Warga Malaysia Tebusan Abu Sayyaf Didera

Hata Wahari
2017.03.30
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
170330-my-asg620.jpg Mohammad Jumadil Rahim kelihatan berpelukan sambil menangis ketika diketemukan dengan ahli keluarganya di Kuala Lumpur, 30 Mac 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Tiga rakyat Malaysia yang diselamatkan oleh tentera Filipina pada Ahad lepas, setelah lebih lapan bulan menjadi mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf memberitahu mereka didera dengan teruk serta mendapat ancaman bunuh setiap masa.

Fandy Bakran, 27, Mohammad. Jumadil Rahim, 24, dan Mohd. Ridzuan Ismail, 33, tiga rakyat Malaysia yang terakhir menjadi mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf, yang bergiat aktif di Selatan Filipina itu, telah ditemukan dengan ahli keluarga masing-masing di kediaman rasmi Perdana Menteri Najib Razak pada Khamis.

Dua lagi rakyat Malaysia yang diselamatkan beberapa hari sebelum itu ialah Tayudin Anjut, 45, dan Abdul Rahim Summas, 62.

Menurut ketiga-tiga mereka, kumpulan ASG sering mengancam untuk membunuh atau mahu memancung kepala jika engkar mematuhi arahan oleh kira-kira 20 orang anggota Abu  Sayyaf yang mengawal mereka.

Fandy memberitahu, kesengsaraan menjadi mangsa culik Abu Sayyaf amat buruk sekali kerana dijamu makanan yang tidak berkhasiat langsung,  hanya nasi dengan garam sahaja akan diberi bersama air masin untuk diminum dan pengalaman itu bermula sejak hari pertama diculik kumpulan berkenaan.

“Kadang-kadang kami dapat makan tetapi kebanyakan hari kami terus kelaparan kerana tidak diberikan apa-apa untuk makan kecuali minum air masin,” katanya.

Beliau berkata, mereka berharap tidak akan ada lagi rakyat Malaysia yang akan menjadi mangsa culik kumpulan militan berkenaan.

Menceritakan pengalaman hari mereka diculik, Mohammad Jumadil berkata, ketika kejadian  mereka sedang nyenyak tidur di dalam bot, sebelum dikejutkan oleh anggota kumpulan itu.

"Kami seperti hilang akal apabila tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng mengacukan senapang ke arah kami, yang kemudiannya mengarah kami menaiki dua buah bot ke sebuah pulau yang tidak diketahui dan kemudiannya dibawa sekali lagi ke sebuah pulau lain.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 pagi dan seingat saya, kami tiba di pulau pertama sekitar jam 2 petang dan selepas Maghrib, kami dibawa ke pulau lain. Keadaan gelap dan kami tidak nampak apa-apa," katanya.

Fandy, Mohammad Jumadil, dan Mohd Ridzuan, bersama-sama dengan Tayudin Anjut  dan Abdul Rahim Summas, yang berkhidmat sebagai anak kapal, bot tunda Serudung, telah diculik oleh ASG pada 18 Julai tahun lepas di perairan Tawi-Tawi, Sabah yang bersempadan dengan selatan Filipina.

Ketiga-tiga mereka telah diselamatkan pada 26 Mac di kawasan awam di Poblacion Punay, Panglima Estino, Sulu, menurut pihak berkuasa Malaysia.

Pada 2016, ASG menculik 10 rakyat Malaysia dan 27 kelasi Indonesia di laut. Kesemua mereka, kecuali dua warga Indonesia, telah pun dibebaskan.

Dalam usaha untuk menghentikan penculikan itu, Malaysia, Indonesia dan Filipina merancang untuk melancarkan rondaan bersama di Laut Sulu bulan depan. Tahun lepas, Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberi kebenaran kepada Malaysia dan Indonesia untuk menjalankan rondaan bot laju di kawasan militan di perairan Filipina untuk menangkap penculik dan membebaskan tebusan mereka.

Sementara itu, Perdana Menteri pada majlis yang sama memberitahu bahawa beliau sedih mendengar betapa kelima-lima rakyat Malaysia diseksa dan nyawa dihujung tanduk diugut sepanjang menjadi tawanan Abu Sayyaf.

“Syukur ke hadrat Ilahi mereka telah berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat dan terima kasih Presiden Filipina, Rodrigo Duterte  dan  tentera Filipina yang telah membantu membawa kelima-lima rakyat Malaysia pulang ke tanahair,”  katanya.

Tambahnya, Duterte sendiri yang telah berusaha untuk menyelamatkan kelima-lima mangsa culik dan memastikan ia dilakukan sebelum hari jadi beliau yang ke72.

Najib berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim telah diberitahu untuk menerima masuk Fandy dan Mohd Jumadil kedalam Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM)  dan ditempatkan di Kawasan Keselamatan  Zon Timur Sabah (ESSZONE).

“Fandy dan Mohammad Jumadil telah melahirkan hasrat untuk memasuki APMM dan saya akan pastikan mereka akan mendapat latihan secepat mungkin memandangkan mereka mempunyai pengalaman dan kepakaran di kawasan perairan timur Sabah termasuk pengalaman berhadapan dengan kumpulan Abu Sayyaf selama lapan bulan,” ujar beliau.

Fandy mengesahkan bahawa beliau dan Mohammad Jumadil telah memberitahu niat mereka itu kepada Perdana Menteri dan berharap akan diterima masuk ke dalam agensi tersebut.

“Kami mahu membantu pasukan keselamatan menjaga kedaulatan negara selain memastikan tiada lagi rakyat negara ini menerima nasib yang sama seperti kami. Apa yang dilalui sangat teruk dan tidak patut menimpa sesiapa sahaja, jadi kami mahu berikan khidmat kami kepada negara,” katanya.

Sementara Mohd Ridzuan yang ditemukan dengan ahli keluarganya, isteri beliau, Hariyanti Hamsih, 31 bersama dua orang anak perempuannya iaitu Noridawati, 6 tahun yang merupakan kanak-kanak kurang upaya dan Nur Amirah Nasuha, 11 tahun menyatakan beliau tidak menyangka akan dapat berjumpa semula dengan keluarganya .


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.