Malaysia: PM Kemboja Sepatutnya Berunding Dahulu Dengan ASEAN Sebelum ke Myanmar

Indonesia pula menggesa Phnom Penh agar mematuhi kesepakatan yang dicapai oleh blok serantau itu pada mesyuarat sebelum ini.
Muzliza Mustafa & Tria Dianti
2022.01.13
Kuala Lumpur & Jakarta
Malaysia: PM Kemboja Sepatutnya Berunding Dahulu Dengan ASEAN Sebelum ke Myanmar Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak ASEAN, di Kuala Lumpur, 28 Okt 2021.
[Reuters]

Malaysia dan Indonesia, dua pengasas ASEAN, pada Khamis mengkritik lawatan kontroversi Perdana Menteri Kemboja ke Myanmar yang dilanda krisis minggu lepas dengan diplomat tinggi Kuala Lumpur berkata Hun Sen sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan negara anggota lain blok serantau itu.

Seorang pegawai Kementerian Luar Indonesia pula menggesa Kemboja agar mematuhi kesepakatan yang dicapai olehh 10 negara anggota blok serantau itu pada mesyuarat sebelum ini termasuk konsensus lima perkara ke arah meletakkan Myanmar di atas landasan demokrasi.

Kenyataan itu merupakan yang pertama dikeluarkan oleh para pegawai negara anggota ASEAN di luar Kemboja dan Myanmar selepas lawatan Hun Sen ke Naypyidaw pada 7 dan 8 Jan lepas.

“Malaysia berpandangan bahawa [Hun Sen] berhak melawat Myanmar sebagai ketua kerajaan Kemboja,” kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah kepada pemberita pada majlis makan malam di Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai lawatan Hun Sen ke Myanmar.

“Bagaimanapun, kami turut merasakan bahawa oleh kerana beliau kini adalah Pengerusi ASEAN, beliau sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan beberapa pemimpin negara anggota walaupun bukan semua dan meminta pandangan mereka mengenai apa yang patut beliau lakukan jika beliau ke Myanmar,” kata Saifuddin merujuk kepada peranan Kemboja sebagai negara yang menjadi Pengerusi pada 2022 melalui sistem penggiliran yang diamalkan oleh blok serantau itu.

Blok Asia Tenggara itu mengambil tindakan tegas terhadap Myanmar pada akhir tahun lepas apabila ia menarik balik jemputan kepada pemimpin kudeta Min Aung Hlaing daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN kerana jeneral kanan itu tidak mengotakan janjinya untuk melaksanakan konsensus lima perkara yang sudah disepakati. Sebelum itu, duta khas ASEAN ke Myanmar membatalkan lawatannya ke negara itu selepas dimaklumkan bahawa beliau tidak akan dibenarkan bertemu semua pihak yang terlibat dalam konflik di negara tersebut termasuk pemimpin demokrasi seperti Aung San Suu Kyi.

Bagaimanapun, Hun Sen, sebaik menjadi Pengerusi ASEAN, berkata kerajaan junta itu patut diwakili pada mesyuarat blok serantau tersebut. Beliau kemudian bergegas ke Myanmar, bertemu pemimpin junta itu dan tidak bertemu pemimpin demokrasi di negara tersebut.

Negara anggota ASEAN perlu bekerjasama ke arah mencapai kemajuan dalam mencari penyelesaian kepada situasi di Myanmar, kata Abdul Kadir Jailani, Ketua Pengarah bagi Asia, Pasifik dan Afrika di Kementerian Luar Indonesia kepada pemberita di Jakarta pada Khamis.

“Kami harap Kemboja sebagai Pengerusi, secara konsisten boleh melaksanakan apa yang sudah disepakati dalam mesyuarat ASEAN sebelum ini iaitu pelaksanaan konsensus lima perkara dan melakukan usaha untuk mencapai kemajuan yang ketara,” katanya.

“Itulah perkara yang perlu kita usahakan bersama.”

Noeleen Heyzer, duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar turut menekankan peerkara yang sama dalam perbualan dengan Hun Sen pada Khamis.

Tiada kemajuan ketara

Indonesia, negara terbesar dan mempunyai penduduk paling ramai di Asia Tenggara, bersama-sama Malaysia, adalah antara lima negara anggota asal ASEAN ketika ia lahir pada 1967. Blok itu sudah sekian lama beroperasi atas prinsip konsensus dalam tindakan kolektif serta dasar.

Para pegawai Indonesia dan Malaysia mengeluarkan kenyataan masing-masing sehari selepas Kemboja membatalkan mesyuarat fizikal Menteri-Menteri Luar ASEAN di Siem Reap yang dijadualkan berlangsung pada 18 dan 19 Jan atas alasan kesulitan yang dihadapi diplomat serantau dalam melakukan perjalanan ke negara itu. Bagaimanapun, menurut penganalisis, tindakan itu mungkin diambil selepas beberapa negara anggota blok serantau tersebut telah memutuskan untuk tidak menghadiri mesyuarat itu sebagai membantah sikap unilateralisme Hun Sen terhadap Myanmar.

Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura sebelum ini menyokong tindakan menghalang wakil rejim tentera itu daripada menghadiri semua perhimpunan blok tersebut susulan kegagalannya melaksanakan konsensus yang disepakati ASEAN pada April tahun lepas iaitu dua bulan selepas insiden kudeta pada 1 Feb 2021 yang menggulingkan kerajaan Burma yang dipilih secara demokrasi.

