Follow us

Deklarasi Kuala Lumpur Untuk Perangi Jenayah Rentas Sempadan

Staf BeritaBenar
2015-09-29
E-mel
Komen
Share
Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Tergempar Peringkat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan Pergerakan Manusia Tidak Teratur di Rantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur. 2 Julai 2015.
Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Tergempar Peringkat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan Pergerakan Manusia Tidak Teratur di Rantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur. 2 Julai 2015.
AFP

Malaysia mahu semua negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengguna pakai Deklarasi Kuala Lumpur dalam memerangi jenayah rentas sempadan susulan perkembangan terbaru jenayah tersebut di seluruh dunia.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-10 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Ekstrem di Kuala Lumpur pada Selasa.

Zahid membuat saranan tersebut berikutan pendedahan oleh pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah yang mengenal pasti pendekatan baru oleh  penjenayah rentas sempadan melibatkan perdagangan haram warisan semula jadi, hidupan liar, kayu-kayan, bahan elektrik dan elektronik, bahan yang mengurangkan lapisan ozon serta barangan palsu.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua negara ASEAN perlu memberi tumpuan kepada pendekatan baru itu dalam mencari formula terkini untuk menangani masalah akibat jenayah tersebut. Malaysia pada masa ini adalah Pengerusi ASEAN.

“Kali terakhir Pelan Tindakan ASEAN untuk Memerangi Jenayah Rentas Sempadan dirangka ialah pada 2002. Oleh itu kita perlukan satu formula yang baru untuk menanganinya,” tegas beliau di mesyuarat dwitahunan empat hari itu, yang masuk hari kedua pada Selasa.

Mesyuarat tersebut dijangka akan menyaksikan kata sepakat daripada para pemimpin ASEAN bagi Deklarasi Kuala Lumpur untuk Menangani Jenayah Merentas Sempadan serta Pergerakan Tidak Teratur Manusia di Asia Tenggara.

Deklarasi pertama mencerminkan komitmen yang berterusan dalam memerangi jenayah rentas sempadan seperti yang digariskan dalam Deklarasi ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan pada 1997. Manakala deklarasi kedua pula berkaitan penyeludupan manusia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menekankan bahawa semua anggota ASEAN telah menandatangani Konvensyen Jenayah Rentas Sempadan PBB (UNTOC).  Oleh itu, persatuan negara-negara Asia Tenggara itu perlulah mempersiapkan diri untuk menghadapi perubahan yang akan berlaku membabitkan jenayah rentas sempadan.

Jenayah rentas sempadan, sebelum ini,  sering melibatkan pemerdagangan manusia, senjata dan dadah, jenayah siber, lanun, jenayah berkaitan ekonomi dan pengubahan wang haram.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Selasa melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata, jenayah rentas sempadan memberi implikasi besar kepada kestabilan, keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman awam sesebuah negara.

Libatkan keselamatan negara

Menurutnya,  jenayah tersebut juga memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat sehinggakan ia menjadi kebimbangan utama bagi keselamatan negara pada abad ke-21 ini.

“ASEAN sudah lama sedar mengenai ancaman seperti itu dan telah mengambil langkah segera termasuk mengadakan usaha bersepadu menangani masalah itu sejak awal tahun 1970-an.

“Usaha itu semakin penting sekarang ketika 10 anggotanya bersedia merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini,” jelas Ahmad Zahid.

Beliau menarik perhatian, bahawa kewujudan Komuniti ASEAN pada akhir 2015 memerlukan semua negara anggotanya mengukuhkan daya tahan, bersedia sepenuhnya, mengambil langkah komprehensif selain menggunakan kemajuan teknologi sedia ada untuk menangani ancaman jenayah rentas sempadan  dengan cara yang lebih berkesan.

Ahmad Zahid menambah bahawa AMMTC ialah komponen penting Jawatankuasa Keselamatan Politik ASEAN (APSC) yang menyokong kewujudan Komuniti ASEAN,  Komuniti Ekonomi ASEAN serta Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.

Selain itu, katanya penguatkuasaan undang-undang dan perundangan lebih ketat tidak cukup untuk menangani masalah berkenaan, oleh itu perkongsian strategik dan program membabitkan orang awam dan sektor swasta amat perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata AMMTC, yang kini diadakan secara dwitahunan, akan diadakan setiap tahun mulai 2016.

Keputusan itu dicapai oleh ketua delegasi negara-negara anggota ASEAN yang menghadiri AMMTC memandangkan terdapat banyak isu jenayah rentas sempadan di rantau ini yang perlu diselesaikan, katanya dalam sidang media.

Ahmad Zahid yang mempengerusikan fasa pertama sesi pleno AMMTC, berkata sesi berkenaan membincangkan mengenai 11 bidang jenayah rentas sempadan termasuk tiga bidang baru seperti yang dicadangkan para pegawai kanan ASEAN pada Isnin.

Bidang berkenaan ialah perniagaan haram hidupan liar, balak dan penyeludupan manusia. Bidang lama ialah antikeganasan, pemerdagangan manusia, pengedaran dadah secara haram, pengubahan wang haram, kegiatan lanun, penyeludupan senjata, jenayah ekonomi dan jenayah siber.

Asean-China

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata pemimpin ASEAN juga bersetuju menandatangani memorandum persefahaman dengan China esok bagi melaksanakan kerjasama dalam isu keselamatan bukan tradisional termasuk jenayah siber.

"Kami melihat China mempunyai peranan yang penting di rantau ASEAN, bukan sahaja industri ekonomi malah mereka juga mempunyai beberapa wawasan dan kepakaran dalam memerangi isu jenayah terutama jenayah rentas sempadan," katanya.

Bernama melaporkan, bahawa Malaysia akan berkongsi pengalaman dan kisah kejayaannya dengan negara-negara ASEAN berhubung program pemulihan terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan ekstremisme.

Ia juga akan berkongsi pengalamannya mengenai Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim berkata, perkara itu akan dibawa pada Mesyuarat Menteri-Menteri Khas ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau, Jumaat ini.

Menurutnya program pemulihan yang digunakan di Malaysia dianggap mencapai tahap memuaskan setelah hanya tujuh peratus sahaja daripada golongan yang telah dipulihkan ini kembali terjebak dalam kegiatan ekstremisme.

“Antara faktor utama kejayaan pemulihan adalah kerana kaedah pendekatan kerohanian menggunakan agama yang diamalkan sejak sekian lama. Kita bukan sahaja laksanakan hukuman tetapi juga lebih  memberi tumpuan kepada proses pemulihan," jelas beliau.

Sementara itu, Indonesia akan memberi tumpuan kepada aktiviti lanun dan jenayah maritim bukan tradisional pada AMMTC dan mesyuarat berkaitan.

Ketua Polis Nasional Indonesia Jeneral (Pol) Badrodin Haiti berkata, negaranya berharap isu-isu haram yang tidak dilaporkan dan isu perikanan tidak terkawal yang menyalahi undang-undang akan diberikan tumpuan mendalam kerana sebelum ini, republik itu telah menghadapi isu yang sama dengan Thailand.

Lihat Laman Penuh