Sidang Kemuncak Khas ASEAN: Malaysia Mahu Gesa Junta Myanmar Benarkan Kunjungan Pemerhati

Setakat ini, hanya empat pemimpin dari negara-negara badan serantau itu yang telah mengesahkan kehadiran mereka pada mesyuarat Sabtu ini.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-04-20
Share
Sidang Kemuncak Khas ASEAN: Malaysia Mahu Gesa Junta Myanmar Benarkan Kunjungan Pemerhati Presiden Indonesia Joko Widodo (kanan) menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin di Istana Presiden di Jakarta sebelum pertemuan dua hala mereka, 5 Februari 2021.
[Gambar edaran Istana Presiden Indonesia menerusi AFP]

Pada sidang kemuncak khas ASEAN Sabtu ini, yang dijangka dihadiri oleh pemimpin tentera Myanmar, Malaysia akan menggesa junta Myanmar supaya membenarkan pemerhati dari badan serantau itu mengunjungi negara berkenaan, kata diplomat tertinggi Malaysia pada Selasa.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein juga mengumumkan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menghadiri sidang kemuncak itu yang akan diadakan di Jakarta. Ini menjadikan Muyhiddin antara empat pemimpin yang setakat ini mengesahkan kehadiran mereka - selain pemimpin junta Myanmar Min Aung Hlaing - pada pertemuan itu yang sepatutnya menjadi mesyuarat peringkat tinggi 10 negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara berkenaan bagi membincangkan pergolakan yang berlaku susulan rampasan kuasa di Myanmar.

"Kami berharap dengan perbincangan di Jakarta nanti, Myanmar akan setuju untuk menerima wakil-wakil pengerusi ASEAN iaitu Brunei atau sekretariat ASEAN di Jakarta untuk melihat dan membantu Myanmar kembali ke keadaan asal,” kata Hishammuddin kepada wartawan, berdasarkan satu video yang dimuat naik di Twitter.

"Keadaan asal" yang dinyatakan Hishammuddin adalah merujuk kepada keadaan di Myanmar sebelum berlakunya rampasan kuasa.

Sejak tentera Myanmar menggulingkan kerajaan dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu, angkatan bersenjata itu dan polis telah membunuh lebih daripada 700 orang – yang kebanyakannya adalah penunjuk perasaan anti rampasan kuasa - menurut Persatuan Bantuan Tawanan Politik yang merupakan kumpulan hak asasi manusia Myanmar yang berpusat di Thailand.

Hishammuddin berkata beliau telah mengulangi pendirian Malaysia mengenai situasi di Myanmar kepada ketua Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.

"Sebentar tadi, saya menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PBB António Guterres. Saya bercakap mengenai Myanmar dan mengulangi pendirian Malaysia bahawa keganasan harus dihentikan, tahanan politik mesti dibebaskan dan wakil ASEAN mesti dibenarkan bertemu dengan semua pihak yang terlibat," kata Hishammuddin.

Malaysia dan Indonesia menerajui gesaan supaya diadakan sidang kemuncak para pemimpin ASEAN mengenai krisis di Myanmar, dengan langkah itu amat disokong oleh Singapura. Sekretariat ASEAN di Jakarta secara rasminya mengesahkan pada Selasa bahawa pejabatnya akan menjadi venue sidang kemuncak berkenaan pada Sabtu.

Namun, setakat Selasa, Muhyiddin adalah pemimpin ketiga ASEAN selepas Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo dan Perdana Menteri Kamboja Hun Sen, yang mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak itu di pejabat badan serantau berkenaan.

Pada Selasa juga, Brunei menyatakan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah, yang juga perdana menteri negara itu, akan mempengerusikan sidang kemuncak pada 24 April itu, lapor Reuters yang memetik kenyataan dari pejabat baginda. Kesultanan Borneo itu merupakan penyandang jawatan pengerusi secara giliran ASEAN pada tahun ini.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha, yang juga bekas pemimpin junta, mengesahkan pada Selasa bahawa beliau tidak akan menghadiri mesyuarat itu.

"Berhubung sidang kemuncak ASEAN itu, saya memutuskan untuk menghantar [Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri] Don Pramudwinai menghadirinya dan saya tahu bahawa banyak negara juga akan menghantar menteri luar mereka," kata Prayuth kepada wartawan.

Setakat ini, belum diketahui sama ada langkah tersebut boleh menjejaskan tindak balas ASEAN berhubung situasi meruncing di Myanmar.

Sebelum ini, pertemuan khas menteri-menteri luar ASEAN yang diadakan selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar, gagal mencapai kata sepakat untuk menuntut pembebasan segera pemimpin awam Myanmar, Aung San Suu Kyi, serta mereka yang ditahan oleh tentera. Sebaliknya, ASEAN hanya menggesa supaya dihentikan keganasan di Myanmar dan mendesak diadakan dialog bagi menamatkan krisis tersebut.

