Follow us

Tiga Negara ASEAN Bantah Tindakan Beijing di Laut China Selatan

Drake Long
Washington
2020-04-15
E-mel
Komen
Share
Kapal Tentera Laut Filipina BRP Gregorio del Pilar dilihat selepas ia melakukan rondaan rutin di sekitar Half Moon Shoal, yang dikenali sebagai Hasa Hasa di Filipina, di luar Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, 29 Ogos, 2018.
Kapal Tentera Laut Filipina BRP Gregorio del Pilar dilihat selepas ia melakukan rondaan rutin di sekitar Half Moon Shoal, yang dikenali sebagai Hasa Hasa di Filipina, di luar Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, 29 Ogos, 2018.
[Angkatan Bersenjata Filipina melalui AP]

Dalam menunjukkan kesepakatan tentangan luar biasa terhadap China, negara-negara Asia Tenggara membantah tindakan Beijing menuntut kedaulatan di Laut China Selatan di tengah-tengah rasa tidak puas hati mereka berhubung pendiriannya dalam rundingan Kod Tata Laku, kata penganalisis.

Minggu lalu, China menerima kritikan pelbagai pihak berikutan insiden kapal nelayan Vietnam ditenggelamkan berhampiran kepulauan Paracel. Kecaman itu bukan sahaja daripada Vietnam dan Amerika Syarikat – yang merupakan pengkritiknya yang paling lantang – malah juga daripada Filipina, yang mengeluarkan "pernyataan solidariti" dengan Vietnam walaupun menjalin hubungan erat dengan Beijing.

Minggu ini, sebuah kapal kaji selidik China yang terlibat dalam perbalahan selama berbulan-bulan lamanya dengan Vietnam pada tahun lalu, didapati kembali berlayar. Kapal Hai Yang Di Zhi 8 pada Selasa dikesan melalui perairan Vietnam dengan diiringi kapal Pengawal Pantai China.

Pada Rabu, ia dikesan menuju ke arah selatan ke perairan Malaysia, menurut data pengesanan kapal yang ditinjau oleh Radio Free Asia (RFA), entiti BeritaBenar.

Destinasi mereka mungkin Luconia Shoals, kawasan yang baru-baru ini menjadi tapak eksplorasi minyak Malaysia yang terletak di bahagian selatan Kepulauan Spratly dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia. Data pengesanan kapal menunjukkan kapal Pengawal Pantai China Haijing 5203 berlegar di kawasan itu sejak 1 April.

Tetapi, mungkin apa yang lebih penting daripada semua aktiviti di perairan itu adalah isu diplomasi yang melatarinya.

Terdapat banyak nota diplomatik dikeluarkan selepas penyerahan nota berkenaan oleh Malaysia kepada PBB pada Disember lalu bagi menuntut kedaulatan kawasan pelantar benua di Laut China Selatan di luar pesisir utara, yang berpotensi menjadi kawasan mempunyai sumber dasar laut yang penting. Selepas China dengan tegas membantah tindakan itu, Filipina dan Vietnam pula menyusul dengan mengemukakan bantahan terhadap wilayah tuntutan China.

Malaysia, Vietnam dan Filipina, yang kesemuanya anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), masing-masing memetik keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 berhubung kes yang dibawa oleh Filipina. Keputusan itu membatalkan asas perundangan tuntutan China di Laut China Selatan.

Dr. Lai Yew Meng, penganalisis keselamatan serantau di Universiti Malaysia Sabah, percaya langkah itu mungkin sengaja dilakukan.

"Mungkin adanya pertembungan kepentingan strategik untuk menjalin 'kesepakatan' di antara tiga negara ASEAN itu, seperti satu paksi umum untuk meningkatkan usaha menangkis tingkah laku dan tanggapan tegas China di SCS (Laut China Selatan)," jelasnya .

Itu mungkin mencerminkan kegelisahan bersama berhubung usaha China untuk mengakhiri rundingan yang sekian lama diadakan mengenai Kod Tata Laku itu.

Persatuan 10 negara ASEAN itu dan China mencapai persetujuan pada 2002 mengenai Deklarasi Tata Laku, yang merupakan pernyataan mengenai prinsip dan sikap yang perlu dilakukan pihak-pihak berkenaan di Laut China Selatan. Tetapi, untuk melengkapkan Kod Tata Laku (CoC) yang lebih terperinci - dan dapat mengikat mereka - ia ternyata amat sukar dilakukan. Rundingan dimulakan dengan bersungguh-sungguh pada 2016. Satu deraf perjanjian itu turut dikeluarkan.

