Follow us

Komplot Culik Pemimpin Negara: Bekas Tentera, Warga Indonesia Dipenjara

Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-15
E-mel
Komen
Share
Dari kiri, Nor Azmi Jailani, Ali Abdullah Saifuddin dan Mohamad Yusri Bin Mohamed Yusof semasa hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Jun 2017.
Dari kiri, Nor Azmi Jailani, Ali Abdullah Saifuddin dan Mohamad Yusri Bin Mohamed Yusof semasa hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Jun 2017.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Dua bekas tentera dan seorang warga Indonesia pada Isnin, dijatuhi hukuman penjara lapan dan 12 tahun oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, selepas didapati bersalah mempromosikan keganasan dengan berkomplot untuk menculik empat pemimpin negara.

Panel tiga hakim terdiri dari Hakim Vernon Ong Lam Kiat, Zabidin Mohd Diah dan Has Zanah Mehat membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendapati bukti yang dikemukakan tertuduh, Nor Azmi Jailani, 32, dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, 33 kedua-duanya bekas anggota tentera serta seorang warga Indonesia, Ali Saifuddin, 32 tidak cukup untuk menimbulkan keraguan terhadap pendakwaan mereka.

“Selepas meneliti bukti-bukti yang diberikan ketiga-tiga responden ini, kami mendapati ia tidak menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan. Pendakwaan pula telah membuktikan kes tanpa keraguan munasabah sehingga penghujung kes pembelaan ini,” kata Ong dalam kamar Mahkamah.

Ong semasa menyampaikan keputusan itu, turut memerintahkan hukuman penjara terhadap ketiga mereka bermula daripada tarikh ditangkap iaitu pada 5 April 2015.

Nor Azmi, Mohd Yusri dan Ali dikatakan terlibat dalam beberapa siri perbincangan dengan anak seorang militan Negara Islam (IS) - Abdul Daud Murad Halimmuddin yang merancang untuk menculik empat menteri termasuk Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tiga lagi menteri yang menjadi sasaran ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Abdul Daud dan bapanya, Murad Halimmuddin Hassan mengaku bersalah selepas didakwa bersubahat mempromosi dan menyokong perbuatan keganasan kumpulan militan IS dan dijatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 dan 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2015.

Bagaimanapun Murad Halimmuddin dilaporkan meninggal dunia semasa menjalani hukuman penjara kerana komplikasi jantung pada 2017.

Terdahulu itu, pada 8 April lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 16 Jun, 2017, untuk melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu daripada dakwaan berkomplot mempromosi aktiviti keganasan, di sebuah rumah di Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah antara 30 Januari hingga 6 April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun yang sama dengan boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hukuman ringan

Sejurus selepas hakim menjatuhkan hukuman pada Isnin, ketiga-tiga tertuduh melakukan sujud syukur di luar kandang pesalah manakala beberapa ahli keluarga ketiga-tiga tertuduh turut dilihat menangis dan berpelukan di tempat duduk awam mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zin Ibrahim dan Muhammad Azmi Mashud sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman 25 tahun penjara terhadap setiap tertuduh.

“Pendakwaan merasakan hukuman yang diberikan haruslah setimpal sebagai isyarat bahawa kesalahan menggunakan agama dan ideologi adalah serius sebagai teladan,” kata Mohd Zin.

Barisan peguambela yang mewakili ketiga-tiga tertuduh, peguam Liaw Vern Xien, Farida Mohammad, Qurratulain Atiqah Norzahirul Anuar pula memohon hukuman ringan diberikan terhadap anak guam mereka kerana perancang komplot itu, Abu Daud telahpun mengaku bersalah sebelum ini

“Rancangan itu tidak dijalankan dan tiada kehilangan dan kerosakan nyawa yang berlaku,” kata Liaw.

Pasukan peguambela itu yang masih tidak berpuas hati dengan keputusan panel Hakim Mahkamah Rayuan itu berkata mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Kami akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat,” kata Liaw di luar kamar mahkamah semasa ditemui media.

Tahun ini sahaja sehingga Mac, Polis DiRaja Malaysia [PDRM] sudah menahan seramai 26 orang atas penglibatan mereka dengan aktiviti berkaitan keganasan dan IS.

Antara jumlah tersebut, 13 orang merupakan warganegara Filipina, 6 dari Mesir, 5 Malaysia, seorang dari Pakistan dan seorang lagi dari Tunisia.

Mereka merupakan antara 481 individu yang ditangkap oleh PDRM sejak tahun 2013. Jumlah tahanan terbanyak adalah pada tahun 2016 dengan 119 tangkapan.

Lihat Laman Penuh