Ketika ditanya negara lain yang turut menzahirkan keraguan mengenai lawatan Hun Sen itu, Saifuddin enggan mengulas lanjut namun berkata ada yang berpandangan PM Kemboja tersebut mempunyai hak untuk mengadakan lawatan ke Myanmar.

“Ada yang berpendapat bahawa beliau tidak sepatutnya melakukan lawatan itu kerana ia boleh dianggap sebagai mengiktiraf kerajaan junta Myanmar,” kata Saifuddin.

“Bagaimanapun, ada juga yang berpendapat bahawa sebagai ketua kerajaan Kemboja, beliau mempunyai hak untuk melawat Myanmar yang boleh disifatkan sebagai lawatan bagi menjalin hubungan dua hala yang biasa. Presiden Jokowi menghubungi beliau sebelum lawatan itu dan saya percaya anda sudah membaca mengenai perbincangan antara Hun Sen dan Jokowi.”

Saifuddin merujuk kenyataan di laman Twitter oleh Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo selepas perbualan telefon dengan Hun Sen.

“Jika tiada kemajuan ketara dalam pelaksanaan 5PC [konsensus lima perkara], Myanmar hendaklah diwakili oleh perwakilan bukan politik di mesyuarat ASEAN,” kata Jokowi.

Ditanya sama ada lawatan Hun Sen ke Myanmar membuahkan sebarang hasil, Saifuddin menjawab “tidak ada.”

Menyentuh tindakan Kemboja menangguhkan mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Saifuddin berkata situasi penularan varian Omicron dan komitmen diplomat lain menyebabkan tidak semua orang boleh hadir.

Bagi Abdul Kadir dari Indonesia, beliau berkata negara itu memahami bahawa penangguhan itu adalah disebabkan oleh sekatan perjalanan susulan penularan varian Omicron COVID-19.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa dalam kalangan ASEAN masih terdapat banyak perkara yang perlu ditangani bagi membolehkan kita memiliki pendirian yang sama berhubung isu mengenai wakil Myanmar,” katanya.

“Kita tahu sememangnya tiada kemajuan ketara... jadi Indonesia konsisten dengan keputusan sebelum ini yang diambil oleh ASEAN iaitu Myanmar hendaklah hanya diwakili perwakilan bukan politik.”

Kemboja tidak mengumumkan bila mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN akan berlangsung dan Abdul Kadir berkata beliau juga tidak tahu.

“Apa yang kita tahu ialah mesyuarat fizikal ini akan ditangguhkan. Mengenai tarikh baharu atau sama ada ia akan diadakan secara maya, kami masih berkomunikasi,” katanya.

220113-MY-Asean-Saifuddin-Inside.jpg

Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke Myanmar Noeleen Heyzer (kanan, di skrin televisyen) berbual dengan Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja (kiri, di skrin TV) dalam mesyuarat yang berlangsung secara maya, di Phnom Penh, 13 Jan 2022. [Foto ihsan Samdech Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja melalui Facebook]

‘Tidak boleh berhadapan dengan jalan buntu’

Muhammad Arif, seorang profesor hubungan antarabangsa di Universiti Indonesia, berkata sebarang mesyuarat ASEAN akan datang akan menjadi kunci bagi menentukan kemajuan di Myanmar.

“Jika pada mesyuarat ASEAN akan datang, Myanmar diwakili pegawai dengan kapasiti dan kelayakan diplomatik penuh, ia adalah satu kegagalan bagi Indonesia yang menolak kerajaan junta di Myanmar,” katanya kepada BenarNews.

Perpecahan dalam ASEAN juga akan hanya mengukuhkan pemerintah tentera di Myanmar, katanya.

“Beliau [Hun Sen] hendaklah berbicara dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN dan cadangan beliau juga hendaklah selari dengan konsensus lima perkara. Penekanan hendaklah diberikan kepada langkah mengadakan dialog konstruktif yang membabitkan semua pihak,” kata Arif.

Bagi pihaknya, PM Kemboja Hun Sen membuat hantaran di laman Facebook pada Khamis dalam usaha mempertahan tindakan beliau mengadakan pertemuan dengan ketua junta Burma Min Aung Hlaing.

Beliau berkata pertemuan dengan pemimpin tentera itu adalah selaras dengan Perlembagaan ASEAN dan konsensus lima perkara blok itu.

“Rancangan Kemboja berhubung lawatan baru-baru ini ke Burma adalah sebagai Pengerusi ASEAN bagi mencari penyelesaian dalam usaha menghentikan keganasan, dan [memastikan satu] gencatan senjata, yang selari dengan konsensus lima perkara. Selain itu, [pertemuan tersebut adalah] bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan oleh Myanmar sepanjang tempoh peralihan ini,” tulis beliau.

“Kita tidak boleh berhadapan dengan jalan buntu dan kita perlu mencari penyelesaian bagi merungkai kebuntuan ini dalam usaha mendapatkan peluang untuk mengadakan rundingan.”

Seorang penganalisis serantau, Derek Grossman, berkata melalui akaun Twitter pada Khamis bahawa beliau percaya perpecahan yang berlaku dalam ASEAN adalah begitu ketara.

“Lawatan Hun Sen ke Myanmar baru-baru ini mendedahkan kelemahan ASEAN yang paling ketara. Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura menentang langkah mengesahkan pemerintahan junta. Bagaimanapun, Kemboja bersama-sama Laos, Vietnam dan Thailand mungkin berpandangan bahawa tiada pilihan lain,” katanya.

“ASEAN kini dalam dilema.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.