Tarikh akhir perundingan CoC dijangka pada 2021. Mereka yang memerhatikan rundingan berkenaan dengan teliti mengandaikan bahawa China ingin menamatkan rundingan itu dengan lebih awal, tanpa menyentuh bahagian-bahagian asas tetapi kontroversial - termasuk apa yang sebenarnya dituntut oleh China di Laut China Selatan dan apa yang dirangkumi oleh Laut China Selatan.

"China boleh menutup mulut semua pihak dengan memaksa penyelesaian lebih awal terhadap Kod Tata Laku," kata Carl Thayer, profesor emeritus di University of New South Wales. "Maaf, kami sudah tutup pintu, kami tidak dapat mengubah apa-apa, tempat yang kami duduki adalah milik China dan anda perlu melepaskannya," kata Thayer.

SouthChinaSea-Sanya-map-1000.jpg

Tuntutan Tidak Berhasil China

Malaysia telah mengambil tindakan, yang ia sedar, pasti dibantah oleh China. Ia mengemukakan tuntutannya kepada Suruhanjaya PBB Mengenai Batas-batas Pelantar Benua (CLCS).

Pegawai Malaysia minggu ini tidak membalas permintaan mendapatkan  komen lebih lanjut berhubung tindakan negaranya mengemukakan tuntutan itu. Selepas tuntutan itu dikemukakan pada Disember lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, "Ini adalah hak kita untuk menuntut apa sahaja yang ada dalam perairan kita dan yang tidak dituntut oleh orang lain."

Pada awal Januari, Menteri Luar Malaysia ketika itu, Saifuddin Abdullah, menyatakan bahawa Malaysia tetap dengan keputusannya untuk mengemukakan tuntutan itu kepada PBB.

"Kami menjangka China akan membantahnya, tetapi ia adalah tuntutan kami dan kami akan mempertahankan tuntutan kami," kata Saifuddin kepada wartawan di Putrajaya, pusat pentadbiran Malaysia.

"Pertama,sudah pasti pertikaian akan berlaku, seperti mana di kawasan-kawasan tertentu di Laut China Selatan di mana adanya pertikaian. Kedua, pengakhirannya, yang jarang-jarang sekali berlaku, dibawa ke timbang tara. "

Pegawai Malaysia tidak segera memberi maklum balas bagi mendapatkan komen berhubung tuntutan yang dikemukakannya. Tidak mungkin Malaysia mengharapkan keputusan pantas yang memihak kepada tuntutan kedaulatan mereka. CLCS menilai tuntutan secara teknikal dan tidak boleh membuat penghakiman berdasarkan pertikaian.

"Apa yang sebenarnya berlaku adalah ini merupakan forum di mana negara-negara menyuarakan tuntutan mereka secara terbuka," kata Julian Ku, profesor undang-undang perlembagaan Maurice A. Deane di fakulti perundangan Hofstra University.

Kesan daripada nota diplomatik itu adalah bagi mendapatkan maklum balas China, yang menyatakan bantahannya terhadap tuntutan pelantar benua Malaysia.

Dan, China melakukannya dengan cara yang membezakannya secara khusus daripada pihak menuntut yang lain, dengan ia menegaskan bahawa ia mempunyai kedaulatan tunggal terhadap Laut China Selatan, yang dibuat bukan hanya berdasarkan tuntutannya terhadap kawasan darat malah atas dasar memiliki "hak bersejarah" terhadap perairan itu sendiri - kedudukan maksimum tanpa kebenaran sah di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Ketika rundingan CoC memasuki fasa utama, Ku menyatakan terdapat spekulasi bahawa China akan melepaskan penegasannya terhadap hak bersejarah. "Tetapi ia belum melakukannya, oleh itu, ini bermakna China belum benar-benar mahu berundur walaupun dengan cara yang tidak ketara," katanya.

Kesepakatan?

Dalam berdepan sikap keras kepala China terhadap tuntutannya, Thayer berkata tindakan Malaysia menyerahkan nota kepada PBB bertujuan mendorong pihak menuntut yang lain untuk menyusuli langkahnya, yang telah mereka lakukan, dengan merujuk kepada kes pengadilan antara China dan Filipina pada 2016.

“Malaysia berusaha mendorong negara-negara jirannya untuk mengadakan perbincangan sehingga mereka semua dapat membuat tuntutan terhadap pelantar benua dan berunding antara satu sama lain bagaimana mencapai penyelesaian kepada perkara ini," kata Thayer.

