Follow us

Malaysia Dakwa Suspek Plot Keganasan Sukan SEA

Ray Sherman
Kuala Lumpur
2017-09-25
E-mel
Komen
Share
Anggota unit taktikal anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM]mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2017.
Anggota unit taktikal anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM]mengambil bahagian dalam sambutan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos 2017.
[AFP]

Sebuah mahkamah Malaysia pada Isnin mendakwa seorang dalang bersama tiga lagi lelaki, yang dipercayai anggota kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG), berhubung dengan plot keganasan temasya Sukan Asia Tenggara [SEA] di Kuala Lumpur bulan lepas.

Hajar Abdul Mubin, 25, (alias Abu Asrie), dipercayai dalang, yang dikenalpasti oleh Tentera Filipina sebagai orang kanan ASG, didakwa kerana disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas, demikian menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan pada Isnin.

Di bawah Kanun Keseksaan Malaysia, keanggotaan di dalam kumpulan pengganas boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga mendakwa tiga lagi suspek anggota ASG yang lain iaitu seorang rakyat Malaysia, Ahmad Omar, 52, dan Jaffar Ahmad, 26, dan warga Filipina, Abdul Syamir Dabili, 25 tahun - dengan sengaja menafikan maklumat mengenai kegiatan keganasan mereka. Jika disabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tujuh tahun dalam penjara atau denda, atau kedua-duanya.

Kesemua mereka yang didakwa pada Isnin itu bekerja di sektor pembinaan dan merupakan antara 19 suspek pengganas yang ditangkap oleh Polis Malaysia antara awal bulan Julai dan 31 Ogos.

Hajar terlibat dalam penculikan dan pertempuran dengan askar di selatan Filipina, telah memasuki Malaysia melalui Sandakan di Sabah, sebelum menuju ke Kuala Lumpur pada Disember 2015, demikian menurut Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan awal bulan ini.

Dia juga dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin militan negara Islam (IS) Malaysia, termasuk Mahmud Ahmad yang didakwa sebagai saluran penyalur dana IS yang berasal dari Timur Tengah. Mahmud secara aktif terlibat dalam pengepungan bandar Marawi selatan Filipina bersama pemimpin ASG, Isnilon Hapilon, pemimpin IS bagi rantau ini yang diperakui.

Semasa prosiding pada Isnin itu, keempat-empat suspek mengangguk tanda memahami apabila mereka ditanya sama ada faham akan pendakwaan keatas mereka itu, yang dibaca dalam bahasa Malaysia di Mahkamah Sesyen Kajang di Selangor. Kesemua mereka tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorhafizan Zakaria tidak menawarkan jaminan kerana suspek ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Polis menahan lapan daripada 19 suspek antara Julai dan Ogos semasa operasi anti-keganasan di Selangor, Johor, Kelantan dan ibunegara Kuala Lumpur.

Polis berkata serbuan itu dilancarkan bagi menghalang plot keganasan semasa upacara penutupan SEA dan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lepas, yang  berlangsung ibu kota Kuala Lumpur.

Polis tidak memberikan butiran tentang plot keganasan dan tidak menyebut sama ada sebarang senjata atau bahan peledak ditemui dalam siri serbuan berkenaan.

"Maklumat risikan menunjukkan yang suspek merancang untuk melancarkan serangan semasa upacara penutupan Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil dan semasa sambutan perayaan Hari Kebangsaan," kata Fuzi dalam satu kenyataan awal bulan ini, yang turut menggambarkan Hajar sebagai dalang plot berkenaan.

Sebelas buah negara dan beribu atlet mengambil bahagian dalam Sukan SEA ke-29 itu yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

ASG, dikenali sebagai kumpulan pengganas yang sering melakukan penculikan keatas orang awam dari pelbagai negara dengan memenggal kepala mangsa yang diculik sekiranya permintaan wang tebusan tidak dipenuhi. Beberapa pejuang kumpulan itu juga telah dikaitkan dengan IS dan juga terlibat dalam pertempuran di Marawi sejak 23 Mei.

Sejak awal tahun ini, 41 warga asing yang dikelaskan sebagai "pejuang pengganas asing" telah ditangkap di Malaysia, Fuzi memberitahu pemberita pada Khamis lepas.

Dalam tempoh empat tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 339 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi keganasan, termasuk IS. Enam puluh enam daripada suspek tersebut telah dibebaskan, demikian menurut maklumat kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh