Follow us

Malaysia Sahkan Wabak Demam Campak Sebabkan Kematian Orang Asli

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-06-17
E-mel
Komen
Share
Orang Asli Suku Batek menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. 17 Jun, 2019.
Orang Asli Suku Batek menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. 17 Jun, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Isnin berkata ujian makmal yang dijalankan terhadap tiga mayat Orang Asli dari suku Batek yang tinggal di kawasan pendalaman di Kelantan, meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga 15 Jun, 37 daripada 112 kes yang dilaporkan melibatkan suku Batek di perkampungan Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan telah dikenalpasti sebagai demam campak.

“Berdasarkan laporan makmal, penyakit yang menjangkiti komuniti Orang Asli di Kuala Koh merupakan wabak demam campak, dan wabak jangkitan virus measles itu amat mudah merebak, satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 – 18 individu lain,” kata Dzulkefly dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

Virus measles boleh dicegah dengan imunisasi, kata Menteri itu, sambil menambah penularan jangkitan dalam komuniti Orang Asli perkampungan Kuala Koh adalah kerana liputan imunisasi measles mereka yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

“Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi ini,” tambah beliau.

Beliau berkata, wabak itu dikesan pada 37 penduduk suku Batek yang turut menyebabkan kematian tiga orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun pada Ahad.

Menteri itu juga memaklumkan bahawa kematian terbaru melibatkan seorang kanak-kanak lelaki Batek berusia dua tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab Hospital di Kota Bharu, pada petang Ahad.

Dengan kematian terbaru itu, jumlah kematian dikalangan suku Batek meningkat menjadi 15 orang.

“Punca kematian adalah demam campak dengan komplikasi radang paru-paru dan kegagalan pelbagai organ dalaman,” kata Menteri itu lagi.

Sementara itu, jurucakap kementerian yang enggan namanya disiarkan memberitahu media bahawa selain daripada demam campak dan radang paru-paru, kanak-kanak itu turut menghadapi masalah malnutrisi kerana beliau cuma seberat 6.8 kilogram [15 pound], jauh lebih rendah dari berat idea 12.7 kilogram [28 pound] bagi kanak-kanak sebayanya.

“Ini merupakan punca risiko kerana apabila seseorang mengalami masalah malnutrisi yang serius, sistem pertahanan badan akan lemah dan senang dijangkiti pelbagai penyakit termasuk demam campak,” menurut jurucakap itu lagi.

Dzulkefly turut memaklumkan bahawa, daripada 112 kes yang dilaporkan, seramai 52 kes masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan empat kes di Unit Rawatan Rapi.

“Manakala, sebanyak 19 kes dengan gejala ringan berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang dan 39 kes telah dibenarkan pulang,” kata Dzulkefly.

Menurut beliau lagi seramai 170 dari 185 penduduk Kampung Kuala Koh telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.

Katanya, kementerian itu sedang dalam usaha untuk meningkatkan pencegahan kawalan wabak dengan memberikan suntikan imunisasi kepada komuniti Orang Asli termasuk memberikan vitamin A kepada kanak-kanak untuk meningkatkan tahap imunisasi badan mereka.

“Kementerian juga menyediakan pendidikan kesihatan termasuk sesi kauinseling bagi mengurangkan tekanan dan keresaan selain mempertingkatan aktiviti imunisasi kepada komuniti orang asli di lokasi,” tambah beliau.

Berita mengenai wabak itu pertama kali dilaporkan pada 3 Jun selepas media tempatan melaporkan bahawa 14 orang dari suku Batek meninggal kerana sakit misteri sehingga menimbulkan spekulasi di laman media sosial dan dakwaan berhubung tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dan pusat dalam menangani situasi itu.

Walaupun kerajaan negeri dan pusat menepis dakwaan tentang jumlah kematian sebenar, sebelum ini, pihak polis berjaya menjumpai 14 mayat yang ditanam dan disimpan jauh di dalam hutan mengikut istiadat suku Batek.

Proses untuk mencari dan membawa mayat keluar dari hutan memakan masa yang lama kerana lokasi tempat simpanan mayat agak jauh di dalam hutan.

Kematian sebab penebangan hutan

Colin Nicholas dari Center for Orang Asli Concerns (COAC) berkata wabak demam campak terhasil dari penebangan hutan yang berleluasa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan hingga menyebabkan bekalan makanan utama buat orang nomad Batek itu susut.

“Orang Suku Batek terdedah kepada perkara ini kerana sebagai suku separa nomad mereka bergantung kepada sumber makanan hutan,” kata Nicholas kepada BeritaBenar.

Menurut beliau, aktiviti pembalakan yang tidak terkawal atas kebenaran kerajaan negeri turut menyumbang kepada malnutrisi dikalangan komuniti Batek yang berpindah masuk ke dalam hutan mengikut musim mencari buah dan tumbuhan lain bagi keperluan makanan mereka.

“Apabila mereka kekurangan zat, mereka akan terdedah kepada penyakit seperti demam campak dan radang paru-paru. Manusia tidak harus mati kerana demam campak,” tambah beliau.

Dalam perkembangan kes yang berkaitan, komuniti Orang Asli di Sungai Berua di Terengganu dilaporkan turut menghadapi masalah kesihatan berkaitan salur pernafasan. Sepuluh orang anggota komuniti itu telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pada Isnin, kes lelaki berumur 29 tahun yang dirawat di hospital dikatakan mempunyai kaitan dengan komuniti Orang Asli di Kuala Koh, Kelantan.

Kementerian Kesihatan berkata mereka sedang meneliti perkara tersebut dan akan mengeluarkan satu kenyataan lain tidak lama lagi.

Demam campak merupakan satu bentuk penyakit yang boleh merebak melalui udara dan senang dijangkiti melalui batuk, bersin selain sentuhan terus melalui mulut atau hidung.

Jika seseorang itu dijangkiti virus campak, tiada rawatan spesifik yang ada untuk merawatnya walaupun penjagaan rapi boleh membantu proses pemulihan individu yang dijangkiti.

Demam campak memberikan efek kepada 20 juta orang setiap tahun kebanyakkanya di kawasan membangun seperti Asia dan Afrika.

Walaupun penyakit ini selalu dikaitkan dengan penyakit kanak-kanak, ia boleh menjangkiti semua peringkat umur.

Menurut data yang diperoleh dari laman sesawang kerajaan, terdapat 140,000 Orang Asli di Malaysia yang terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Proto-Melayu.


Lihat Laman Penuh