Ini menjelaskan mengapa Vietnam kemudian menyerahkan bantahannya pada 30 Mac - bukan terhadap tuntutan Malaysia tetapi terhadap maklum balas China berhubung nota diplomatik Malaysia - walaupun ia meyusuli dua nota diplomatik lagi pada 10 April sebagai tindak balas kepada tuntutan Malaysia dan Filipina, dengan ia hanya mengulangi tuntutannya sendiri terhadap Kepulauan Spratly dan Paracel.

"Vietnam menentang sebarang tuntutan maritim di Laut Timur (Laut China Selatan) yang melampaui had yang diperuntukkan dalam UNCLOS, termasuk tuntutan hak bersejarah; tuntutan ini adalah tanpa kesan yang sah," menurut nota awal Vietnam, yang memetik konvensyen 1982 sebagai" satu-satunya asas undang-undang "untuk hak maritim.

Ku berkata nada nota 30 Mac itu menunjukkan bahawa Vietnam mula menganggap keputusan pengadilan pada 2016 sebagai sah dan tidak mengancam tuntutannya sendiri di kawasan itu.

"Saya rasa kita dapat membaca nota Vietnam itu sebagai ‘Kami hanya ingin memastikan semua orang jelas bahawa kami tidak akan menerima apa jua penghujahan China tentang ini, tidak kisahlah apa pun yang dikatakannya.’ Dan, bagi memastikannya, mereka menyenaraikan semua kemungkinan penghujahan yang dibuat China  walaupun pernyataan yang dikemukakan China tidak menyatakan semua penghujahan tersebut,”katanya.

Ini berpotensi membuka laluan bagi Vietnam, yang kini pengerusi ASEAN, untuk meneruskan tuntutannya sendiri terhadap China.

Jurucakap Kementerian Luar Vietnam tidak mahu mengulas ketika ditanya mengenai kemungkinan itu pada sidang media minggu lalu.

Ku berkata keputusan Hanoi untuk berbuat demikian bakal menjadi pertimbangan politik dan tidak semestinya sesuatu yang sah.

Filipina tunjukkan ‘solidariti’

Di bawah kepimpinan Presiden Rodrigo Duterte, Filipina tidak menekankan kelebihannya hasil keputusan penghakiman pada 2016, dengan ia memilih untuk menjalin hubungan politik dan ekonomi yang lebih baik dengan Beijing.

Itulah sebabnya mengapa pernyataan "solidariti" yang dikemukanya kepada Jabatan Luar Negeri Vietnam pada 8 April mengenai insiden  kapal nelayan Vietnam tenggelam, adalah sesuatu yang sangat luar biasa.

Ia juga menyusuli dua nota diplomatik Manila sebagai tindak balas terhadap tuntutan pelantar benua Malaysia - satu bagi membantah tuntutan Malaysia dan satu untuk mempertikaikan nota diplomatic China. Nota terakhir itu merujuk kepada keputusan penghakiman tribunal dan hampir sama dengan nota yang dikemukakan Vietnam.

"Tribunal telah menyelesaikan isu berhubung hak bersejarah dan hak maritim di Laut China Selatan," kata nota itu. "Tribunal memutuskan bahwa tuntutan terhadap hak bersejarah, atau hak kedaulatan atau bidang kuasa lain yang melebihi had geografi dan hak maritim berdasarkan UNCLOS, adalah tanpa kesan sah."

Filipina dan Malaysia mempunyai pertikaian mengenai pelantar benua berikutan tuntutan kawasan darat oleh kedua-dua negara itu, yang menjelaskan mengapa Filipina memberi maklum balas kepada tuntutan Malaysia dan China dalam dua nota berasingan.

Tetapi, Thayer percaya bahawa penyerahan nota diplomatik Malaysia dan nota diplomatic Filipina yang berkaitan dengan keputusan penghakiman pada 2016 membawa maksud bahawa kedua-dua negara itu dapat berusaha menyelesaikan pertikaiana tersebut demi kesepakatan bersama untuk menentang tuntutan melampau China.

Namun, penganalisis lain masih meragui prospek "kesepakatan" dalam isu Laut China Selatan.

Dr. Lai Yew Meng berpendapat adanya faktor lain yang berperanan dalam cara negara-negara Asia Tenggara menguruskan hubungan mereka dengan Beijing. Beliau berkata negara-negara berkenaan berusaha "mencari keseimbangan secara lembut dalam hubungan mereka dengan China untuk memaksimumkan kepentingan nasional masing-masing."


Lihat Laman Penuh