Rakyat Asing Ditahan Polis Malaysia Terlibat Aktiviti Keganasan

Hata Wahari
2016.12.20
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161220-my-arrest-IS-620.jpg Dua daripada tujuh suspek yang ditahan oleh Polis DiRaja Malaysia kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan di beberapa buah negeri di Malaysia.
[Ihsan PDRM]

Polis Malaysia, dalam satu operasi khas di empat buah negeri sejak November lepas, menahan tujuh individu termasuk empat warga asing yang dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan , kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar pada Selasa.

Beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada lewat petang itu berkata, operasi khas itu dijalankan di Selangor, Melaka, Johor dan Sabah dari 3 November hingga 16 Disember oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab IV, atas kesalahan berkaitan dengan keganasan Akta Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-langkah Khas) 2012, katanya.

Khalid berkata, tiga warga asing yang ditahan pada 3 November lepas berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan dua daripadanya merupakan pelajar Universiti Antarabangsa Al-Madinah di Shah Alam, Selangor.

“Suspek pertama pernah disiasat oleh pihak berkuasa asing kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh. Pada September lepas, beliau dipercayai terlibat dalam percubaan untuk mendapatkan maklumat sensitif mengenai aspek keselamatan di sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur,” kata Khalid dengan menggunakan terma Negara Islam (IS) yang lain.

Beliau berkata, suspek kedua yang juga merupakan pelajar di universiti yang sama disyaki  bersubahat dengan suspek pertama manakala suspek ketiga pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Timur Tengah pada tahun 2010 kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Al-Qaeda.

“Ketiga-tiga mereka telah diusir pulang ke negara asal pada 22 dan 23 November lepas,” jelas Khalid tanpa memberitahu identiti negara kesemua warga asing yang ditangkap itu.

Beliau memberitahu, suspek keempat yang juga warganegara asing berusia 26 tahun, adalah seorang operator di sebuah kilang di Johor, dan dipercayai menganggotai kumpulan pengganas IS serta merancang untuk menyeludup senjata api ke Poso, Indonesia termasuk menyusup masuk ke Myanmar untuk melancarkan serangan.

Setakat bulan lalu, polis telah menahan lebih 260 individu kerana terbabit dengan kegiatan militan IS. Lebih 70 orang telah didakwa di mahkamah.

Statistik terbaru menunjukkan seramai 56 orang rakyat Malaysia berada di Syria, termasuk 12 wanita dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan; manakala, seramai 27 rakyat Malaysia telah meninggal dunia dan lapan orang lagi kembali ke tanahair.

Antara yang ditahan kerana penglibatan mereka dengan kumpulan militan ialah anggota keselamatan seperti polis dan tentera, imam masjid, pensyarah universiti dan juga pegawai kerajaan.

Suspek warga tempatan

Sementara itu, Khalid memberitahu, tiga suspek rakyat tempatan ialah seorang lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sendiri dan merupakan anggota IS yang disyaki menerima arahan dari rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Melaka dan Kuala Lumpur.

“Suspek juga telah mendapat tunjuk ajar cara-cara menghasilkan Improvised Explosive Device (IED) dari Muhamad Nasrullah Abd Latif  atau Abu Gomes seorang lagi rakyat Malaysia yang menyertai IS di Syria,’’ kata beliau.

Beliau menambah, suspek keenam pula, berusia 24 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori yang ditahan pada 16 Disember lepas kerana telah mengancam untuk melancarkan serangan bom ke atas sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur  melalui akaun Facebook miliknya.

Khalid memberitahu, suspek ketujuh seorang pekerja kilang perabot yang berusia 36 tahun, ditahan di Kota Kinabalu, pada 16 November kerana disyaki menganggotai sel IS di Sabah.

Pada Jun lepas, dua lelaki yang dikaitkan dengan IS telah membuat serangan di kelab malam Movida di Puchong pada Jun lepas – serangan pertama yang IS mendakwa berjaya dilakukan di Malaysia. Kedua-dua suspek yang ditangkap itu sedang menunggu perbicaraan pada 14 Jan tahun hadapan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.