Simbolisme Sidang Kemuncak AS-ASEAN Adalah Mesej Utamanya, Kata Penganalisis

Hasil kukuh daripada mesyuarat dua hari itu mungkin sedikit terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi.
Shailaja Neelakantan
2022.05.11
Washington
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Simbolisme Sidang Kemuncak AS-ASEAN Adalah Mesej Utamanya, Kata Penganalisis Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berucap di North Carolina Agricultural and Technical State University, di Greensboro, North Carolina, 14 April 2022.
[AP]

Amerika Syarikat (AS) menonjolkan komitmennya ke atas Asia Tenggara dengan mengadakan sidang kemuncak peringkat pemimpin negara-negara anggota ASEAN minggu ini di Washington walaupun sedang menangani pergolakan Ukraine, kata penganalisis.

Namun, Washington berkemungkinan tidak membentangkan strategi ekonomi yang padu untuk mengurangkan pergantungan berlebihan Asia Tenggara terhadap China dan itu akan mengurangkan sedikit sinar sidang kemuncak itu, kata mereka.

Presiden AS Joe Biden dan rakan sejawatannya berkemungkinan membincangkan mengenai keselamatan Indo-Pasifik, Myanmar, Ukraine dan hubungan ekonomi pada mesyuarat dua hari itu yang akan bermula Khamis. Penganalisis berkata mereka menjangkakan hasil yang sedikit daripada pertemuan itu, kecuali mungkin satu kenyataan bersama bagi menunjukkan rasa tidak senang berhubung langkah perluasan Beijing di Laut China Selatan.

“Kepentingan sidang kemuncak itu adalah penganjurannya,” kata Bilahari Kausikan, pengerusi Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura.

“Mesyuarat itu sendiri adalah satu mesej, yang menekankan bahawa ketika perang sedang bergolak di Ukraine, AS menganjurkan sidang kemuncak dengan ASEAN. Ia menunjukkan bahawa AS mampu melakukan dua perkara pada masa yang sama,” kata bekas diplomat itu bercakap dalam satu webinar pada Selasa yang dianjurkan oleh The Stimson Center, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Washington.

Pemimpin dari lapan daripada 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara dijangka menghadiri mesyuarat itu – dengan ketua junta Myanmar tidak dijemput ke sidang kemuncak berkenaan manakala Presiden Filipina yang mengundur diri pula memilih untuk tidak menghadirinya. Sidang kemuncak itu, yang dihoskan bjat kali kedua oleh Amerika Syarikat, diadakan bagi memperingati hubungannya yang ke-46 tahun dengan ASEAN.

Bagi Greg Poling, seorang penganalisis Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, sidang kemuncak itu kebanyakannya adalah mengenai simbolisme - "dan simbolisme adalah penting dalam diplomasi."

“Sidang kemuncak ini amat penting kerana Indo-Pasifik merupakan pentas utama dan ASEAN pula penting kepada strategi Indo-Pasifik AS. Presiden Biden masih belum bertemu secara peribadi dengan ramai pemimpin Asia Tenggara, oleh itu sidang kemuncak ini akan memberinya peluang untuk berbuat demikian, dan ini menunjukkan bahawa komitmennya terhadap rantau itu adalah lebih daripada sekadar retorik,” kata Poling kepada BenarNews.

Biden bertemu dengan rakan sejawatannya di ASEAN semasa sidang kemuncak secara maya pada Oktober 2021. Beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, yang mengunjungi Washington pada Mac, dan Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo di luar Sidang Kemuncak Iklim di Glasgow pada November 2021.

Asia Tenggara adalah satu daripada keutamaan Washington, demikian ditegaskan berulang kali oleh pentadbiran Biden. Ia melihat rantau itu sebagai penting kerana pengaruh luar biasa Beijing di sana. Sejak tahun lalu, pegawai tertinggi AS termasuk Naib Presiden Kamala Harris, Setiausaha Negara Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin telah melakukan lawatan ke rantau tersebut.

Kebimbangan Beijing

China telah memberi amaran kepada negara-negara anggota ASEAN mengenai sidang kemuncak itu melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad selepas perbincangan diadakan di antara Menteri Luar Wang Yi dan rakan sejawatannya di Kemboja, yang merupakan pengerusi badan serantau itu tahun ini.

“Langkah-langkah untuk memperkenalkan mentaliti Perang Dingin ke rantau ini serta menghasut dan mewujudkan konfrontasi kem akan menjejaskan keamanan dan pembangunan yang telah dinikmati rantau ini sejak bertahun-tahun lamanya. Negara-negara Asia perlu terus berwaspada dan menolak langkah sedemikian secara bersama-sama,” menurut kenyataan kementerian luar China itu.

Penyelaras Indo-Pasifik Majlis Keselamatan Negara AS Kurt Campbell pada Rabu menolak kebimbangan yang disuarakan itu.

“Presiden Biden akan berterus terang, beliau akan bercakap mengenai keinginan untuk bersaing secara aman – beliau tidak mahu Asia Tenggara menjurus ke Perang Dingin yang baharu,” kata Campbell dalam webinar mengenai sidang kemuncak itu. “Kami sedar bahawa sebarang inisiatif yang direka semata-mata untuk persaingan akan menghadapi kesukaran mendapat tempat di Asia Tenggara. Ia mesti berdasarkan keperluan dan kemahuan rakyat Asia Tenggara.”

Laut China Selatan

Penganalisis Asia Tenggara Hunter Marston pula menjangkakan bahawa kenyataan pada akhir sidang kemuncak itu akan mengandungi kata-kata tegas yang menentang perluasan China di Laut China Selatan.

“Negara-negara ASEAN nampak lebih ke hadapan apabila ia melibatkan sidang kemuncak AS-ASEAN. Jika anda merujuk kepada Deklarasi Sunnylands, ia adalah lebih tegas, [dan] lebih sejajar dengan perkara-perkara yang dibawa oleh Washington,” kata Marston yang merupakan penganalisis hubungan antarabangsa di Australian National University.

Beliau merujuk kepada sidang kemuncak AS-ASEAN 2016 di Sunnylands, California, yang diadakan buat kali pertama di Amerika Syarikat. Kenyataan penutup siding kemuncak itu menekankan pentingnya sikap saling menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan kesaksamaan semua negara, dan, dalam dua klausa, ia berkongsi komitmen bersama berhubung Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS).

Penganalisis Anne Marie Murphy menyatakan bahawa ASEAN menjadi lebih tegas dalam kata-katanya mengenai Laut China Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Oleh itu, saya fikir anda akan melihat kenyataan tegas yang menyokong bukan sahaja Indo-Pasifik (FOIP) yang bebas dan terbuka, tetapi juga bagi prinsip-prinsip yang mendasarinya," kata Murphy yang merupakan profesor di Fakulti Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa Seton Hall University.

Namun, memandangkan Kemboja, yang pro-China, kini menjadi pengerusi ASEAN tahun ini, ketegasan kenyataan itu mungkin dikendurkan, kata pakar lain.

"Mengenai SCS, mereka mungkin membuat kenyataan yang tegas, tetapi ia memerlukan konsensus - Kemboja tidak mahu kenyataan yang lebih tegas," kata Josh Kurlantzick, felo kanan bagi Asia Tenggara di Majlis Hubungan Luar, kepada BenarNews.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuk perairan dalam zon ekonomi eksklusif negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam serta negara bukan anggota iaitu Taiwan.

Walaupun negara anggota ASEAN, Indonesia, tidak menganggap ia sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, namun Beijing turut menuntut hak bersejarah ke atas bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Ukraine

Satu lagi tumpuan pada sidang kemuncak itu ialah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, menurut penganalisis.

Dewi Fortuna Anwar, seorang penganalisis hal ehwal antarabangsa di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) dibiayai kerajaan Indonesia, berkata tidak mudah bagi AS untuk mencari titik persamaan mengenai sekatan dengan negara-negara anggota ASEAN.

"Negara-negara ASEAN mempunyai dasar mereka masing-masing," katanya, sambil menyatakan bahawa sesetengah negara anggota itu bergantung kepada Moscow untuk keperluan pertahanan atau mempunyai hubungan sejarah dengan Rusia.

Namun, pegawai-pegawai AS boleh mendekati beberapa negara secara dua hala, kata Kurlantzick CFR.

“Pentadbiran ini mungkin cuba menekan beberapa rakan Asia Tenggara yang penting seperti Vietnam supaya menjauhkan dirinya dari Rusia, dan menekan pihak lain seperti Indonesia dan Thailand supaya turut mengambil sikap yang lebih kritikal,” katanya.

220511-MY-Asean-Inside.jpg

Penunjuk perasaan Thailand menggesa pembebasan banduan yang didakwa mengikut undang-undang fitnah diraja Lese-Majeste negara itu semasa mengadakan perhimpunan di luar Kedutaan AS di Bangkok menjelang sidang kemuncak AS-ASEAN di Washington, 10 Mei 2022. [AFP]

Myanmar

Krisis pasca rampasan kuasa di Myanmar mungkin mendahului senarai perkara yang akan dibincangkan pada sidang kemuncak khas AS-ASEAN tetapi penganalisis menjangka ia terkandung di bahagian akhir dalam hasil mesyuarat itu.

Mereka yang bercakap dengan BenarNews berkata negara-negara yang menyertai sidang kemuncak itu akan mengulangi konsensus lima perkara yang tidak dilaksanakan setelah dipersetujui oleh junta Myanmar dan pemimpin ASEAN pada April 2021, hanya beberapa minggu selepas rampasan kuasa 1 Februari 2021.

"Semua orang akan bersetuju dan mengulangi konsensus lima perkara, itu sahaja," kata Grossman dari Rand Corp.

Satu-satunya langkah yang mengecewakan tentera Myanmar ialah ASEAN menghalang pemimpin junta serta wakil junta daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN pada tahun lepas dan mesyuarat-mesyuarat lain.

Malaysia telah mendesak negara-negara anggota ASEAN yang lain supaya berbincang dengan pihak pembangkang iaitu Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar.

Tidak ramai yang mahu ke depan bagi berbincang dengan NUG sebagai badan serantau "kerana ASEAN tidak mahu berpihak dalam pertikaian dalaman," kata Poling dari CSIS.

Menghubung kait

Satu-satunya bidang yang boleh meraih kejayaan dalam sidang kemuncak itu adalah memajukan hubungan ekonomi – namun, ia tidak mungkin berlaku, kata penganalisis.

"Washington sebenarnya silap dalam hal ini," kata Marston dari Universiti Nasional Australia.

Beliau merujuk kepada Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik, yang diumumkan pada Oktober 2021 dan disebut-sebut sebagai pemangkin perubahan yang akan menyaingi kekuatan ekonomi Beijing di rantau itu. Rangka kerja itu sepatutnya dilancarkan pada April tetapi telah ditangguhkan sehingga bulan depan.

Murphy dari Seton Hall bersetuju bahawa langkah memperluaskan hubungan ekonomi adalah satu perkara yang boleh dilakukan oleh Amerika Syarikat untuk meyakinkan Asia Tenggara tentang komitmennya dan mengurangkan kerentanan rantau itu terhadap paksaan China.

Bagaimanapun, "sejak Trump menarik diri daripada TPP, ia memberi tekanan besar terhadap Biden," katanya, yang merujuk kepada Perkongsian Trans Pasifik iaitu perjanjian perdagangan yang dibentuk semasa pentadbiran Barack Obama tetapi digugurkan oleh penggantinya itu.

Campbell, dari Majlis Keselamatan Negara AS, mempertahankan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik.

“Saya tidak perlu memberitahu sesiapa pun bahawa perdagangan adalah perbalahan politik di AS tetapi kami telah membentuk pendekatan yang memenuhi banyak cabaran kritikal perdagangan dan pelaburan – seperti perdagangan digital, tenaga bersih dan seumpamanya – dalam penetapan yang kontemporari bagi abad ke-21,” katanya.

Campbell berkata apa yang diketahuinya daripada pegawai-pegawai Asia Tenggara adalah mereka mahukan penglibatan ekonomi dengan pelbagai negara, bukan hanya dengan satu negara.

"Penglibatan yang mantap dengan jiran di utara, penglibatan praktikal dan berterusan dengan AS, malah, mempunyai peranan lebih dengan India, mereka juga mahukan peranan dalam Eropah - mereka mahukan hubungan yang pelbagai," katanya.

Alvin Prasetyo dan Dandy Koswaraputra di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh