ASEAN: Pergerakan Tidak Teratur Pendatang Perlu Ditangani
2015.08.06

Menteri-menteri luar ASEAN sebulat suara mahu punca sebenar dan faktor penyumbang kepada isu pergerakan tidak teratur pendatang termasuk pemerdagangan dan penyeludupan manusia di rantau ini ditemui segera dengan melibatkan masyarakat antarabangsa.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48, yang berakhir pada Khamis, Menteri luar sepuluh negara itu bersetuju bahawa punca berlaku masalah itu perlu dilihat secara menyeluruh.
Pada 29 Mei lalu satu persidangan khas diadakan di Bangkok, Thailand sebagai usaha untuk menangani isu penghijrahan pendatang tanpa izin yang semakin meningkat.
Persidangan itu diadakan berikutan pergerakan tidak teratur pendatang tanpa izin dari Bangladesh dan Myanmar yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia sejak awal tahun ini.
Mereka ditemui pihak berkuasa di sempadan Thailand - Malaysia dan juga di dalam bot penyeludup di perairan Teluk Benggala serta Selat Melaka.
Sidang kemuncak khas itu, merupakan saat penting bagi negara serantau untuk menangani pergerakan pendatang haram serta pemerdagangan manusia; di mana negara-negara asal, transit dan destinasi perlu bekerjasama untuk mencari punca berlakunya masalah tersebut.
Sokong tubuh pasukan
Kenyataan bersama mesyuarat, di mana Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2015 berkata, perhatian terhadap punca masalah serta penglibatan pihak berkepentingan hendaklah berdasarkan kepada prinsip perkongsian bebanan antarabangsa serta tanggungjawab.
Ia juga menyebut, bagi menangani cabaran berkenaan, pendekatan yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang dan respons kemanusiaan juga perlu diberi perhatian utama.
ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
ASEAN juga menyokong penubuhan tabung amanah untuk sumbangan secara sukarela daripada anggotanya dan masyarakat antarabangsa bagi menyokong usaha-usaha dan bantuan kemanusiaan dalam menangani pergerakan pendatang di rantau ini.
Kenyataan bersama itu juga menyebut, Menteri-Menteri Luar ASEAN menyokong cadangan menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk memberi respons terhadap krisis dan situasi kecemasan yang berpunca daripada masalah pergerakan luar biasa manusia itu.
Selain itu, ASEAN juga bersetuju negara-negara anggota mempromosikan toleransi agama dan persefahaman untuk memupuk dialog antara agama bagi membina hubungan yang harmoni serta saling menguntungkan.
Kami akan meneruskan kerjasama di antara masyarakat antarabangsa di dalam memerangi keganasan, ekstremisma dan radikalisma termasuk mencari punca masalah yang selaras dengan usaha untuk mempromosikan Pergerakan Kesederhanaan Global, menurut kenyataan tersebut.
Mengenai isu pertikaian wilayah Laut China Selatan, para pemimpin berkenaan menegaskan betapa pentingnya mengekalkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kebebasan navigasi di ruang udara merentasi rantau maritim itu.
Mereka turut menekankan keperluan bagi semua pihak memastikan pelaksanaan penuh Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhan, dan menekankan tentang kepentingan penubuhan segera Kod Tatalaku (CoC).
ASEAN dan China menandatangani DOC pada 2002, dan bersetuju untuk merangka CoC sebagai garis panduan bagi mengelak daripada sebarang konflik di kawasan pertikaian itu, yang dituntut oleh China dan Taiwan selain Brunei, Filipina, Vietnam dan Malaysia.
Pada persidangan media selepas majlis penutupan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN itu, Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berkata mesyuarat itu berakhir dengan jayanya di mana pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kebimbangan bersama dibincangkan secara konstruktif.
"Kami sedar betapa dinamiknya isu-isu di rantau ini yang sentiasa berubah, dan bersetuju untuk mengambil pelbagai langkah bagi menangani ancaman dan cabaran melalui perundingan dengan semua negara anggota ASEAN, rakan dialog dan negara-negara yang menyertainya," katanya.
H. Alya menyumbang untuk laporan ini.