Muhyiddin ‘akan tetap tegas’ mengenai pendirian Malaysia berhubung Myanmar

ASEAN telah dikecam kerana gagal mencapai kesepakatan tentang bagaimana menangani junta Myanmar sejak berlakunya rampasan kuasa lebih dua bulan lalu serta pertumpahan darah yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara itu. Bagaimanapun, badan serantau itu juga mempunyai pemimpin bekas tentera dan dianggotai negara satu parti seperti Brunei, Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam.

Pada Isnin, Guterres menyatakan bahawa beliau kecewa dengan perpecahan dalam ASEAN sehingga menyebabkan tiadanya tindakan bersatu badan serantau itu untuk menangani keadaan di Myanmar.

Menteri Luar Malaysia memberitahu bahawa Muhyiddin akan mengulangi pendiriannya bahawa junta Myanmar mesti menghentikan keganasan dan membebaskan semua tahanan politik di negara itu.

"Jeneral Min [Aung Hlaing] akan menghadiri [sidang kemuncak itu]. Secara kebetulan, beliau akan duduk di sebelah kita tetapi kita akan tegas dengan pendirian dan prinsip kita seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” kata Hishammuddin.

“[Perdana Menteri] akan tetap tegas pada pendirian mengenai Min [Aung Hlaing] pada pertemuan itu yang akan kita hadiri pada Sabtu. Saya akan memberitahu menteri luar negara lain pada pertemuan dengan mereka mengenai pendirian Malaysia dan apa yang Perdana Menteri akan bawa ke mesyuarat pemimpin ASEAN itu,” kata Hishammuddin.

Menjelang mesyuarat khas para pegawai dari seluruh ASEAN, termasuk negara tuan rumah Indonesia, kebanyakan daripada mereka membisu tentang sidang kemuncak itu. Kenyataan Sekretariat ASEAN pada Selasa juga adalah amat ringkas – malah, ia tidak langsung menyatakan bahawa sidang kemuncak itu akan membincangkan mengenai Myanmar.

Pegawai-pegawai sekretariat juga tidak segera menjawab pertanyaan BenarNews pada Selasa mengenai kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Brunei pada Selasa mengumumkan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah akan mempengerusikan mesyuarat itu, lapor Reuters yang memetik kenyataan dari pejabat baginda.

Sementara itu, ASEAN terus menerima kecaman selepas laporan menyatakan bahawa Min Aung Hlaing telah dijemput menghadiri sidang kemuncak pada 24 April ini.

Pada Selasa, sebuah gabungan kumpulan masyarakat awam Indonesia termasuk Amnesty International Indonesia, Milk Tea Alliance Indonesia dan Forum Asia - menyatakan bahawa ia kesal dan menolak kehadiran pemimpin junta Myanmar itu pada mesyuarat berkenaan.

Gabungan itu menyatakan bahawa Myanmar mesti diwakili oleh Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang "sah" pada sidang kemuncak ASEAN itu. Ia juga menyatakan bahawa ASEAN mesti mendapatkan jaminan daripada junta Myanmar untuk membenarkan kumpulan kesihatan dan kemanusiaan memasuki kawasan konflik di negara itu.

Dan, ia mendesak kerajaan Indonesia supaya bekerjasama dengan ASEAN untuk menyiasat anggota tentera Myanmar yang terlibat dalam pembunuhan penunjuk perasaan awam pro-demokrasi yang tidak bersenjata

Irine Putri, ahli parlimen dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang memerintah Indonesia, berkata bahawa kehadiran Min Aung Hlaing tidak sepatutnya diterima di Jakarta.

"Kerajaan Indonesia tidak boleh memberikan pengiktirafan kepada junta ini sebagai kerajaan Myanmar yang sah kerana rejim ini telah membunuh ramai orang awam dan menyekat gerakan demokrasi," kata Irine dalam satu kenyataan pada Isnin.

Irine berkata ASEAN sepatutnya menjemput wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang merupakan kerajaan bayangan yang dilancarkan pada Jumaat dengan ia dianggotai oleh ahli parlimen yang memenangi kawasan ditandingi pada pilihan raya November 2020 tetapi digulingkan tentera Myanmar secara paksa.

NUG juga menyuarakan rasa kesal dengan jemputan yang dibuat kepada Min Aung Hlaing untuk menyertai sidang kemuncak itu di Jakarta.

"Sekiranya ASEAN sedang mempertimbangkan tindakan yang berkaitan dengan hal ehwal Myanmar, saya ingin menyatakan bahawa ia tidak akan berjaya kecuali dengan berunding dengan NUG, yang disokong oleh rakyat dan mempunyai mandat penuh," kata Timbalan Menteri Luar Negeri NUG Moe Zaw Oo kepada Voice of America pada Ahad.

Nontarat Phaicharoen di Bangkok dan Ahmad Syamsudin di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh