarkan kecaman keras terhadap junta Myanmar, dengan menyatakan bahawa tindakannya melaksanakan hukuman mati terhadap empat tahanan politik sebagai "amat terkutuk" dan menunjukkan "tiadanya keinginannya" untuk mengembalikan negara bergolak itu kepada keadaan normal.

Malaysia, anggota yang lantang dalam badan serantau itu, menyifatkan hukuman mati itu sebagai "jenayah terhadap kemanusiaan" dan menegaskan bahawa tiada wakil rejim tentera Myanmar dibenarkan menghadiri mana-mana mesyuarat ASEAN termasuk perhimpunan menteri-menteri luar yang akan diadakan pada 3 Ogos depan.

Sementara itu, pengerusi ASEAN bagi tahun depan, Indonesia, pula menyatakan bahawa tindakan junta itu menyebabkan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara "tidak percayakan" Myanmar, dengan wakil Hak Asasi Manusia Yuyun Wahyuningrum tertanya-tanya sama ada kedudukan anggota pemberontak dalam blok serantau itu kini goyah.

ASEAN dan negara-negara anggotanya menyertai bantahan global terhadap pelaksanaan hukuman mati itu oleh junta Myanmar, dengan pasukan keselamatannya telah membunuh lebih daripada 2,000 orang yang kebanyakannya penunjuk perasaan pro-demokrasi, sejak ia menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada 1 Feb tahun lepas.

220726-MY-ASEAN-inside2.jpg

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar Noeleen Heyzer berjalan untuk menghadiri sidang media bersama di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Malaysia, 26 Julai 2022. [Edaran Jabatan Penerangan Malaysia melalui AFP]

Junta Myanmar menghukum mati aktivis demokrasi veteran Ko Jimmy atau nama sebenarnya Kyaw Min Yu, bekas Ahli Parlimen Liga Kebangsaan untuk Demokrasi Phyo Zeya Thaw serta aktivis Hla Myo Aung dan Aung Thura Zaw, kemungkinan pada Sabtu lalu tetapi hanya mengumumkannya pada Isnin.

Mereka telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah tentera dan gagal dalam rayuan terhadap hukuman mati masing-masing. Pihak junta juga menolak kemungkinan memberikan pengampunan kepada semua tahanan yang dihukum.

Hukuman mati itu adalah yang pertama dilaksanakan di Myanmar sejak 1976 walaupun adanya rayuan daripada Perdana Menteri Kemboja dan pengerusi ASEAN Hun Sen kepada ketua junta Sen Jeneral Min Aung Hlaing pada 11 Jun lalu.

Pengerusi ASEAN itu berkata beliau "sangat kecewa" dengan pelaksanaan hukuman mati itu walaupun Hun telah mengemukakan rayuannya berhubung tindakan itu.

Pelaksanaan hukuman mati itu telah menjejaskan usaha “untuk mempercepatkan proses pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) iaitu membina kepercayaan dan keyakinan untuk mewujudkan dialog dalam kalangan semua pihak yang berkenaan, menamatkan keganasan dan meringankan penderitaan rakyat yang tidak bersalah ,” kata Kemboja selaku pengerusi ASEAN dalam satu kenyataan.

Junta Myanmar telah mengingkari konsensus lima perkara itu yang dipersetujuinya dengan ASEAN pada April tahun lalu dalam usaha mengembalikan negara itu ke landasan demokrasi. Konsensus itu menggesa supaya dihentikan keganasan; mengadakan dialog yang membina antara semua pihak; utusan khas ASEAN sebagai perantara rundingan itu; menyediakan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan ASEAN serta delegasi ASEAN mengadakan lawatan ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak terbabit.

Nampaknya junta Myanmar “sedang mempersendakan konsensus lima perkara itu,” kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah pada Selasa semasa sidang media bersama Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Myanmar Noeleen Heyzer. Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Heyzer di Kuala Lumpur.

"Saya percaya menteri-menteri luar yang bertemu di Phnom Penh pada 3 Ogos depan akan meneliti perkara itu," katanya kepada pemberita.

“Myanmar tidak sepatutnya dijemput untuk menghantar perwakilan politik ke semua mesyuarat peringkat menteri. Ini bagi menunjukkan bahawa kita amat serius dalam isu perwakilan politik. “

'Kecaman langsung' ASEAN

Indonesia juga menyatakan bahawa ia tidak boleh menerima tindakan Myanmar itu.

“Dengan pelaksanaan hukuman mati ini, ASEAN semakin tidak mempercayai Myanmar. Apakah Myanmar mempunyai niat baik untuk melaksanakan konsensus itu?” kata Yuyun Wahyuningrum, wakil Indonesia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia, kepada BenarNews.

“Apakah ada atau tidak implikasi yang lebih serius dalam ASEAN untuk Myanmar?”

Washington pula percaya sudah tiba masanya bagi ASEAN untuk mengambil tindakan, dengan jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price menyifatkan tindakan junta itu sebagai "kecaman langsung" blok serantau itu.

Hukuman mati itu, katanya, “merupakan kecaman langsung terhadap rayuan kepada junta dan didengar dunia daripada pengerusi ASEAN, iaitu Kemboja dalam hal ini, dan pemimpin ASEAN lain yang memberi amaran keras kepada junta supaya tidak melaksanakan hukuman mati itu,” katanya semasa taklimat jabatan itu pada Isnin.

Ahli akademik Kemboja Van Bunna turut bersetuju dengan pandangan Washington itu.

Felo penyelidik Van Bunna dari Pusat Kerjasama dan Keamanan Kemboja (memberitahu Perkhidmatan RFA Khmer pada 25 Julai).

“Pelaksanaan hukuman mati terhadap empat tahanan politik Burma mencerminkan bahawa kerajaan junta tidak menghormati dan memberi nilai kepada pengerusi ASEAN Kemboja, yang telah menggesa mereka untuk tidak melaksanakan hukuman mati terhadap tahanan politik,” kata felo penyelidik Pusat Kerjasama dan Keamanan Kemboja kepada Radio Free Asia (RFA). BenarNews merupakan sekutu RFA.

“Ia juga menunjukkan bahawa kerajaan junta tidak peduli tentang konsensus 5 perkara ASEAN. Pelaksanaan hukuman mati itu juga membuktikan bahawa kerajaan junta tidak peduli dengan apa yang komuniti antarabangsa katakan tentang mereka,” kata Van Bunna.

220726-MY-ASEAN-inside3.jpg

Seorang penunjuk perasaan Myanmar menunjukkan kemarahannya terhadap pelaksanaan hukuman mati junta ke atas empat individu yang menentangnya, semasa menyertai tunjuk perasaan di luar kedutaan Naypyidaw di Bangkok, 26 Julai 2022. [Subel Rai Bhandari/BenarNews]

Sementara itu, di Thailand, kira-kira 500 orang muda Thai dan Myanmar mengadakan tunjuk perasaan dengan berhimpun di luar Kedutaan Myanmar di Bangkok bagi membantah pelaksanaan hukuman mati itu. Penunjuk perasaan itu memegang bendera dan sepanduk Myanmar sambil melaungkan kata-kata yang menentang ketua junta Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Seorang daripada penunjuk perasaan itu, Saw Kyaw Aie Paing, 19, melarikan diri dari Myanmar bersama-sama ibunya selepas rampasan kuasa berlaku pada Februari 2021. Menurutnya beliau mahu masyarakat dunia menyokong rakyat Myanmar dengan memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka dan menggesa kerajaan Thailand supaya tidak berurusan dengan junta tentera.

Mengenai hukuman mati itu, kerajaan Thailand melalui jurucakap kementerian luar pada Selasa berkata bahawa ia "amat bimbang dengan perkara itu dan perkembangan lain yang boleh menjejaskan semua usaha ke arah mencapai keamanan."

220726-MY-ASEAN-inside4.jpg

Seorang penunjuk perasaan menyampaikan ucapan kepada orang ramai semasa satu perhimpunan di luar Kedutaan Myanmar di Bangkok bagi mengecam hukuman mati yang dilaksanakan oleh junta Burma terhadap empat tahanan politik, 26 Julai 2022. [Subel Rai Bhandari/BenarNews]

“Kami amat kesal dengan kehilangan empat nyawa berkenaan yang memburukkan lagi masalah Myanmar. Penggunaan kekerasan, kekejaman dan keganasan tidak dapat menyelesaikan perbezaan politik,” kata Tanee Sangrat, jurucakap Kementerian Luar Negeri.

“Penggunaan kekerasan, kekejaman dan keganasan tidak boleh menyelesaikan perbezaan politik. Kami menyeru semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya menggunakan semua kekuatan mereka untuk mencari penyelesaian politik yang berpanjangan agar tiada lagi nyawa yang terkorban, dan menghormati hak rakyat Myanmar untuk hidup dengan aman.”

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur, Alvin Prasetyo di Jakarta, Subel Rai Bhandari dan Nontarat Phaicharoen di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.